Oleh Aminudin Mansor
24 Januari 2024, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa yang baik datangnya dari hati yang ikhlas, akal yang cerdas dan berfikiran terbuka daripada seseorang penutur atau penulis. Tanpa bahasa yang baik dan penuh kesantunan menyebabkan kerosakan kepada bahasa Melayu yang dituturkan. Banyak dalam kalangan penutur pada masa ini tidak mementingkan kesopanan dan kesusilaan ketika berbahasa dan berkomunikasi.

Keterampilan berbahasa Melayu merangkumi lisan dan tulisan yang baik dan terampil. Keterampilan berbahasa ini bukan sahaja dalam penulisan karangan dan teks ucapan, malah dalam komunikasi biasa. Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi, bahasa pengantar utama, bahasa perpaduan dan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari pada peringkat sekolah menengah.

Media baharu dan media sosial pula menjadi medan penutur atau penulis menggunakan bahasa yang melampau yang kadang-kadang tidak enak didengar. Gaya percakapan yang kasar, keras dan mengandungi unsur lucah menyebabkan bahasa Melayu juga terkena tempias dengan gaya bahasa melampau ini.

Pendeta Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu mengatakan bahawa bahasa melampau adalah ragam bahasa yang mengatakan sesuatu perkara itu sangat besar dan sebagainya dengan perkataan melebih-lebih daripada yang sebenar. Semua orang memahami dan mengerti, bahasa itu bukan sungguh-sungguh seperti yang dikatakan oleh penuturnya.

Menurut Nik Safiah Karim dalam Teks Bahasa Melayu pula, bahasa melampau lebih kepada bahasa kasar, bahasa yang tidak sopan, tidak manis, tidak beradab, menggunakan kata-kata kesat dan kurang wajar. Contohnya, perkataan “melantak” bagi maksud makan dan “membuta” bagi maksud tidur. Bahasa ini juga mempunyai kaitan dengan konsep “halus” dan “kasar” dalam percakapan dan tulisan.

Bahasa ini juga dipengaruhi oleh keadaan emosi seseorang. Dari segi emosi, banyak dalam kalangan penutur dan penulis tidak dapat mengawal emosi ketika marah atau meradang. Kemarahan ini menyebabkan bahasa yang dituturkan agak kasar dan melampau.

Semua orang mempunyai emosi sama ada marah atau meradang tetapi emosi ini wajar dikawal supaya bahasa yang dituturkan tidak melampau dan tidak enak didengar. Mengawal emosi ketika berkata-kata adalah kebijaksanaan yang perlu dididik sejak kecil lagi.

Ketika mengalami gangguan emosi akibat kegagalan, kekecewaan, ditimpa musibah dan kesengsaraan, emosi tidak dapat dikawal oleh akal yang waras. Emosi kemarahan ini akhirnya menyebabkan bahasa yang dituturkan atau ditulis agak kasar dan melampau dan sering menyalahkan orang lain dan juga keadaan.

Penguasaan keseluruhan potensi otak dan minda dapat mengawal bahasa emosi yang secara tiba-tiba keluar dari mulut atau melalui tulisan. Bahasa Melayu yang baik dan berketerampilan perlu diucap dan dituliskan dengan baik dan sopan, meskipun ketika seseorang itu sedang marah atau kecewa. Manusia dapat berfikir dan mengawal dirinya jika otak dan akalnya berfungsi dengan baik.

Kajian membuktikan bahawa fikiran manusia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu fikiran sedar dan fikiran bawah sedar. Kedua-duanya saling mempengaruhi. Jikalau fikiran sedar dapat menguasai dan mengawal bahasa emosi, maka bahasa yang keluar ialah bahasa yang sopan, lembut dan bertatasusila.

Jika dikaji dan dilihat, emosi merupakan gambaran perasaan mengenai keadaan atau hal tertentu dan tindak balas terhadap orang lain. Melalui fikiran sedar, seseorang akan berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata agar tidak melampau, kesat dan kasar didengar oleh orang lain.

Fikiran sedar akan mengkaji dan meneliti maklumat yang masuk, membandingkannya, menganalisis dan memutuskan sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk. Fikiran ini juga dipengaruhi oleh fikiran bawah sedar yang menyimpan kebiasaan, emosi, memori jangka panjang, keperibadian, intuisi, kreativiti, persepsi, dan nilai yang juga mempengaruhi gaya bahasa seseorang.

