29 Disember 2023, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendidikan awal kanak-kanak ialah satu daripada elemen penting dalam pembentukan generasi yang mempunyai daya tahan untuk menghadapi cabaran dari aspek fizikal, mental dan intelektual. Pendidikan ini memberikan impak positif dalam usaha mewujudkan pengalaman kanak-kanak pada peringkat awal, seterusnya membentuk keupayaan untuk belajar, berkomunikasi dan bertindak balas terhadap cabaran harian.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat sebanyak 10.5 juta (37.9 peratus) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta orang penduduk Malaysia yang direkodkan pada tahun 2008. Angka tersebut jelas membuktikan bahawa golongan kanak-kanak perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak kerajaan, terutamanya dari segi pemerkasaan bahasa Melayu.

Sejak akhir-akhir ini, penggunaan bahasa Melayu kian pudar dalam kalangan kanak-kanak. Kebanyakan ibu bapa mengambil sikap sambil lewa apabila menerapkan penggunaan bahasa Melayu kepada anak masing-masing.

Kanak-kanak semakin malas untuk mempelajari bahasa Melayu disebabkan oleh kelalaian ibu bapa yang sibuk bekerja siang dan malam. Dalam hal ini, ibu bapa jarang-jarang membantu anak mempelajari bahasa Melayu pada awal usia, apatah lagi menghantar anak ke pusat tuisyen untuk mempelajari bahasa Melayu.

Ibu bapa juga jarang-jarang membeli buku berbahasa Melayu sebagai bacaan awal kanak-kanak dan lebih banyak membiarkan anak menonton video berbahasa Inggeris sehingga anak lebih fasih bertutur dalam bahasa tersebut. Ada juga ibu bapa yang lebih berbangga jika anaknya mahir bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa Melayu.

Kanak-kanak lebih mudah dipengaruhi oleh pempengaruh media sosial. Pempengaruh yang bijak pastinya mampu menggunakan istilah, imbuhan dan struktur ayat yang tepat, intonasi yang sesuai dan peribahasa yang indah. Maka itu, tidak hairanlah apabila video pempengaruh tersebut tular dan dikagumi.

Namun begitu, ada pempengaruh yang menggunakan bahasa Melayu secara salah, di samping menggunakan bahasa yang kasar dan lucah. Oleh itu, kanak-kanak perlu bijak memilih video yang akan ditonton, manakala ibu bapa perlu memastikan kandungan video tersebut bersesuaian.

Video animasi yang baik dapat membentuk karakter dan budaya santun dalam pertuturan kanak-kanak. Hal ini berlaku apabila kanak-kanak meniru atau mengikut gaya percakapan watak dalam animasi tersebut. Penggunaan bahasa yang ditonjolkan dalam animasi dapat menyerlahkan nilai pendidikan kerana menggunakan bahasa yang sopan dan mengandungi unsur pengajaran. Secara tidak langsung, kanak-kanak mula mengadaptasi penggunaan bahasa Melayu dengan baiknya.

Di samping itu, peranan guru memang tidak dapat dinafikan. Mereka banyak mengaplikasikan berbagai-bagai cara untuk meningkatkan perkembangan bahasa kanak-kanak di sekolah, sama ada di dalam atau di luar kelas. Hal ini menyebabkan kanak-kanak gemar menggunakan bahasa Melayu. Dalam kes ini, penguasaan bahasa kanak-kanak diberi perhatian yang sewajarnya.

Pada zaman ini, minda guru lebih terbuka dari aspek penggunaan alat bantu mengajar yang berinovasi dan berteknologi. Cara ini membantu merangsang pemikiran kanak-kanak dan menyebabkan kanak-kanak tidak mudah berasa bosan ketika belajar bahasa Melayu. Cara ini juga dapat menggalakkan kanak-kanak untuk memasyarakatkan bahasa Melayu dalam diri masing-masing.

Aktiviti membaca buku dalam kalangan kanak-kanak pula memberikan banyak manfaat terhadap perkembangan kanak-kanak termasuk perkembangan bahasa dan komunikasi. Pada era globalisasi yang serba moden ini, bahan bacaan kanak-kanak tidak terhad pada buku bercetak, sebaliknya diberi pendedahan yang meluas dari aspek buku digital.

Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka memainkan peranan penting untuk meningkatkan mutu pendidikan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak. Organisasi ini banyak menerbitkan buku pembelajaran dan buku cerita kanak-kanak dalam bahasa Melayu seiring dengan agenda kerajaan Malaysia untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Pelbagai kempen kesedaran yang menyasarkan kanak-kanak giat dianjurkan untuk menerapkan nilai bahasa Melayu kepada kanak-kanak, seperti pertandingan bercerita dalam bahasa Melayu dan kuiz silang kata yang menawarkan hadiah yang lumayan. Usaha seperti ini pastinya memberikan kesan positif kepada kanak-kanak supaya lebih bersemangat untuk mempelajari bahasa Melayu.

Dari segi akses terhadap pendidikan bahasa Melayu, kanak-kanak memperolehnya secara tidak langsung apabila berada di rumah atau pada waktu cuti sekolah. Pihak media massa banyak menyiarkan rancangan, seperti program Didik TV dan Astro Tutor TV yang membantu perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Rancangan televisyen ini serba sedikit dapat membantu golongan ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak masing-masing ke pusat tuisyen disebabkan oleh masalah kewangan.

Radio bahasa Melayu di Malaysia juga menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dari segi lagu, iklan dan pesanan kepada masyarakat. Tidak hairanlah, banyak kanak-kanak yang berupaya menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dengan baiknya dari sudut sebutan. Kanak-kanak yang gemar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama berbanding dengan bahasa asing membuktikan usaha untuk memberikan pendedahan awal tentang kepentingan menjaga kedaulatan bahasa Melayu berjaya dilaksanakan.

Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai aplikasi permainan digital dalam bahasa Melayu yang telah dibangunkan dan mendapat sambutan yang hangat. Hal ini memenuhi kehendak kanak-kanak yang sangat gemar untuk bermain permainan digital menggunakan telefon pintar atau tablet.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mendidik kanak-kanak sehingga berjaya menguasai bahasa Melayu. Dalam tempoh ini, pemikiran kanak-kanak sedang berkembang aktif. Oleh itu, gunakanlah peluang yang terbuka luas ini supaya kanak-kanak mampu menguasai bahasa Melayu dengan baiknya. Peluang ini sepatutnya diraih oleh semua kanak-kanak kerana pendedahan yang meluas dalam penguasaan bahasa Melayu ini suatu yang perlu untuk mengekalkan kelestarian bahasa Melayu pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.