Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata ganda berima atau bersajak ialah kata ganda yang unsur binaannya menampilkan rima yang berulang atau sedap didengar. Kata ganda tersebut meliputi kata ganda berima pengulangan vokal, kata ganda berima pengulangan konsonan, kata ganda berima bersisipan, kata ganda berima hujung dan kata ganda berima bebas.
Kata ganda berima terbina daripada dua unsur binaan, dan salah satu unsur atau kedua-dua unsur binaannya mesti merupakan morfem berikat. Selain itu, kedua-dua unsur kata ganda tersebut dihubungkan dengan tanda sempang.
Bagi kata ganda berima pengulangan vokal, unsur binaannya ialah morfem bebas + morfem terikat dengan persamaan atau pengulangan bunyi vokal. Kata dasarnya ialah morfem bebas, manakala gandaan atau kedua-dua unsur dasarnya ialah morfem terikat. Dalam hal ini, bunyi vokal turut mencakupi bunyi vokal. Kata ganda tersebut meliputi kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:
a. kuih-muih
Morfem bebas: kuih
Morfem terikat: -muih
Vokal yang berulang: u, i
Golongan kata: kata nama ganda berima pengulangan vokal
Contoh lain: lauk-pauk, sayur-mayur
b. cerai-berai
Morfem bebas: cerai
Morfem terikat: -berai
Vokal yang berulang: e pepet, diftong [ai]
Golongan kata: kata kerja ganda berima pengulangan vokal
Contoh lain: gotong-royong, selok-belok
c. hiruk-pikuk
Morfem bebas: tiada
Morfem terikat: hiruk-, -pikuk
Vokal yang berulang: i, u
Golongan kata: kata adjektif ganda berima pengulangan vokal
Bagi kata ganda berima pengulangan konsonan, unsur binaannya ialah morfem bebas + morfem terikat dengan persamaan atau pengulangan bunyi konsonan. Kata dasarnya ialah morfem bebas, manakala gandaan atau kedua-dua unsur dasarnya ialah morfem terikat. Dalam hal ini, konsonan yang diambil kira ialah konsonan yang pertama dan kedua pada awal suku kata sahaja. Kata ganda tersebut meliputi kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh berikut:
a. gunung-ganang
Morfem bebas: gunung
Morfem terikat: -ganang
Jonsonan yang berulang: g, n
Golongan kata: kata nama ganda berima pengulangan konsonan
Contoh lain: warna-warni, suku-sakat
b. mandi-manda
Morfem bebas: mandi
Morfem terikat: -manda
Konsonan yang berulang: m, d
Golongan kata: kata kerja ganda berima pengulangan konsonan
Contoh lain: lalu-lalang, mundar-mandir
c. kucar-kacir
Morfem bebas: tiada
Morfem terikat: kucar-, -kacir
Konsonan yang berulang: k, c
Golongan kata: kata adjektif ganda berima pengulangan konsonan
Contoh lain: porak-peranda, gelap-gelita
Bagi kata ganda berima bersisipan, unsur binaannya ialah morfem bebas + morfem terikat dengan adanya sisipan yang biasanya ditambah pada gandaan, tetapi ada kalanya sisipan ada pada kata dasar. Kata ganda tersebut meliputi kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:
a. tali-temali
Morfem bebas: tali
Morfem terikat: -temali
Sisipan: -em-
Golongan kata: kata nama ganda berima bersisipan
Contoh lain: jari-jemari
b. turun-temurun
Morfem bebas: turun
Morfem terikat: -temurun
Sisipan: -em-
Golongan kata: kata kerja ganda berima bersisipan
c. gilang-gemilang
Morfem bebas: gemilang
Morfem terikat: gilang
Sisipan: -em-
Golongan kata: kata adjektif ganda berima bersisipan
Bagi kata ganda berima hujung, bunyi hujung gandaan sama dengan bunyi hujung kata dasar. Unsur binaannya ialah morfem bebas + morfem terikat. Kata ganda tersebut meliputi kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:
a. anak-pinak
Morfem bebas: anak
Morfem terikat: -pinak
Persamaan: nak
Golongan kata: Kata nama ganda berima hujung
Contoh lain: saudara-mara, awang-gemawang, bintang-gemintang
b. ayun-temayun
Morfem bebas: ayun
Morfem terikat: -temayun
Persamaan: yun
Golongan Kata: Kata kerja ganda berima hujung
Contoh lain: silir-semilir, tunggang-langgang
c. kacau-bilau
Morfem bebas: kacau
Morfem terikat: -bilau
Persamaan: au
Golongan kata: Kata adjektif ganda berima hujung
Contoh lain: aram-temaram, hingar-bangar, terang-benderang
Bagi kata ganda bebas, biasanya masih terdapat persamaan bunyi tertentu antara kata dasar dengan gandaan. Unsur binaannya ialah morfem bebas + morfem terikat. Sila lihat contoh yang berikut:
Persamaan Bunyi
Konsonan tunggal yang sama:
Contoh kata: kusut-masai
Morfem bebas: kusut
Morfem terikat: -masai
Persamaan: konsonan s
Contoh lain: ulang-alik, lemah-laun
Tanpa Persamaan
Contoh kata: ipar-lamai
Morfem bebas: ipar
Morfem terikat: -lamai
Contoh lain: ipar-duai
Terdapat sejumlah frasa yang unsur binaannya berima atau sedap bunyinya. Bagi frasa tersebut, kedua-dua unsur binaannya ialah morfem bebas. Tidak terdapat morfem terikat dan tiada tanda sempang yang menghubungkan unsur binaannya. Contohnya ialah frasa hingar bingar, kering kontang, lemah gemalai, sahabat handai dan sebagainya.