Bentuk bahasa yang dituturkan atau ditulis ketika emosi tidak dikawal, iaitu sedang marah penuh dengan maki hamun, mencarut, mengutuk dan sebagainya. Contohnya, kepala otak engkau, bodoh, bangang, bongok, celaka, mampus, tolol, jahanam, sial, dan malaun yang sering didengar di media sosial dan media baharu.

Bahasa melampau ini biasanya tiada kesantunan berbahasa dan juga keterampilan berbahasa, iaitu bahasa yang digunakan ketika seseorang itu berkomunikasi sama ada secara lisan atau tulisan. Emosi marah dan meradang akan mengatasi fikiran yang akhirnya menyebabkan terkeluarnya bahasa melampau.

Jelaslah bahawa bahasa melampau terdapat kekasaran dan kadang-kadang terlajak kata yang mengatakan sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan sedangkan perkara tersebut  biasa sahaja. Hal ini disebabkan penutur itu sudah biasa berbahasa sedemikian dalam percakapan dan pertuturannya.

Terdapat juga kata-kata melampau yang baharu seperti hatiku koyak, mulut longkang, membawang tak habis-habis, celanat, jantan ganyot, jalang tua, kurang asam, beranak banyak, mengamuk gila, budak bigau, anak haram, budak sial, meroyan angin, mulut rabak, terangkat bontot, dan mulut terkoyak. Perkataan dan ucapan ini sering kita dengar di media sosial apabila seseorang itu melepaskan kemarahannya.

Bahasa melampau ini sewajarnya tidak digunakan dalam lisan dan tulisan terutama di media sosial dan dalam perbualan harian. Apabila bahasa seumpama ini digunakan, akhirnya akan menjejaskan keindahan dan kesopanan dalam berbahasa dalam kalangan masyarakat dan penutur bahasa Melayu.

Pendidikan bahasa di sekolah juga penting dalam menerangkan kesan penggunaan bahasa melampau ini. Bukan sahaja perkataannya kasar, malah maknanya juga agak melampau, lucah dan menjejaskan kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan masyarakat. Bahasa yang sopan dan santun sahaja akan meningkatkan imej dan martabat bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, murid dididik supaya berbahasa baik, berfikir sebelum berkata-kata dan menulis, berilmu pengetahuan luas tentang bahasa Melayu, beretika tinggi, bijaksana ketika berbahasa, tidak menyakiti hati orang lain ketika berbahasa serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara lebih berkesan.

Pendidikan bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah merangkumi tiga bidang penggunaan bahasa, iaitu Bidang Interpersonal, Bidang Maklumat dan Bidang Estetik. Ketiga-tiga bidang ini diajar dan dididik kepada murid bagi membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dan sopan dalam kehidupan harian.

Dalam Bidang Interpersonal, iaitu hubungan sesama manusia, murid dididik supaya berbahasa baik, betul dan sopan. Kemahiran ini melibatkan antara perorangan atau kemahiran yang merujuk algoritma mental dan komunikasi yang digunakan semasa komunikasi dan interaksi sosial untuk mendapatkan kesan atau keputusan tertentu.

Dalam Bidang Maklumat pula, murid dididik supaya mencari maklumat yang betul, sahih dan tepat serta menyampaikan maklumat tersebut dengan berkesan secara lisan dan tulisan. Apa-apa juga bahan yang diperoleh daripada teknologi maklumat dapat digunakan dengan berkesan terutamanya yang berkaitan dengan bahasa dan komunikasi.

Bidang Estetik juga penting kepada murid supaya dapat menguasai keupayaan aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan bahasa. Bidang ini juga menjurus kepada penikmatan hasil karya yang indah seperti bahan daripada Komponen Sastera (KOMSAS), seperti novel, cerpen, drama, puisi dan bahasa klasik supaya murid dapat membuat apresiasi dengan melahirkan perasaan dan penghayatan apa-apa yang dibaca melalui karya sastera.

Akhirnya, elakkan daripada menggunakan bahasa melampau yang boleh menjejaskan keindahan dan kesopanan bahasa Melayu. Penggunaan ini bukan sahaja dalam komunikasi lisan malah dalam tulisan di media sosial yang mempunyai banyak pembaca dan pendengar yang tentunya tidak suka akan bahasa yang tidak beretika dan beradab. Ingatlah kata-kata bahawa “Bahasa itu jiwa bangsa”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.