Oleh Kho Thong Eng
9 Januari 2024, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayat songsang ialah ayat yang mengalami pendepanan seluruh atau sebahagian daripada predikatnya. Bagi pendepanan seluruh predikat, hal ini meliputi pendepanan seluruh predikat frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

Pendepanan Seluruh Predikat Frasa Nama

1a.  Bapanya guru cemerlang.

1b.  Guru cemerlang bapanya

 

2a.  Bukunya buku itu.

2b.  Buku itulah bukunya.

 

3a.  Bukunya buku itu?

3b.  Buku itukah bukunya?

3c.  Adakah buku itu bukunya?

 

4a.  Bukunya buku di atas meja itu.

4b.  Buku di atas meja itu bukunya.

 

Dalam ayat 1b, seluruh frasa nama predikat guru cemerlang dikedepankan. Dalam ayat 2b, seluruh frasa nama predikat buku itu dikedepankan dengan kata penegas -lah. Dalam ayat tanya 3b, seluruh frasa nama predikat buku itu dikedepankan dengan kata tanya penegas -kah. Dalam ayat tanya 3c, seluruh frasa nama predikat buku itu dikedepankan dengan ditambah kata tanya adakah. Dalam ayat 4b, seluruh frasa nama predikat dikedepankan, iaitu inti frasa nama buku, frasa sendi nama penerang di atas meja dan kata penentu belakang itu.

 

Pendepanan Seluruh Predikat Frasa Kerja

5a.  Dia sedang termenung.

5b.  Sedang termenung dia.

5c.  Sedang termenungkah dia?

 

6a.  Buku itu dibacanya.

6b.  Dibacanya buku itu.

6c.  Dibacanyakah buku itu?

 

7a.  Buku ini telah awak baca.

7b.  Telah awak baca buku ini.

7c.  Telah awak bacakah buku ini?

 

Dalam ayat aktif songsang 5b, seluruh frasa kerja predikat sedang termenung dikedepankan. Ayat 5c merupakan ayat tanya aktif songsang dengan kata tanya penegas -kah. Dalam ayat pasif kata ganti nama diri orang ketiga songsang 6b, seluruh frasa kerja pasif dikedepankan, iaitu kata kerja pasif dibaca dengan pelaku –nya dikedepankan. Ayat 6c merupakan ayat tanya pasif songsang dengan kata tanya penegas -kah. Dalam ayat pasif kata ganti nama diri orang kedua songsang 7b, seluruh frasa kerja dikedepankan, iaitu kata kerja akar baca dikedepankan dengan pelaku awak dan kata bantu aspek telah. Ayat 7c merupakan ayat tanya pasif  songsang dengan kata tanya penegas -kah.

 

8a.  Dia membaca buku di perpustakaan.

8b.  Membaca buku di perpustakaan dia.

8c.  Membaca buku dia di perpustakaan.

 

Ada kalanya pendepanan seluruh predikat membawa maksud yang lain daripada pendepanan sebahagian daripada predikat. Dalam ayat 8b, seluruh frasa kerja predikat dikedepankan, iaitu kata kerja transitif membaca, kata nama objek buku dan frasa sendi nama penerang kata nama objek di perpustakaan. Hal ini berlaku kerana buku yang dibacanya sememangnya “buku milik perpustakaan”, bukan sebarang buku.

Dalam ayat 8c pula, pendepanan sebahagian daripada frasa kerja predikat, iaitu kata kerja transitif membaca dan kata nama objek buku bererti bahawa buku yang dibacanya tidak semestinya “buku milik perpustakaan”. Hal ini berlaku demikian kerana frasa sendi nama di perpustakaan hanya merupakan frasa keterangan tempat, dan perpustakaan hanya menjadi tempat dia membaca buku.

 

Pendepanan Seluruh Predikat Frasa Adjektif

 

9a.  Bilik ini amat bersih.

9b.  Amat bersih bilik ini.

 

10a.  Bangunan itu tinggi.

10b.  Wah, tingginya bangunan itu!

 

11a.  Dia cukup mahir.

11b.  Cukup mahirkah dia?

11c.  Adakah cukup mahir dia?

 

Dalam ayat 9b, seluruh frasa adjektif predikat amat bersih dikedepankan. Dalam ayat 10b, seluruh frasa adjektif predikat tinggi dikedepankan dengan ditambah kata penekan -nya dan kata seruan wah. Dalam ayat tanya 11b, seluruh frasa adjektif predikat cukup mahir dikedepankan dengan kata tanya penegas -kah. Dalam ayat tanya 11c, seluruh frasa adjektif predikat cukup mahir dikedepankan dengan ditambah kata tanya adakah.

 

Pendepanan Seluruh Predikat Frasa Sendi Nama

 

12a.  Dia ke kampung.

12b.  Ke kampung dia.

12c.  Ke kampunglah dia.

12d.  Ke kampungkah dia?

12e.  Adakah ke kampung dia?

 

Dalam ayat 12b, seluruh frasa sendi nama predikat ke kampung dikedepankan. Dalam ayat 12c, seluruh frasa sendi nama predikat ke kampung dikedepankan dengan kata penegas -lah. Dalam ayat tanya 12d, seluruh frasa sendi nama predikat ke kampung dikedepankan dengan kata tanya penegas -kah. Dalam ayat tanya12e, seluruh frasa sendi nama predikat ke kampung dikedepankan dengan ditambah kata tanya adakah.

Pendepanan seluruh predikat berlaku apabila predikat ayat ditekankan berbanding dengan subjek ayat. Hal ini mengubah susunan ayat tanpa mengubah pola, ragam dan makna ayat yang berkenaan.Dengan adanya ayat songsang pendepanan seluruh predikat dan sebahagian daripada predikat, penutur dan penulis dapat menggunakan lebih banyak variasi ayat untuk menampilkan ujaran dan penulisan yang lebih indah dan lebih menarik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.