Oleh Kho Thong Eng
1 Februari 2024, 08:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata kerja ialah kata yang dapat menjadi inti dalam frasa kerja. Kata kerja meliputi kata kerja tak transitif, kata kerja transitif dan kata kerja pasif. Selain itu, kata kerja mendukung pelbagai fungsi dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia duduk.

1b.  Dia menyanyikan lagu.

 

Dalam kelompok ayat 1, kata kerja tak transitif duduk dan frasa kerja transitif menyanyikan lagu menduduki gatra predikat ayat. Oleh itu, kelompok ayat 1 mempunyai pola Frasa Nama + Frasa Kerja.

 

2a.  Mesin jahit itu rosak.

2b.  Bakal ibu itu ditempatkan di wad bersalin.

 

Dalam ayat 2a, kata kerja akar jahit menjadi penerang kepada inti frasa nama mesin. Hal ini dikatakan demikian kerana kata kerja jahit memberikan maklumat tambahan yang opsyenal tentang mesin. Selain itu, kata jahit dapat dihilangkan tanpa menjejaskan struktur ayat. Dalam ayat 2b, kata kerja tak transitif berimbuhan bersalin menjadi penerang kepada inti frasa nama wad. Selain itu, frasa sendi nama di wad bersalin merupakan frasa keterangan ayat.

 

3a.  Bilik menunggu itu penuh dengan orang.

3b.  Pertandingan memancing itu disukai ramai.

 

Dalam ayat 3a, kata kerja transitif berimbuhan menunggu menjadi penerang kepada inti frasa nama bilik. Walaupun kata kerja menunggu transitif, kata kerja itu tidak perlu diikuti kata nama objek kerana bilik menunggu ialah kata nama majmuk dan maksudnya cukup jelas sebagai waiting room. Selain itu, pengguguran objek menjadikan kata majmuk itu tidak terlalu panjang. Dalam ayat 3b, kata kerja transitif berimbuhan memancing menjadi penerang kepada inti frasa nama pertandingan tanpa disusuli sebarang objek. Maksud pertandingan memancing ialah fishing competition.

 

4a.  Berenang ialah hobinya.

4b.  Aktiviti berenang ialah hobinya.

4c.  *Aktiviti ialah hobinya.

 

5a.  Berbahas disukainya.

5b.  Kegiatan berjoging disukainya.

5c.  *Kegiatan disukainya.

 

Dalam ayat 4a, kata kerja tak transitif berenang yang merupakan penerang frasa nama menjadi subjek ayat kerana inti frasa nama seperti aktiviti telah digugurkan (lihat ayat 4b). Dalam ayat 5a, kata kerja tak transitif berbahas yang merupakan penerang frasa nama menjadi subjek ayat kerana inti frasa nama seperti kegiatan telah digugurkan (lihat ayat 5b). Bagi ayat 4b dan 5b, kata inti frasa nama aktiviti dan kegiatan boleh digugurkan, tetapi kata kerja penerang frasa nama berenang dan berbahas tidak boleh dihilangkan (lihat ayat 4c dan 5c).

 

6a.  Kasutnya hitam berkilat.

6b.  Dia duduk bersendirian.

6c.  Mereka ke kampung berseorangan.

 

Dalam ayat 6a, kata kerja berkilat menjadi adverba kepada kata adjektif hitam. Dalam ayat 6b, kata kerja bersendirian menjadi adverba kepada kata kerja duduk. Dalam ayat 6c, kata kerja berseorangan menjadi adverba kepada frasa sendi nama ke kampung. Dalam hal ini, kata kerja adverba berkilat, bersendirian dan berseorangan merupakan unsur opsyenal yang memberikan maklumat tambahan kepada kata adjektif hitam, kata kerja duduk dan frasa sendi nama ke kampung. Oleh itu, pengguguran adverba tersebut tidak menjejaskan struktur ayat, tetapi menjadikan maksud ayat lebih umum sifatnya.

 

7a.  Beliau amat terkenal.

7b.  Kejayaannya sangat membanggakan.

 

Dalam ayat 7a, kata kerja terkenal berfungsi sebagai kata adjektif yang boleh diiringi kata penguat seperti amat dan sekali. Dalam ayat 7b, kata kerja transitif membanggakan ialah kata kerja sifatan yang dapat diiringi kata penguat seperti sangat. Selain itu, bagi ayat 7b,  objek kata ganti nama diri orang pertama seperti saya, kami atau kita yang menyusuli kata kerja transitif membanggakan boleh kita gugurkan.

 

8a.   Dia merupakan dirinya sebagai polis dalam drama itu.

8b.   Dia merupakan guru.

 

Dalam ayat 8a, kata kerja merupakan ialah kata kerja transitif yang harus diikuti objek seperti dirinya. Dalam ayat 8b pula, kata kerja transitif merupakan berfungsi seperti kata pemeri ialah. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam ayat 8b, kata kerja merupakan hanya berfungsi sebagai kata yang merangkaikan subjek dia dengan predikat guru. Oleh itu, pola ayat 8b ialah Frasa Nama + Frasa Nama.

 

9a.   Dia bercakap mengenai pencemaran alam.

9b.   Dia bercakap tentang pencemaran alam.

 

10a.  Mereka berhubung melalui/menerusi surat.

10b.  Mereka berhubung dengan surat.

 

11a.   Mengikut/Menurut pendapatnya, adiknya tidak bersalah.

11b.   Pada pendapatnya, adiknya tidak bersalah.

Dalam ayat 9a, kata kerja mengenai berfungsi seperti kata sendi nama tentang (lihat ayat 9b). Dalam ayat 10a, kata kerja melalui atau menerusi berfungsi seperti kata sendi nama dengan (lihat ayat 10b). Dalam ayat 11a, kata kerja mengikut atau menurut berfungsi seperti kata sendi nama pada (lihat ayat 11b).

 

12a.  Lompat tinggi ialah acara kegemarannya.

12b.  Peserta terjun tebing sudah bersedia.

 

Dalam ayat 12a, kata kerja akar lompat berfungsi seperti kata nama lompatan dalam kata nama majmuk istilah sukan padang lompat tinggi (high jump). Dalam ayat 12b, kata kerja tunggal terjun berfungsi seperti kata nama terjunan dalam kata nama majmuk istilah sukan lasak terjun tebing (base jumping).

 

Ada kata yang dapat berfungsi sebagai kata kerja dan kata nama sekali gus, bergantung pada konteks penggunaannya. Sila lihat contoh yang berikut:

 

13a.  Orang itu akan saya lawan.

13b.  Siapakah lawan awak?

13c.  Lawan ulam ialah sambal.

 

Dalam ayat 13a di atas, kata lawan ialah kata kerja, manakala dalam ayat 13b dan 13c, kata lawan ialah kata nama.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.