Oleh Tan Xiao
2 Januari 2024, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Guangdong merupakan wilayah ekonomi utama dan pintu gerbang pembaharuan dan terbuka negara China, Ibu kotanya, Guangzhou merupakan bandar raya ketiga besar di China selepas Beijing, dan Shanghai. Sejak zaman kuno, Guangzhou sudah menjalinkan hubungan yang erat melalui “Laluan Sutera Maritim” dengan rantau Asia Tenggara, termasuklah Tanah Melayu.

Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS) merupakan satu daripada tiga buah universiti bahasa asing yang terkenal di China. Kini, GDUFS menawarkan sebanyak 31 jenis bahasa asing termasuklah bahasa Melayu, iaitu menjadikan universiti ini yang paling banyak menawarkan pelbagai bahasa asing di China Selatan.

Jurusan bahasa Melayu di GDUFS ditubuhkan di bawah latar belakang China mula melaksanakan Inisiatif Jalur dan Laluan pada tahun 2013. Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, GDUFS memulakan persiapan untuk pembinaan Jurusan Bahasa Melayu pada tahun 2013, dan telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan China pada tahun 2014. Pada tahun 2015, jurusan tersebut mulai menerima pelajar dan hingga hari ini sudah ada lebih daripada 100 orang graduan.

Pada 19 Disember 2023, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Dato’ Goh Hin San, dan delegasinya melawat GDUFS. Presiden GDUFS, Prof. Yan Xiangbin bertemu dengan para tetamu tersebut di Kampus Baiyunshan. Prof. Yan Xiangbin memperkenalkan ciri-ciri pendidikan antarabangsa dan pembinaan Jabatan Bahasa Melayu di GDUFS secara terperinci. Beliau menegaskan bahawa GDUFS ialah satu daripada universiti utama di Wilayah Guangdong.

GDUFS telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan hampir 500 universiti dan institusi di luar China, termasuklah beberapa buah universiti di Malaysia yang terkenal. Misalnya, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. GDUFS mempunyai kelebihan yang ketara dalam bidang pengajaran dan penyelidikan bahasa dan kesusasteraan asing. Misalnya, Jurusan Bahasa Melayu merupakan satu daripada jurusan bahasa asing yang terbaik di China.

Jabatan Bahasa Melayu, GDUFS telah membina satu kumpulan pensyarah yang hebat. Beliau berkata bahawa lawatan Dato’ Goh memberikan peluang baharu kepada kerjasama antara kedua-dua pihak. Beliau juga berharap agar kedua-dua pihak dapat mengukuhkan lagi kerjasama dalam pertukaran budaya antara China dengan Malaysia supaya dapat memupuk lebih banyak bakat berkualiti tinggi untuk kedua-dua negara, membina jambatan untuk meningkatkan persahabatan dan pertukaran budaya antara China dengan Malaysia.

Sementara itu, Dato’ Goh menyampaikan rakaman penghargaan yang tinggi atas pencapaian Jurusan Bahasa Melayu yang luar biasa di GDUFS. Beliau berkata, Pusat Kebudayaan Han Malaysia dan GDUFS mempunyai asas kerjasama yang baik. Beliau menekankan bahawa kedua-dua pihak mempunyai potensi pembangunan yang besar dalam penyebaran budaya, pertukaran akademik, dan latihan pelajar antarabangsa.

Pusat Kebudayaan Han Malaysia turut bersedia untuk menjadi jambatan pertukaran budaya antara Malaysia dengan China, menggalakkan pembelajaran bersama antara tamadun, dan mempromosikan kerjasama antara Malaysia dengan China ke tahap yang baharu.

Dato’ Goh Hin San (kiri) dan Presiden GDUFS, Prof. Yan Xiangbin.

Selepas itu, Dato’ Goh melawat Jabatan Bahasa Melayu, GDUFS dan ke Kelas 2022 untuk menyaksikan kuliah Bahasa Melayu Asas. Dato’ Goh turut meluahkan perasaannya yang mendalam kepada guru dan pelajar GDUFS, iaitu “Saya mula belajar bahasa Melayu pada tahun 1976, dan kehidupan saya telah berubah sejak itu. Hubungan antara China dengan Malaysia juga berkembang pesat”.

