1 Januari 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebermula, setiap negara dan bangsa yang merdeka, ada bahasa kebangsaan, dan sekali gus bahasa rasminya sendiri. Persekutuan Tanah Melayu, dan seterusnya Malaysia yang merdeka telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Peruntukan mengenai bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu jelas dinyatakan di bawah Fasal (1) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan: Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.

Hatta, sejak 1 September 1967, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32), dan Seksyen 2 Akta 32 dibaca seperti yang berikut “Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi”, dan penggunaan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, misalnya telah diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011, “PANDUAN PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM”, dan dinyatakan dalam pelbagai Pekeliling Perkhidmatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Baik dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 sudah amat jelas status dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus bahasa rasmi negara. Namun begitu, pada hakikatnya, kedudukan dan peranan bahasa Melayu itu masih dipersoalkan, diremehkan, dipinggirkan dan disalahtafsirkan oleh pelbagai pihak  yang jelas menggambarkan sikap serta tindak-tanduk mereka yang tidak menghormati Perlembagaan Negara, khususnya dasar-dasar yang berkaitan dengan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara.

Sekilas pandang, masih ada pihak tertentu yang cuba bermain politik dan sentimen bahasa – lantas ada yang menunjukkan sikap tidak hormat kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam hal ehwal rasmi, dan sebagai contoh seperti dalam penamaan jawatan, premis bangunan, taman perumahan, pusat perniagaan dan sebagainya.

Sedangkan, istilah dan kosa kata dalam bahasa Melayu bagi tujuan tersebut sudah pun mantap dan lebih indah daripada ungkapan atau perkataan Inggeris yang dibanggakan oleh mereka. Tindak-tanduk provokatif dan tidak nasionalistik demikian seharusnya tidak menjadi suatu kebiasaan yang tentunya mengundang pelbagai bantahan dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

 

Soal Politik Bahasa

Berbanding dengan negara-negara lain yang merdeka di Asia Tenggara, khususnya di Indonesia, kedudukan dan peranan bahasa Indonesia sebagai bahasa nasional, sekali gus sebagai bahasa rasmi negara tersebut tidak dipersoalkan. Sedangkan di negara ini, masih ada pihak tertentu yang memperlihatkan sikap dan tindak-tanduk yang mempersoalkan keabsahan serta kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara.

Kendatipun, kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sememangnya sudah cukup jelas dan diketahui umum, namun keberadaan itu belum begitu berjaya melahirkan rasa hormat yang jitu terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

Politik bahasa berhubung kait dengan prakarsa dan upaya mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang telah digerakkan sejak sebelum Persekutuan Tanah Melayu Merdeka, dan sebelum terbentuknya negara Malaysia pada 16 September 1963.

Pengabsahan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, termasuk peranannya sebagai sarana komunikasi dalam usaha mencerdaskan kehidupan bangsa itulah yang dikatakan perjuangan politik bahasa. Justeru, fungsi politik bahasa ini sangat bersangkut paut dengan pelbagai dasar yang berkaitan dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Barang diingat, sikap tidak hormat akan dasar bahasa juga diperlihatkan oleh tingkah laku sesetengah pihak yang mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris yang bukan berpunca daripada kekhilafan, melainkan disebabkan kurangnya penguasaan bahasa Melayu mereka.

Kecenderungan demikian kalau dibiarkan dan tidak dibendung dengan sewajarnya sudah tentu boleh menjejaskan peranan bahasa Melayu sebagai wahana penyatuan bangsa Malaysia, sekali gus merencatkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai wahana pemodenan kebudayaan dan sarana aspirasi pendemokrasian masyarakat Malaysia.

Seperti juga bahasa Indonesia, egalitarianisme yang dimiliki oleh bahasa Melayu itu ialah jawapan yang paling tepat bagi merealisasikan aspirasi bangsa Malaysia untuk menikmati kehidupan yang lebih beridentiti, harmoni dan demokratik, sekali gus untuk mengelak daripada meluasnya sentimen politik bahasa yang sempit.

Barangkali, pelbagai lapisan masyarakat di negara ini, baik dalam kalangan pembuat dasar, pelaksana dasar mahupun rakyat jelata perlu senantiasa ditarbiahkan serta disedarkan tentang kewajaran bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan negara, dan fungsi bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi.

