22 Disember 2023, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

PutrajayaJurnal Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan kecemerlangannya apabila seorang daripada penulisnya memenangi Kategori Makalah Jurnal Terbaik Indeks Kebangsaan 2021 dalam Anugerah MAPIM-KPT Ke-14.

Pada kali ini, makalah “Dialek Pasir Raja: Ciri Fonologi dan Pengelompokan” dipilih sebagai makalah jurnal terbaik, seterusnya membolehkan penulisnya, iaitu Dr. Mohd Tarmizi Hasrah membawa pulang hadiah berjumlah RM3,000.00 yang dikongsi dengan penerbit, selain trofi dan sijil penghargaan. Sebelum ini, Jurnal Bahasa pernah memenangi kategori yang sama menerusi makalah “Ganti Nama Bahasa Mendriq: Analisis Program Minimalis” yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Fazal Mohamed Mohamed Sultan dan Mohd Romzi Ramli dalam Anugerah MAPIM-KPT 2015.

Majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya pada pagi tadi telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi. Ketika merasmikan majlis anugerah ini, YBhg. Prof. Dr. Azlinda menyatakan bahawa masih ada banyak lagi kajian yang berkaitan dengan masyarakat yang boleh diangkat sebagai sebuah produk penerbitan. Menurut beliau, hal ini suatu yang relevan kerana bahan penerbitan yang diiktiraf dalam anugerah pada kali ini hanyalah sebahagian kecil daripada kajian yang diterbitkan.

YBhg. Prof. Dr. Azlinda berharap agar banyak lagi hasil kajian yang berkualiti dapat diterbitkan.

Ketika ditanya tentang idea di sebalik penulisan makalah tersebut, pemenang bagi anugerah ini, iaitu Dr. Tarmizi menyatakan bahawa makalah tersebut ditulis hasil daripada cerita ibunya yang sering mendendangkan kelainan dalam pertuturan orang hulu berbanding dengan pertuturan orang kuala di Dungun. Pada pandangan beliau, hal ini telah membenihkan persoalan tentang perincian kelainan dalam pertuturan tersebut.

Menurut Dr. Tarmizi lagi, hasil kajiannya mendapati bahawa dialek Melayu yang dituturkan di hulu Sungai Dungun, khususnya di Mukim Pasir Raja (Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor dan Kampung Jongok Batu), memiliki kelainan linguistik yang sangat purba, yang berhubung langsung dengan bahasa Malayik (atau Melayu) purba.

Tambah Dr. Tarmizi, penemuan ini dan beberapa penemuan lain di kawasan hulu, selain memperkaya khazanah dialek Melayu, turut mewajarkan kita untuk menoleh dan membina semula naratif sejarah penyebaran dialek Melayu di Semenanjung setelah penghijrahan penutur purbanya dari Borneo dan Sumatera.

Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dan editor Jurnal Bahasa DBP, Mohd Syukri Anwar bersama-sama Dr. Mohd Tarmizi Hasrah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.