Oleh Kho Thong Eng
16 Januari 2024, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata hubung gabungan ialah kata hubung yang menggabungkan dua atau lebih klausa bebas dalam ayat majmuk. Dalam hal ini, terdapat kata hubung gabungan tunggal dan kata hubung gabungan berpasangan. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Ali menolak pelawaan itu.

1b.  Hasan menolak pelawaan itu.

1c.  Baik Ali atau(pun)/mahupun Hasan, kedua-duanya menolak pelawaan itu.

 

2a.  Ahmad ditegur oleh guru disiplin.

2b.  Hussein ditegur oleh guru disiplin.

2c.  Baik Ahmad atau(pun)/mahupun Hussein, ditegur oleh guru disiplin.

 

3a.  Dia berusaha pada waktu siang.

3b.  Dia berusaha pada waktu malam.

3c.  Dia berusaha, baik pada waktu siang atau(pun)/mahupun pada waktu malam.

Dalam ayat majmuk 1c, kata hubung gabungan berpasangan gandingan baik … atau(pun) atau baik…mahupun menggabungkan subjek asal ayat 1a dan 1b, iaitu Ali dan Hasan.

Dalam ayat majmuk 2c, kata hubung berpasangan jenis gandingan baik … atau(pun) atau baik…mahupun menggabungkan subjek terbitan atau objek ayat 2a dan 2b, iaitu Ahmad dan Hussein.

Dalam ayat majmuk 3c, kata hubung berpasangan jenis gandingan baik … atau(pun) atau baik…mahupun menggabungkan frasa keterangan kata kerja ayat 3a dan 3b, iaitu pada waktu siang dan pada waktu malam.

Selain kata hubung gabungan berpasangan gandingan, terdapat kata hubung gabungan berpasangan pilihan, iaitu sama ada … atau dan adakah …atau. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia tidak pasti bahawa dia harus terus bekerja.

4b.  Dia tidak pasti bahawa dia harus bersara.

4c.  Dia tidak pasti sama ada dia harus terus bekerja atau bersara.

 

5a.  Bahawa berita itu benar belum dikenal pasti.

5b.  Bahawa berita itu tidak benar belum dikenal pasti.

5c.  Sama ada berita itu benar atau tidak belum dikenal pasti.

 

6a.  Dia akan hadir.

6b.  Dia tidak akan hadir.

6c.  Adakah dia akan hadir atau tidak?

Dalam ayat majmuk 4c, kata hubung berpasangan pilihan sama ada … atau menggabungkan klausa komplemen yang menjadi klausa keterangan dalam ayat 4a dan 4b.

Dalam ayat majmuk 5c, kata hubung berpasangan pilihan sama ada … atau menggabungkan klausa komplemen yang berfungsi sebagai subjek ayat dalam ayat 5a dan 5b.

Dalam ayat tanya majmuk 6c, kata hubung berpasangan pilihan adakah … atau menggabungkan predikat dalam ayat 6a dan 6b.

Kata hubung gabungan berpasangan permakinan ialah makin … makin atau semakin …semakin. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Berjauhan dengan keluarga dia.

7b.  Rindu dia.

7c.  Makin berjauhan dengan keluarga, makin rindu dia.

 

8a.  Kaya dia.

8b.  Merendah diri dia.

8c.  Semakin kaya, semakin merendah diri dia.

Dalam ayat majmuk songsang 7c, kata hubung gabungan berpasangan permakinan makin … makin menggabungkan predikat dalam ayat 7a dan 7b.

Dalam ayat majmuk songsang 8c, kata hubung gabungan berpasangan permakinan semakin … semakin menggabungkan predikat ayat 8a dan 8b.

Kata hubung gabungan berpasangan penafian ialah jangankan … pun. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Bergaul mesra tidak disanggupinya.

9b.  Bertegur sapa tidak disanggupinya.

9c.  Jangankan bergaul mesra, bertegur sapa pun tidak disanggupinya.

 

Dalam ayat majmuk 9c, kata hubung gabungan berpasangan penafian jangankan … pun menggabungkan frasa kerja yang berfungsi sebagai subjek dalam ayat 9a dan 9b.

Ayat 9c boleh disamakan maksudnya dengan ayat yang berikut:

10a.  Sedangkan bertegur sapa pun tidak disanggupinya, inikan pula bergaul mesra.

10b.  Bertegur sapa pun tidak disanggupinya. Inikan pula bergaul mesra.

Dalam ayat 10a, kata hubung gabungannya ialah sedangkan … pun dan inikan pula. Dalam ayat 10b, kata pun terdapat pada ayat pertama, manakala frasa inikan pula terdapat pada ayat kedua. Walaupun struktur ayat 10a dan 10b berbeza daripada ayat 9c, maksud ketiga-tiga ayat tersebut adalah sama.

Kata hubung gabungan berpasangan perbandingan ialah daripada … lebih baik atau lebih baik … daripada. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Kita bermalas-malas.

11b.  Kita berusaha.

11c.  Daripada (kita) bermalas-malas, lebih baik kita berusaha.

11d.  Lebih baik kita berusaha daripada (kita) bermalas-malas.

Dalam ayat majmuk 11c dan 11d, kata hubung gabungan berpasangan perbandingan daripada … lebih baik atau lebih baik … daripada menggabungkan predikat dalam ayat 11a dan 11b. Dalam hal ini, ayat 11d merupakan variasi yang seerti dengan ayat 11c.

Kata hubung gabungan berpasangan penegasan ialah bukan sahaja … malahan atau bukan sahaja … tetapi juga. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Dia bukan sahaja pandai, malahan merendah diri.

12b.  Dia bukan sahaja pandai, tetapi merendah diri juga.

 

13a.  Dia bukan sahaja sombong, malahan kedekut.

13b.  Dia bukan sahaja sombong, tetapi kedekut juga.

Bagi kata hubung gabungan berpasangan penegasan, maksud kedua-dua ayat yang digabungkan harus bernada positif atau negatif. Sebagai contoh, kedua-dua ayat dalam Kelompok ayat 12 menekankan sifat yang positif, manakala kedua-dua ayat dalam kelompok ayat 13 menekankan sifat negatif.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.