Pemilihan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan  

Antara sebab-musabab yang mewajarkan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa

kebangsaan, dan sekali gus sebagai bahasa rasmi Malaysia, ialah:

  1. Penutur bahasa Melayu adalah terbesar bilangannya di negara ini;
  2. Bahasa Melayu ialah dominan dan keperibumian sifatnya;
  3. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai lingua franca atau bahasa perhubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini sejak abad ke-15 lagi,yang sekali gus menjadikan bahasa itu lebih difahami secara meluas lagi;
  4. Bahasa Melayu mempunyai sejarah dan tradisi yang mantap sebagai bahasa pentadbiran dan pemerintahan di negara ini; dan
  5. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu dan persuratan berabad-abad lamanya di Nusantara.

 

Justeru, bahasa Melayulah yang lebih wajar daripada bahasa-bahasa lain untuk dipilih dan diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Tentu sahaja, dasar yang sudah jelas termaktub ini tidak wajar dipersoalkan lagi, dengan apa-apa cara serta sebab-musabab sekalipun. Sebaliknya, usaha dan tenaga harus ditumpukan kepada memahami dan memaknakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang tiada duanya.

 

Peranan Bahasa Kebangsaan

Apabila bahasa Melayu dipilih dan diangkat sebagai bahasa kebangsaan, maka bahasa itu sudah berubah peranannya sebagai lingua franca menjadi bahasa nasional, yakni bahasa yang melambangkan negara serta bangsa yang merdeka dan berdaulat – negara yang merdeka dan bangsa yang berdaulat sudah tentu memiliki bahasa kebangsaan yang menjadi citra identiti serta jati dirinya yang luhur.

Negara dan bangsa yang merdeka yang tidak memiliki bahasa kebangsaan sudah tentulah kebebasan dan kemerdekaan itu tidak membawa erti apa-apa, sekali gus mempunyai identiti yang dapat dibanggakan. Sama seperti lagu kebangsaan dan bendera negara, bahasa kebangsaan berperanan sebagai citra nasional negara, dan sebagai bukti kemerdekaan sesuatu bangsa dan kedaulatan sesebuah negara yang merdeka.

Kewajaran bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan, khususnya disebabkan tersebar luasnya penggunaan bahasa itu juga diperkukuh dengan pernyataan Francois Valentijn, yakni ahli sejarah berbangsa Belanda yang banyak menulis tentang Kepulauan Melayu, pada awal abad ke-18: Bahasa mereka, iaitu bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali  dan di Levant.

Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi, bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya hingga ke Kepulauan Filipina.

Bahasa kebangsaan juga berperanan sebagai bahasa penyatuan bangsa Malaysia. Bagi tujuan itu, bahasa Melayu menjadi sarana utama komunikasi dalam usaha mencerdaskan kehidupan bermasyarakat, pemodenan kebudayaan bangsa dan pengembangan pelbagai bentuk ilmu pengetahuan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan nescaya berjaya berperanan sebagai bahasa penyatuan bangsa apabila bahasa itu diterima dan dihormati oleh semua peringkat masyarakat, di samping kewibawaan dan kemartabatan bahasa itu seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak dipandang remeh.

 

Peranan Bahasa Rasmi

Seyogianya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga bermaksud bahasa itu juga berperanan sebagai bahasa rasmi, yakni bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi sejajar dengan Perkara 152 yang disebut sebelum ini yang memperuntukkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Perkara 152 antara lain menyatakan bahawa: Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Dalam konteks memperkukuh kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta memperkuat Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 telah digubal yang jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi semua maksud rasmi. “Maksud rasmi” ialah “apa-apa juga maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.”

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1999), antara lain memperturunkan sembilan “maksud rasmi” yang menekankan peri perlunya bahasa Melayu yang betul dan baku digunakan dalam urusan rasmi di Parlimen Malaysia, mahkamah, sektor awam (termasuk urusan rasmi antara orang awam dan sektor swasta dengan sektor awam), media cetak, media elektronik, iklan perdagangan, penamaan syarikat, pertubuhan dan perniagaan, sektor pendidikan, dan sektor swasta.

Perjalanan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sangat berliku, dan banyak masalah yang perlu ditangani dengan berhemah dan bijaksana. Gejala kerancuan bahasa dalam kalangan pengguna masih lagi menjadi perbualan hangat masyarakat.

