12 Januari 2024, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagoh – Penulisan lirik dapat mencerminkan budaya atau isu sosial. Seseorang yang tidak memahami makna lirik dapat disamakan seperti seseorang yang makan sesuatu, tetapi tidak mengetahui bahan yang terkandung di dalamnya.

Demikianlah antara inti pati ucapan yang disampaikan oleh artis terkenal tanah air, iaitu Encik Harris Fadzillah Daud atau lebih dikenali sebagai Aris Ariwatan, ketika sesi perkongsian ilmu dalam Program Makanan Jiwa.

Makanan harian punca kanser fizikal, makanan jiwa punca kanser rohani. Lirik dapat menjadi penawar, lirik juga dapat menjadi racun mudarat. Makanan jiwa yang terbaik ialah zikir. Yang kedua, makanan jiwa yang penting, kita mesti tahu modus operandi dan motifnya. Namun begitu, kebanyakan kita gagal apabila perkara itu menjadi trending (sohor kini), popular atau sensasi.

Selain itu, Encik Harris juga memberikan tunjuk ajar dari segi menghasilkan lirik dengan cara yang mudah kepada peserta. Beliau menyatakan bahawa jika seseorang itu mempunyai idea untuk menulis lirik, penulisan tersebut perlu diteruskan tanpa ragu-ragu kerana perasaan ragu-ragu merupakan musuh utama penulis.

Yang pertama datang ialah ilham, jangan diubah mengikut nafsu dan emosi.

Dalam perkongsian ilmu tersebut, beliau juga mengajar peserta cara untuk menghasilkan lirik dengan hanya menggunakan cermin mata hitam, cawan dan botol air.

Program yang diadakan di Auditorium 5, Hub Pendidikan Tinggi Pagoh ini telah dihadiri oleh 250 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kementerian Pengajian Tinggi, serta beberapa IPTA berdekatan, seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan dirasmikan oleh Ketua Jabatan Bahasa Melayu, YBrs. Dr. Nurul Jamilah Rosly.

Program yang bertemakan “Melodi Hidup Santapan Atma” ini merupakan projek penilaian untuk mencapai objektif kursus di bawah kelolaan YBrs. Dr. Arina Johari yang merupakan pensyarah senior Jabatan Bahasa Melayu, Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM, selaku pensyarah bagi subjek ini.

Objektif program ini adalah untuk memupuk kesedaran masyarakat terutamanya dalam kalangan generasi muda pada masa ini tentang penulisan lirik yang berkualiti dari segi pemilihan kata yang dapat berfungsi sebagai elemen kerohanian insan.

Sesi yang berikutnya diteruskan lagi dengan sesi penulisan lirik. Dalam sesi ini, hampir setiap peserta dilihat berminat untuk berkongsi hasil penulisan masing-masing.

Selain itu, sesi bual bicara ini juga menjadi medan untuk mengulas kesan pengaruh teknologi yang semakin hari semakin berkembang terhadap penyampaian lirik.

Sesi yang berikutnya diteruskan dengan konsert mini oleh Encik Harris. Beliau menyanyikan empat buah lagu, iaitu 1234, Permaidani, Jangan Menangis Habibah dan Lamunan Terhenti.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada artis jemputan dan tetamu kehormat, serta sesi fotografi.

Sesi bual bicara disampaikan oleh Tuan Harris.
Peserta berkongsi penulisan lirik yang dihasilkannya di pentas.
Perkongsian hasil lirik oleh para peserta selepas sesi pembelajaran lirik.
Konsert mini bersama-sama Encik Harris.
Sesi bergambar kenangan pada akhir program.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.