Katanya lagi, “Tahun depan ialah ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Pusat Kebudayaan Han akan mengadakan beberapa siri aktiviti untuk sambutan pada kali ini. Jurusan Bahasa Melayu mempunyai masa depan yang cerah dan kita boleh membuat lebih banyak aktiviti untuk meningkatkan persahabatan kedua-dua negara!”.

Dalam pertemuan yang mesra itu, para pelajar GDUFS mengalu-alukan kedatangan Dato’ Goh dan masing-masing memperkenalkan diri dalam bahasa Melayu dengan fasih dan menggambarkan impian mereka terhadap masa depan. Mereka semua turut diberi nama Melayu semasa masuk ke universiti ini.

Kini terdapat empat buah kelas dengan sejumlah 44 orang pelajar yang sedang belajar bahasa Melayu dalam Jurusan Bahasa Melayu di GDUFS. Antaranya termasuklah pelajar dari Kelas 2021 yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Sesudah perbincangan terperinci dan teliti, kedua-dua pihak memutuskan akan menandatangani perjanjian dalam langkah seterusnya agar dapat menempatkan Pusat Kebudayaan Han Malaysia sebagai pangkalan latihan luar negara untuk Jurusan Bahasa Melayu di GDUFS kelak.

Dato’ Goh Hin San bertemu dengan para pelajar GDUFS.
Dato’ Goh Hin San (tengah) dengan para pensyarah dan pelajar GDUFS.

 

Sehubungan dengan itu, dilampirkan beberapa pandangan para pelajar GDUFS tentang bahasa Melayu seperti yang berikut:

Li Jie (Fadilah)

Saya datang dari Chenzhou, Wilayah Hunan. Saya seorang mahasiswi yang belajar di Jabatan Bahasa Melayu. Selepas belajar bahasa Melayu, saya mula tertarik dengan budaya Malaysia. Oleh sebab itu, saya teringin pergi ke Malaysia sebagai pelajar pertukaran. Saya akan belajar bersungguh-sungguh pada setiap hari untuk menunaikan harapan saya itu, iaitu boleh berkomunikasi dengan lancar bersama-sama sahabat Melayu nanti.

Huang Wanxin (Melur)

Saya sudah mempelajari bahasa Melayu di GDUFS selama lebih setahun. Saya datang dari Shantou, Wilayah Guangdong. Setahu saya, di Malaysia ada banyak orang Teochew (Chaoshan) juga. Apabila mempelajari kosa kata Melayu, saya juga belajar tentang kosa kata daripada dialek Teochew. Saya gemar membaca buku tentang budaya dan sejarah. Saya juga berminat terhadap sejarah dan budaya Malaysia. Oleh sebab itu, saya hendak belajar lebih banyak pengetahuan tentang budaya Malaysia dan bahasa Melayu.

Jiang Jian (Aydan)

Kampung halaman saya ialah Bandar Guangzhou, Wilayah Guangdong. Saya suka membaca buku. Sebenarnya, saya lebih banyak membaca buku tentang budaya Asia Tenggara. Jika boleh, pada masa akan datang, saya ingin menggunakan bahasa Melayu sebagai alat untuk melakukan kajian serantau dan negara mengenai dunia Melayu.

Peng Yaoyao (Qistina)

Saya datang dari Meizhou, Wilayah Guangdong dan orang Hakka. Kegemaran saya ialah membaca pelbagai novel dan menonton filem yang menarik. Saya pernah mendengar bahasa Melayu yang diucapkan oleh aktor-aktor dalam rancangan televisyen sebelum masuk ke GDUFS, dan mahu melancong ke Malaysia. Saya berharap agar boleh belajar bahasa Melayu dengan baik dan pelajaran saya kian maju dari semasa ke semasa lalu mendapat peluang untuk melancong ke Malaysia nanti.

