Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu berperanan sebagai asas pemupukan perpaduan dan lambang pemersatuan rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum.” (Farid M. Onn, 37:1993)
Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang agama, kepercayaan dan budaya.
Bahasa yang dituturkan oleh suatu kelompok masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai citra budaya yang tersendiri sifatnya. Perancangan dan Dasar Bahasa yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dapat diterima baik oleh seluruh rakyat Malaysia.
Kumpulan terbesar rakyat Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Di Semenanjung Malaysia pula terdapat penduduk peribumi, manakala di Sabah dan Sarawak terdapat pelbagai etnik yang menggunakan pelbagai dialek dan budaya tersendiri dalam kehidupan seharian. Namun demikian, rakyat Malaysia yang berbilang kaum bukanlah kekangan kepada hubungan harmoni dan penyatuan antara kaum. Dalam hal ini, bahasa Melayu turut berperanan dalam membentuk hubungan jitu antara pelbagai bangsa rakyat Malaysia.
Dasar Bahasa dalam Penyatuan Pelbagai kaum
Dasar Bahasa telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Namun demikian, kerencaman demografi penduduk Malaysia yang bersifat berbilang kaum, agama dan keturunan bukanlah suatu kekangan untuk merealisasikan pendekatan integrasi ke arah mencapai perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Rasionalnya, tindakan masyarakat pelbagai agama, budaya dan keturunan yang akur menerima bahasa Melayu sebagai variasi utama di negara ini sememangnya dapat menghasilkan impak yang berguna dalam konteks sosiopolitik negara. Justeru, hal tersebut dapat melahirkan perpaduan yang jitu dan pemahaman yang sama antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Kenyataan tersebut sebagaimana peribahasa Melayu yang menyebut, “Bersatu teguh, bercerai roboh” yang menuntut kesatuan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat dalam menangani sesuatu hal. Justeru, pemilihan bahasa Melayu sebagai variasi utama wahana komunikasi dan perpaduan masyarakat secara tidak langsung dapat menangani cabaran dan isu yang menjadi agenda bersama pada peringkat lokal serta global.
Hal tersebut menggambarkan keharmonian dan budi luhur yang dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia seumpama “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” yang menjelaskan kejituan masyarakat Malaysia yang sentiasa bersedia berkongsi bebanan untuk mencapai matlamat secara bersama-sama.
Tuntasnya, bahasa Melayu tidak hanya tersimpan dalam pola pemikiran dan identiti, namun dapat mengekspresikan peranan bahasa Melayu sebagai pembentukan serta peneguhan sistem kebudayaan masyarakat dalam ruang sosial dan budaya. Di samping itu, bahasa Melayu turut dapat berperanan sebagai bahasa ilmu yang menerobosi pelbagai ilmu bantu yang luas sifatnya.
Hal tersebut sebagaimana menurut Takdir Alisjahbana (1975) menerusi Joan Rubin & B.H. Jernudd (1975: 180) dalam Can Language Be Planned? menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu seperti terpancar dalam kitab-kitab agama, undang-undang, sejarah serta kesusasteraan. Setelah kedatangan orang Barat, pedagang Arab dan buruh pendatang dari India dan China, bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan dalam masyarakat yang bertambah kosmopolitan dan heterogen sifatnya.
Bahasa Melayu Penyatuan Pelbagai Kaum
Malaysia dihuni oleh masyarakat yang pelbagai agama, budaya dan keturunan serta memiliki warisan bahasa yang berbeza. Namun begitu, peranan perancangan bahasa yang membuat penentuan agar bahasa Melayu di jadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia jelas mempunyai kerelevanan dengan situasi sosiopolitik negara. Hal tersebut dilaksanakan berdasarkan justifikasi yang mantap sebagai bahasa penyatuan pelbagai kaum, memupuk keharmonian sempurna, sopan santun dan budi bahasa ke arah membentuk rakyat yang setia kepada negara Malaysia.
Menurut Mohd. Sohaimi, Romzi, Irma Wani dan Herlina (2021:111) menerusi “Isu dan Cabaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di Ambang Kemerdekaan Tanah Melayu”, pada masa ini, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi satu daripada identiti rakyat Malaysia. Identiti yang dibina selama ini menjadi wadah kepada perpaduan nasional. Realitinya, bahasa bukan setakat menjadi alat komunikasi, tetapi yang lebih penting bahasa itu menunjukkan bangsa dan bahasa merupakan jiwa bangsa.
Jelaslah bahawa, bahasa Melayu sememangnya tonggak penyatuan bangsa. Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang agama, kepercayaan dan budaya yang berbeza telah berusaha untuk mempelajari dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
Signifikannya, di sinilah terserlah keunikan negara Malaysia yang berjaya menyatupadukan pelbagai latar belakang masyarakatnya menerusi pemilihan bahasa Melayu sebagai variasi utama. Tuntasnya, walaupun ketika negara sedang mengharungi cabaran isu sosiopolitik, setiap rakyat Malaysia akur dalam memenuhi tuntutan dan tanggungjawab untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.
Dalam situasi kepelbagaian latar belakang masyarakat di Malaysia yang memiliki bahasa, mewarisi konsep identiti dan ciri-ciri kebudayaan tradisional tersendiri, namun rakyatnya tetap berfikiran terbuka menerima bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama merupakan lambang keperibadian bangsa dan negara Malaysia.
Hal tersebut dapat mengimbas kembali keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca di Nusantara pada suatu masa dahulu. Kini, bahasa Melayu menjadi bahasa penyatuan sebagai lambang keharmonian antara kaum di Malaysia. Hal tersebut membuktikan bahawa hubungan jitu dan persefahaman dalam kalangan rakyat di Malaysia tetap terjalin walaupun mengharungi pelbagai isu dan cabaran sosiopolitik.
Firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum, ayat 22 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptanya langit dan bumi, dan perbedaan bahasamu serta warna kulitmu. Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui”.
Secara eksplisitnya, ayat tersebut menjelaskan mengenai perbezaan manusia menerusi bahasa dan warna kulit. Perbezaan tersebut hanyalah bersifat luaran, namun pemahaman yang lebih jelas perlu diwujudkan antara sesama manusia agar tidak berlaku perbalahan dan konflik. Kenyataan tersebut sebagaimana menurut Abd. Rahim (2010:21) menerusi “Pengajaran Bahasa dalam Perspektif al-Quran” menyatakan bahawa al-Quran turut berfungsi sebagai sumber dari segala macam sumber aturan tentang hukum sosial ekonomi, kebudayaan, pendidikan, dan moral harus dijadikan pandangan hidup bagi seluruh umat manusia untuk memecahkan masalah yang dihadapinya.
Tuntasnya, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang agama, kepercayaan dan budaya. Justeru, Dasar Bahasa yang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia dapat merealisasikan pendekatan integrasi ke arah mencapai perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia.
Dalam situasi kepelbagaian latar belakang masyarakat di Malaysia yang memiliki bahasa, mewarisi konsep identiti dan ciri kebudayaan tradisional tersendiri, namun rakyatnya tetap berfikiran terbuka menerima bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama merupakan imej keperibadian bangsa dan penyatuan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, kepercayaan dan agama perlu menggalas tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat lokal dan antarabangsa. Pelbagai pihak juga perlu mengambil langkah-langkah pengekalan dalam memastikan agar bahasa Melayu berterusan menjadi variasi utama dalam berkomunikasi serta wahana dalam urusan rasmi dan tidak rasmi.
Penulis merupakan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.