Oleh Salman Sulaiman
29 Disember 2023, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Leo A.W.S, penyair senior Kelantan yang telah pun genap 50 tahun menulis pada tahun 2023 ini. Angka tersebut diambil kira daripada sajak pertamanya yang mendapat siaran akhbar pada tahun 1973, tatkala usianya baru mencecah 19 tahun ketika itu.

Leo A.W.S yang lahir pada 1 Ogos 1954 mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Seberang Pasir Mas, Sekolah Menengah Lemal (Lelaki) – kini SMK Tengku Panglima Raja (1967-1972), Sekolah Menengah Ismail Petra, Kota Bharu (1973-1974) dan di Universiti Malaya (1975-1978). Beliau berpengalaman mengajar di Saribas, Debak, Sarawak selama lima tahun hingga tahun 1983.

Leo A.W.S juga pernah aktif bersama-sama Persatuan Penulis Kelantan (PPK) sebagai seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) PPK. Walaupun telah bersara daripada tugas hakiki sebagai penjawat awam dalam dunia pendidikan; bidang sastera dan penulisan sajak yang banyak memperihalkan kisah masyarakat di sekelilingnya masih tetap menjadi antara minat utama Leo A.W.S.

Leo A.W.S, penyair gigih dengan bahasa sederhana dan mudah yang terus aktif menulis sejak 50 tahun yang lalu. Selama setengah abad kepenyairannya itu, Leo A.W.S tidak pernah jemu dan lelah menerbitkan buku sajak persendiriannya yang kini genap 34 buah semuanya sekali. Kebanyakan buku tersebut diterbitkan melalui syarikat penerbitannya sendiri, Pustaka Dewan Puisi (PDP).

Antara buku-buku itu termasuklah Sajak Kebun Lada (Penerbitan Karyawan, 1990), Pilihan Semusim (PDP, 1995), 40 Puisi (PDP, 1998), Dari Dewan Beta (PDP, 2000), Kebun Cakerawala (PDP, 2001), Langit Dusunku (PDP, 2003), 8 Puisi Bebas Ruang & 8 Sajak Budak Tepi Sungai (PDP, 2006), Seloka Detik Penentuan (PDP, 2012), Sajak Pagi & Telaga Banglo (PDP, 2015), Pilu Kalbuku (PDP, 2016) dan Memetik Deruan (PDP, 2020).

Antara buku-buku sajak Leo A.W.S.

Dalam sajak-sajaknya yang telah melebihi 1000 buah itu, Leo A.W.S banyak bercerita tentang kisah warga masyarakat yang menjalani kehidupan harian di sekitar dirinya seperti isteri dan anak-anaknya, jiran-jiran sekampung yang ditemuinya di kedai kopi, kawan-kawan lama yang dapat berjumpa semula, jemaah madrasah di sebelah rumahnya, Pak Ali seorang pemburu, pembuat perahu di Saribas, pak ciknya yang tinggal di Petaling Jaya, imam yang membaca khutbah di masjid kampungnya, bapa saudaranya, iaitu bekas Ketua Audit Negara yang dipanggil Pak Su, Pak Tengah Yaacob, iaitu pemberi petua dan sekian ramai orang lagi yang sering ditemui oleh Leo A.W.S ikut serta menjadi watak penting dalam setiap sajaknya.

Sepanjang proses kepengarangannya yang begitu lama dan berterusan itu, sesiapa yang selalu membaca karyanya akan dapat mengesan ada satu perkataan yang semacam telah menjadi bahasa milik peribadi atau seperti satu identiti kepada sajak-sajak Leo A.W.S. Perkataan tersebut ialah kalimah “persis” yang begitu disukai Leo A.W.S dan kerap benar digunakan dalam sajak-sajaknya.

Perhatikan contoh yang disertakan ini dalam sajaknya, “Malam Bulan Iraq” daripada buku Setahun Sebuah Sajak (Pustaka Dewan Puisi, 2006). Sebanyak dua kali telah diulangnya perkataan tersebut dalam sajak ini, iaitu:

Bulan malam ini

suram antara langit

celahan daun pohonan

di taman ladang tropika

kelapa sawit tua

menyaksikan dunia globalisasi

Amerika Syarikat angkuh

Presiden George W. Bush

sekutu akrabnya Tony Blair

Britain–Sepanyol–Australia.

 

Malam ini bulan

muram antara langit

celahan pelepah palma

di teluk padang pasir

menyaksikan George W. Bush

menyingkap topeng manusianya

persis syaitan nyata

pabila mengisytiharkan perang

melancarkan peluru berpandu

ke atas Baghdad–Iraq

:menggulingkan Saddam Hussein.

 

Malam bulan ini

suram antara langit

menyaksikan dunia cakerawala

bumi matahari bintang

gunung awan lautan

angin lelayang pelabuhan

unggas haiwan rimba

bertasbih sepanjang hayat

bangkit pada Subuh

persis nyaring murai

pagi dingin murni

semerbak wangi bunga.

 

Kita dapat merumuskan bahawa kata “persis” tersebut seperti menjadi identiti kebahasaan yang jelas sebagai milik Leo A.W.S apabila kerap digunakan dalam banyak karyanya sepanjang proses kepengarangannya yang panjang itu.

Hal ini terbukti apabila kita menemui lagi perkataan tersebut dalam sajaknya yang lain, iaitu sajak “Sepasang Burung di Ranting Tinggi”, yang ada dalam buku Mengejar Ufuk Fajar Memancar (Pusat Dewan Puisi, 2011) seperti yang berikut:

Bila hari tatkala senja,

              Sepasang burung tiba bercanda,

                             Di ranting tinggi langit angkasa;

Bila diri tatkala tua,

            Persis si pingai ceria selesa,

                          Terus musafir tanpa sengketa.

 

Kemudian, kita akan menemui perkataan itu lagi dalam sebuah sajaknya yang ditulis di Sungai Isap, Kuantan pada 20 Disember 2015, dan terkandung dalam buku Hijau Dedaun – Reranting Dedalu Menjalar–Julur (Pustaka Dewan Puisi, 2016) yang berjudul “Di Sebuah Gerai Taman Sg. Isap Kuantan”, iaitu:

/1/

Roti canai sudah terhidang

Sebuah gerai di Taman Sg. Isap

Makanlah dahulu wahai pengarang

Baharulah Facebook @ WhatsApp

 

/2/

Di pojok sana sekumpulan lelaki

Seraya makan berborak rancak

Agak lama mereka pun pergi

Tinggallah seorang persis pensajak

 

Daripada 34 bukunya secara keseluruhan, hanya lapan buah buku yang diterbitkan oleh Percetakan Adabi, Penerbitan Karyawan, Perkumpulan Penyajak Mutakhir Malaysia/PENYAIR, PPK dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Selebihnya, 26 buah buku diterbitkan sendiri melalui syarikat penerbitannya, PDP. PDP juga pernah menerbitkan buku sajak karya beberapa orang penulis lain.

Dari kiri: Penulis bersama-sama Rosli K. Matari, Mohd Dahri Zakaria dan Leo A.W.S di sebuah kedai kopi yang tidak jauh dari rumahnya di Dewan Beta, berbincang tentang majlis khusus untuk meraikannya di Kotak Seni esok.

 

Sehubungan dengan itu, bersempena dengan usia jubli emas kepenyairan penulis Kelantan yang paling prolifik tersebut, Liga Penulis Kelantan (LPK) akan mengadakan satu program khusus, iaitu majlis Meraikan 50 Tahun Kepenyairan Leo A.W.S pada 30 Disember 2023 (Sabtu) ini yang bermula pada pukul 10 pagi di Kotak Seni, Kota Bharu, Kelantan.

Kotak Seni merupakan sebuah ruang ekspresi seni mandiri yang diterajui oleh Izwan dan Erin akan menjadi lokasi istimewa meraikan Leo A.W.S nanti. Para tetamu undangan akan dapat menyelusuri denai panjang kehidupan seorang penyair yang bergelar Leo A.W.S secara santai sambil mencicip kopi asli pelbagai rasa dan aroma yang dijual di Kotak Seni.

Aktiviti sastera anjuran LPK tersebut akan diawali dengan persembahan deklamasi sajak oleh N. Faizal Ghazali, Salman Sulaiman dan Maarof Seman RS, serta dendangan lagu puisi yang akan disampaikan oleh Anbakri. Majlis ini akan dikendalikan oleh pengacara jemputan yang diundang jauh dari Ipoh, Perak, iaitu Nimoiz T.Y.

Kemudian, acara wacana separa ilmiah akan membicarakan kepengarangan Leo yang akan dimulakan dengan sedikit bingkisan kata-kata aluan oleh pengarah projek, yang juga Penyelaras LPK, iaitu Mohd Dahri Zakaria. Selepas itu, diikuti pula oleh pembentangan makalah yang akan disampaikan oleh dua orang panel, iaitu Ketua 1 PPK, Tuan Haji Wan A. Rafar dan Sasterawan Negeri Kelantan yang juga penerima SEA Write Award 2021, Encik Rosli K. Matari. LPK memberikan ruang dan peluang kepada dua orang penyair mapan Kelantan yang sezaman dengan Leo A.W.S sendiri untuk membicarakan sedekat-dekatnya perihal karya dan berkenaan kepengarangannya.

Leo A.W.S sendiri sebagai penyair yang mendapat penghargaan istimewa pada majlis tersebut juga akan diberi peluang untuk bercakap kepada khalayak selepas selesai panel membentangkan makalah masing-masing, iaitu sebelum majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata.

Sehubungan dengan itu, Kota Bharu yang tidak pernah sunyi daripada acara seni dan sastera sejak puluhan tahun lalu akan menyaksikan seorang daripada penyairnya diraikan pada hujung Disember ini. Walau di tempat yang terhad kehadirannya, meski cuma seadanya hidangan yang disediakan; dengan rasa rendah hati kami membawakan kepada anda penyair Kelantan yang paling prolifik, yang seluruh hidupnya dipenuhi dengan sajak, yang tidak pernah jemu menerbitkan buku, yang tidak pernah bosan lisannya berbicara tentang puisi – Leo A.W.S.

Sebagai acara penutup tahun, LPK berharap semoga seminar kecil ini akan menambah satu lagi khazanah tentang perkembangan dan aktiviti sastera negara yang sangat wajar diperhatikan dan didokumentasikan. Semoga acara khusus yang meraikan setengah abad kepenyairan Leo A.W.S ini bukanlah yang terakhir di negeri ini.

Semoga bakal ada lagi sasterawan dan penyair negara yang akan terus dihargai, padan patut dengan sumbangan mereka kepada dunia persuratan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu, yang sekali gus turut membangunkan peradaban bangsa serta ikut memberikan impak terhadap perkembangan budaya membaca dalam masyarakat.

Tidak ada mana-mana sasterawan atau pengarang yang minta diraikan dan diagung-agungkan. Namun begitu, kitalah yang sepatutnya peka, proaktif dan sedar diri untuk cepat-cepat menghargai sebelum para penulis, seniman dan penyair itu dipanggil pulang mengadap Ilahi.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.