Zhang Liyu (Ziana)

Saya datang dari Kunming, Wilayah Yunnan. Saya suka menari. Selain belajar tentang bahasa Melayu dan budaya Malaysia, saya juga belajar menari tarian tradisional Melayu, iaitu tarian joget. Walaupun tidak pernah ke Malaysia, saya sentiasa berminat terhadap budaya Asia Tenggara kerana makanan Asia Tenggara nampaknya sangat menarik hati. Saya memang bernasib baik kerana boleh mempelajari bahasa Melayu. Dalam proses pembelajaran bahasa Melayu, saya belajar tentang bahasa, masyarakat dan budaya. Saya berharap agar pada masa hadapan, saya akan dapat memberikan jasa yang kecil kepada komunikasi antara China dengan Malaysia selepas mahir dalam bahasa Melayu.

Wang Ziyi (Mahirah)

Saya datang dari Wilayah Jiangxi. Sejak kecil, saya sudah menanam benih impian untuk belajar bahasa asing di hati saya. Saya mahu melihat dunia yang lebih luas melalui bahasa yang indah. Oleh sebab itu, saya memilih untuk mengambil jurusan Bahasa Melayu. Setelah lebih setahun belajar, bahasa Melayu telah meluaskan horizon saya dan memupuk watak saya yang lebih inklusif. Saya berharap agar dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu dan boleh menggunakan bahasa Melayu pada masa depan.

Li Ruimin (Rania)

Saya datang dari Jiangmen, Wilayah Guangdong dan kini tinggal di Foshan. Kegemaran saya ialah melukis dan mengambil gambar. Semasa kecil, saya bersama-sama keluarga melancong ke Malaysia dan ini kali pertama saya mendengar tentang bahasa Melayu. Apabila memilih GDUFS, saya masuk ke Jabatan Bahasa Melayu. Saya berharap agar penguasaan bahasa Melayu saya akan semakin maju pada masa akan datang.

Xiao Shiqi (Izzati)

Saya berumur 19 tahun dan datang dari Shenzhen. Shenzhen, seperti Guangzhou ialah satu daripada bandar yang paling maju di Wilayah Guangdong dan terdapat banyak syarikat Malaysia. Saya telah belajar bahasa Melayu selama hampir dua tahun. Walaupun markah subjek Bahasa Melayu saya masih kurang tinggi sekarang, tetapi saya akan terus belajar dengan tekun. Saya berharap agar dapat mempelajari bahasa Melayu dengan lebih baik pada masa akan datang dan memahami budaya Melayu dengan lebih mendalam.

Liang Mingze (Farhan)

Saya sangat berminat terhadap budaya Malaysia dan bersungguh-sungguh dalam pembelajaran bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Saya berharap agar boleh belajar dan bekerja di Malaysia pada masa hadapan.

Fei Wangqiuhan (Fattah)

Saya datang dari Wilayah GuangXi. Saya suka membaca buku, mendengar muzik dan bermain bola sepak. Saya mula mempelajari bahasa Melayu pada bulan September 2022. Saya berharap agar dapat memahami Malaysia dengan lebih mendalam dan boleh berkawan dengan rakan sekelas dari Malaysia semasa melanjutkan pengajian di Malaysia pada tahun depan. Namun begitu, proses dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu yang paling penting pada hari ini.

Yu Xiutong (Zara)

Saya datang dari Shenzhen, Wilayah Guangdong. Kegemaran saya ialah bermain bola tampar dan membaca buku. Sebelum masuk ke universiti, saya sudah mengenali Malaysia dan sangat berminat dengan budaya Malaysia. Selain itu, saya pun suka belajar bahasa Melayu kerana dapat memberikan banyak pengalaman yang tidak pernah saya alami sebelum ini. Belajar bahasa Melayu juga membolehkan saya berjumpa dengan ramai cikgu yang saya hormati. Saya berharap agar dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sungguh baik!

 

Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Guangdong University of Foreign Studies, China.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.