20 Disember 2023, 21:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) yang diperkenalkan melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 2016 bertujuan melahirkan murid yang dapat menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan fasih dan baik. Program DLP ini memberikan pilihan kepada sekolah-sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran dalam bidang sains dan matematik.

Dalam usaha memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, seharusnya mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri juga perlu diperkasakan. Penguasaan bahasa Inggeris perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan adil kepada semua murid dan bukan dihadkan kepada kelas-kelas yang terpilih sahaja sebagaimana yang dilaksanakan melalui DLP.

Pemartabatan bahasa Melayu juga penting kerana perkara ini selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu ialah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan. Mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan 1996 [Akta550], “Bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subsekyen ini”.

Dalam hal ini, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Bahasa kebangsaan berperanan sebagai bahasa perhubungan, bahasa ilmu dan alat perpaduan, manakala penguasaan bahasa Inggeris penting kerana bahasa ini merupakan bahasa utama dan bahasa komunikasi antarabangsa.

Menyedari akan status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama pendidikan, peranan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan tidak boleh dipinggirkan dan diabaikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.