Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara Malaysia. Oleh itu, masyarakat Malaysia tidak terlepas daripada sentiasa cuba meningkatkan kesedaran dan membudayakan penggunaannya, sama ada dalam urusan rasmi atau urusan seharian.
Dari sudut sejarah, bahasa Melayu merupakan lingua franca pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini menunjukkan betapa meluasnya penggunaan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu.
Kini, walaupun bahasa Melayu tidak lagi digunakan sebagai bahasa pengantara untuk urusan perdagangan di dunia luar, usaha pemartabatannya terutama dalam kalangan pemimpin masih giat dijalankan. Tambahan pula, dengan komposisi rakyat yang berbilang kaum di negara ini, semua masyarakat perlu menguasai bahasa Melayu dengan baiknya supaya dapat berkomunikasi dengan lancarnya antara satu dengan lain.
Pada 11 Disember 2023, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menyatakan bahawa penguasaan bahasa Melayu kekal menjadi syarat untuk memohon kerakyatan Malaysia. Hal ini bagi memastikan setiap warganegara menguasai bahasa Melayu dengan baiknya dari segi pemahaman mahupun lisan.
Selain itu, penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi diwajibkan oleh kerajaan untuk melestarikan bahasa kebangsaan. Contohnya, surat yang diberi kepada kementerian wajib ditulis dalam bahasa Melayu dan surat yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu perlu dipulangkan. Hal ini antara perkara yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Oktober 2023 dalam usaha untuk memastikan bahasa kebangsaan diangkat nilainya.
Pada peringkat antarabangsa, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berbahasa Melayu ketika berucap dalam perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77. Hal ini suatu tauladan baik yang ditonjolkan oleh pemimpin yang membuktikan bahawa kerajaan memainkan peranannya untuk mengangkat martabat bahasa Melayu di luar negara.
Seterusnya, pemerkasaan bahasa Melayu diberi penekanan pada peringkat kebangsaan. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023–2024. Tujuannya adalah untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, selain melahirkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu.
Warga pendidik pula berperanan penting untuk memastikan ilmu disampaikan dan difahami oleh semua pihak dengan menggunakan bahasa Melayu.
Selain itu, pada peringkat sekolah, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantara. Hal ini selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi di semua sekolah. Dasar pendidikan ini bukan sahaja membantu penguasaan bahasa, malah mengangkat martabat bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.
Selain itu, pelajar diwajibkan untuk lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Langkah ini dapat memastikan pelajar dapat memahami, menguasai dan bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan jelasnya.
Ada juga sesetengah universiti tempatan dan universiti swasta yang mewajibkan pelajarnya sama ada pelajar tempatan atau pelajar antarabangsa lulus mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai satu daripada syarat untuk menerima ijazah.
Di samping itu, keindahan bahasa kebangsaan ini terserlah sekiranya semua pihak menjaga seni bahasa Melayu. Terdapat banyak buku dan penulisan secara maya yang mengetengahkan ilmu tatabahasa, penggunaan peribahasa dan simpulan bahasa, kesenian rangkap pantun dan nukilan puisi.
Pada saban tahun juga, terdapat pelbagai persidangan, seminar, simposium dan bengkel yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama. Usaha berterusan ini mampu mengangkat martabat bahasa Melayu, bukan sahaja di dalam negara, malah pada peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Masyarakat di Malaysia juga sering menghidupkan budayanya menerusi penggunaan bahasa Melayu. Contohnya, penggunaan pantun dalam adat merisik kaum Melayu. Hal ini membuktikan bahawa seni bahasa Melayu sentiasa hidup.
Selain itu, banyak pertandingan yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu dianjurkan dalam kalangan masyarakat. Pertandingan mencipta dan menyampaikan puisi, sajak dan gurindam bukan sahaja menggalakkan penyertaan daripada masyarakat, malah dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda, terutamanya yang berkemahiran dalam cabang ilmu bahasa Melayu tersebut.
Hal ini membuktikan bahawa kelestarian bahasa Melayu sentiasa dijaga. Sambutan hangat terhadap pertandingan ini juga membuktikan bahawa budaya berbahasa Melayu tidak lekang dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Selain itu, orang awam turut memainkan faktor yang penting ketika bahasa Melayu disebarkan kepada orang yang datang dari luar negara, khususnya pelajar, pelancong dan pekerja asing. Apabila berada di Malaysia pula, terdapat orang luar ini yang cenderung untuk mempelajari bahasa dan budaya yang ada di negara ini.
Contohnya, memereka mempelajari beberapa kata asas dalam bahasa Melayu. Ada orang luar yang rajin mempelajari bahasa Melayu sehingga mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baiknya.
Sesungguhnya, masyarakat di negara ini memainkan peranan yang penting dalam pelestarian budaya berbahasa Melayu agar pelancong dapat melihat identiti bahasa Melayu yang sememangnya berbeza daripada bahasa yang dituturkannya.
Hal ini terserlah melalui video Vlog yang dihasilkan oleh pelancong dengan pengalamannya ketika melancong di Malaysia. Ada pelancong yang dilihat cuba berbahasa Melayu agar lebih dekat dengan peniaga tempatan dan mendapat potongan harga. Peniaga tempatan juga berkesempatan untuk memperkenalkan nama barang dan beberapa patah kata dalam bahasa Melayu.
Natijahnya, semua lapisan masyarakat menjadi cerminan cara bahasa Melayu dihidupkan dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu. Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya dan menjaga kesenian berbahasa Melayu agar tidak rosak ditelan zaman.
Sungguhpun begitu, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk mencambahkan dan mengekalkan rasa cinta terhadap bahasa Melayu agar kekal diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya.