19 Januari 2024, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Radio merupakan medium penyampaian maklumat dan hiburan masyarakat Malaysia terutamanya bagi mereka yang banyak menghabiskan masa di jalanan. Lambakan stesen radio pada zaman ini menyebabkan para penyampai perlu menjadi lebih kreatif dalam menarik perhatian pendengar. Walau bagaimanapun, sewajarnya penyampai radio perlu menjaga penggunaan bahasa mereka semasa bersiaran.

Bahasa dalam penyiaran penting kerana mesej yang hendak disampaikan adalah melalui bahasa dan seharusnya bahasa tersebut perlu difahami oleh semua pihak yang mendengar. Pendengar stesen radio terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah orang kenamaan, ahli profesional, warga remaja dan dewasa serta warga tua.

Sehubungan dengan itu, bagi mengulas lebih lanjut berkaitan dengan isu ini, BERNAMA Radio telah menjemput Profesor Adjung di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu YBhg. Dato’ Haji Chuari Selamat dalam slot Cakna Bahasa kelolaan penyampainya, iaitu Encik Arief Muhammad dan Puan Natasha Aimee.

Beliau berkata, sewaktu zamannya menyertai radio sebagai penyampai, antara aspek penting yang diberikan perhatian termasuklah penggunaan bahasa. Semasa sesi uji bakat pula, calon penyampai dilihat dari segi kemahiran bahasanya terlebih dahulu sebelum suara.

Tambahnya, semasa zaman beliau, pihak pengurusan selalu mengingatkan para penyampai agar tidak menggunakan bahasa rojak atau bahasa campuran.

Penyampai radio bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa dan tidak salah mengikut trend tetapi bukannya ikut membabi buta sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap bahasa kita. Selain itu, penyampai radio juga perlu melihat situasi apabila menggunakan bahasa untuk khalayak. Para penyampai radio terutamanya yang popular perlu lebih bertanggungjawab kerana mereka mempunyai banyak pengikut dan tindak-tanduk mereka sentiasa diperhatikan.

Beliau berkata, penyampai radio pada zaman ini mempunyai kebebasan yang luas bagi menunjukkan kreativiti berbanding dengan penyampai radio pada zaman dahulu yang terikat dengan pelbagai peraturan. Namun begitu, perlu ada batas dan prinsip terutamanya tanggungjawab kepada bahasa selain membuat persiapan sebelum bersiaran agar lebih bersedia.

Profesor Adjung di ATMA, UKM, iaitu Dato’ Haji Chuari Selamat ketika bersiaran dalam rancangan Cakna Bahasa.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.