Begitu juga dengan tingkah-laku tidak patriotik sesetengah pihak yang berkedudukan yang bertindak menukarkan istilah perjawatan dan nama jabatan dalam bahasa Melayu yang sudah mantap kepada bahasa Inggeris, juga masih dijadikan isu.

Masalah tidak pandai berbahasa, dan malahan tidak tahu berbahasa kebangsaan dengan baik sesuai dengan taraf sebagai warganegara Malaysia yang bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu, tetap menjadi duri dalam daging kepada pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Gejala dan isu yang dinyatakan di atas, boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati dasar bahasa kebangsaan, sekali gus memperlihatkan betapa rapuhnya semangat kebangsaan dan kenegaraan yang dimiliki oleh segelintir daripada warganegara Malaysia, kendatipun sudah sekian lama hidup bebas dan merdeka di tanah air tercinta ini.

Sesetengah pihak pula, sengaja menimbulkan provokasi dengan menyalahtafsirkan maksud bahawa “bahasa-bahasa lain boleh digunakan” dengan tanggapan yang bahasa-bahasa lain itu boleh digunakan untuk semua maksud, termasuk maksud rasmi. Sedangkan, yang dimaksudkan ialah, bahasa-bahasa lain itu boleh digunakan untuk maksud bukan rasmi, lisan atau mengembangkan budaya sendiri serta sebagai usaha untuk memelihara bahasa-bahasa sukuan agar tidak pupus.

Ada juga pihak yang menyalahtafsirkan maksud yang terkandung dalam dasar bahasa itu sebagai kebebasan untuk mereka menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan rasmi masing-masing. Sedangkan tindakan mereka itu ialah suatu bentuk tindakan tidak menghormati aspirasi kebangsaan dan kenegaraan dalam Dasar Bahasa Kebangsaan.

Sewajarnyalah, ketetapan yang sudah termaktub dalam dasar bahasa, baik yang berkaitan dengan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mahupun sebagai bahasa rasmi negara, harus diterima, difahami dan dihormati oleh semua pihak – tidak harus dipersoalkan dan dipermasalahkan lagi dengan membangkitkan isu serta membuat tafsiran yang boleh dianggap sebagai tidak menghormati dasar bahasa yang telah dibentuk.

 

Renungan Terakhir  

Rasa hormat akan bahasa Melayu baik sebagai bahasa kebangsaan mahupun bahasa rasmi hendaklah dimanifestasikan dengan memperlihatkan sikap serta persepsi yang lebih positif dan konstruktif terhadap kedudukan dan peranan bahasa itu, di samping menjauhkan diri daripada mengeluarkan pernyataan serta melakukan tindak-tanduk yang bersifat provokatif dan destruktif kepada kedaulatan dasar bahasa kebangsaan.

Kita, tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, budaya dan asal usul keturunan serta taraf pendidikan, status sosial dan kedudukan politik hendaknya menjadi warganegara Malaysia yang lebih bertanggungjawab dengan tidak bersikap dan berfikiran pesimistik, sarkastik, dan apatah lagi cauvinistik terhadap martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Sesungguhnya, kita telah ditakdirkan untuk menjadi warganegara ini, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kita ialah suatu hakikat yang telah ditakdirkan ke atas kita. Justeru, menjadi tanggungjawab moral, sosial dan politik kita untuk menerima serta melaksanakan apa-apa juga dasar negara, termasuk dasar bahasa kebangsaan, demi mempertahankan kedaulatan negara dan memperkukuh keharmonian bangsa.

Dasar Bahasa Kebangsaan boleh sahaja dibahaskan dan ditafsirkan. Walau bagaimanapun, pembahasan dan pentafsiran itu seharusnya bukan bertujuan politik perkauman dan kepartian yang sempit, namun sebaliknya untuk memurnikan aspirasi kenegaraan yang luhur yang tersurat dan tersirat dalam dasar negara tersebut.

Akhirulkalam, bahasa Melayu, sebagai bahasa rasmi khususnya tidak seharusnya dipolitikkan, dan disensasikan sebagai nilai serta unsur politik yang menguntungkan kaum tertentu. Hormatilah kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara tanpa prejudis!

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.