Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTikTok ialah aplikasi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, aplikasi ini mampu menjadi wadah penyebaran bahasa Melayu yang baik jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Namun begitu, berdasarkan pemerhatian penulis, terdapat beberapa kesalahan bahasa yang lazim dilakukan oleh pengguna TikTok. Antaranya termasuklah kesalahan ejaan yang melibatkan kata pinjaman bahasa Arab. Contoh kesalahan ini dapat dilihat dalam Jadual 1.
Jadual 1 Contoh kesalahan ejaan pengguna TikTok dan pembetulannya.
Salah | Betul |
alhamdulilah | alhamdulillah |
insyaAllah | insya-Allah |
Ramadhan | Ramadan |
silaturrahim | silaturahim |
ukhwah | ukhuwah |
Selain itu, terdapat segelintir pengguna TikTok yang beranggapan bahawa kata sendi nama boleh digunakan secara berturutan. Sebagai akibatnya, kesalahan seperti “demi untuk” dan “sejak dari” acap kali dilakukan.
Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata sendi nama perlu diikuti oleh kata nama atau frasa nama untuk membentuk frasa sendi nama. Sehubungan dengan itu, dua kata sendi nama tidak boleh digunakan secara berturutan kecuali untuk kata sendi nama yang telah terbentuk menjadi satu patah kata sendi nama sebagai hasil penggabungan dua patah kata sendi nama seperti “daripada” yang terbentuk daripada gabungan “dari” dan “pada”. Contoh kesalahannya adalah seperti yang berikut:
Sebagaimana yang diketahui, penggunaan dua kata sendi nama secara berturutan merupakan suatu kelewahan bahasa. Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, lewah didefinisikan sebagai lebih daripada jumlah atau takat yang sepatutnya. Oleh itu, kelewahan ialah keadaan yang memperlihatkan penambahan atau pengulangan unsur yang sudah wujud yang tidak diperlukan.
Sebenarnya, pengguna TikTok lazim menggunakan bahasa yang lewah, sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan sehingga menjadi suatu kebiasaan yang sukar diubah. Contoh kelewahan bahasa pengguna TikTok ini dapat dilihat dalam Jadual 2.
Jadual 2 Contoh kelewahan bahasa pengguna TikTok dan pembetulannya.
Salah | Betul |
antara sebab-sebab | antara sebab |
kebanyakan sahabat-sahabat | kebanyakan sahabat |
koleksi video-video | koleksi video |
mereka-mereka | mereka |
segala tip-tip | segala tip |
semua komen-komen | semua komen |
memperbesarkan/diperbesarkan | memperbesar/diperbesar |
mempereratkan/dipereratkan | mempererat/dipererat |
memperkukuhkan/diperkukuhkan | memperkukuh/diperkukuh |
mempermudahkan/dipermudahkan | mempermudah/dipermudah |
memperbaiki/diperbaiki | membaiki/dibaiki |
memperolehi/diperolehi | memperoleh/diperoleh |
mempersetujui/dipersetujui | menyetujui /disetujui |
paling terbaik | paling baik/terbaik |
paling mantap sekali | paling mantap/mantap sekali |
saling bantu-membantu | saling membantu/bantu-membantu |
Dalam video pendek dan komen yang terdapat dalam TikTok, penulis mendapati bahawa kata “kitorang”, “korang” dan “diorang” digunakan secara meluas seolah-olah bahasa Melayu tidak mempunyai kata ganti nama diri orang yang boleh digunakan untuk merujuk seseorang.
Walaupun TikTok bukanlah saluran rasmi yang mewajibkan penggunanya untuk menggunakan bahasa baku, penggunaan bahasa basahan secara keterlaluan mengakibatkan kerancuan bahasa. Dalam hal ini, pengguna TikTok sebenarnya masih mempunyai pilihan kata ganti nama diri, iaitu “kita”, “kami”, “anda”, “kalian” dan “mereka”.
Sama halnya dengan penggunaan kata “giler” sebagai kata penguat belakang yang sememangnya salah dari segi ejaan dan semantiknya. Oleh itu, pengguna TikTok haruslah berpada-pada apabila menggunakan bahasa basahan agar martabat bahasa kebangsaan dapat dipertahankan sampai bila-bila.
Sementara itu, kesalahan dari segi hukum D-M yang dilakukan oleh pengguna TikTok amat ketara. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam hukum ini, unsur yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama, manakala unsur yang menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua.
Hukum D-M ini masih belum dapat dikuasai dengan sepenuhnya walaupun sudah diajarkan sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini dapat dibuktikan apabila pengguna TikTok masih melakukan kesalahan dari segi hukum D-M seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.
Jadual 3 Contoh kesalahan dari segi hukum D-M dalam kalangan pengguna TikTok dan pembetulannya.
Salah | Betul |
asam laksa | laksa asam |
cili sos | sos cili |
tomato sos | sos tomato |
goreng keledek | keledek goreng |
goreng pisang | pisang goreng |
penghawa dingin | pendingin hawa |
temu janji | janji temu |
siber kafe | kafe siber |
uji pandu | pandu uji |
lain-lain hal | hal-hal lain |
lain-lain masalah | masalah-masalah lain |
Akhir sekali, sesetengah pengguna TikTok kerap menaip ayat “Semoga urusan tuan/puan dipermudahkan” pada ruangan komen. Ayat tersebut tidak gramatis kerana terdiri daripada klausa tak bebas sahaja, yakni klausa keterangan harapan yang dikepalai oleh kata hubung “semoga”.
Bukan itu sahaja, penggabungan kata adjektif dengan imbuhan apitan diper-…-kan dalam kata “dipermudahkan” adalah lewah sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Ayat tersebut sepatutnya ditulis sebagai “Saya berdoa/berharap semoga urusan tuan/puan dipermudah”.
Secara keseluruhannya, kesalahan bahasa dalam kalangan pengguna TikTok amat membimbangkan. Sekiranya kesalahan bahasa sebegini dibiarkan berlarutan, generasi akan datang pasti akan menganggapnya sebagai perkara remeh, sekali gus membantutkan usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Sebelum kudis menjadi tokak, marilah kita sama-sama membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. Ingatlah bahawa tiada pihak lain yang akan memartabatkan bahasa kebangsaan melainkan kita sendiri yang melakukannya. Sesungguhnya, hilang bahasa, lenyaplah bangsa.