1 Februari 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesungguhnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan agensi kerajaan yang sangat popular dan sentiasa mendapat perhatian masyarakat, khususnya yang berhubung kait dengan isu bahasa dan tidak terkecuali yang berkaitan dengan sastera dan penerbitan dalam bahasa Melayu. Hampir setiap hari di media massa dan media sosial, ada-ada sahaja isu bahasa yang dibangkitkan, termasuklah yang bersifat kritikan terhadap DBP.

Secara umumnya, ada sesetengah isu yang dicetuskan jelas memperlihatkan bahawa masih ada dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuklah dalam kalangan sarjana dan kelas atasan yang masih tidak mengikut perkembangan mutakhir bahasa Melayu, di samping ada yang masih tidak jelas tentang pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan, dan peranan DBP dalam bab ini.

Sebelum ini, telah dibicarakan perihal betapa perlunya setiap lapisan masyarakat di negara ini menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sekadar untuk memugarkan ingatan kita bersama, dalam rencana sebelum ni telah dihuraikan tentang fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Dalam konteks perancangan bahasa, Malaysia mempunyai dasar bahasa yang sangat jelas, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan, dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa untuk maksud tertentu seperti yang telah dibincangkan sebelum.

Kendatipun begitu, perihal pelaksanaan dasar bahasa itu tetap perlu disebarluaskan agar semua peringkat masyarakat di negara ini dapat memperoleh pencerahan, khususnya yang berkaitan dengan peranan DBP dalam melaksanakan dasar bahasa dan sebagai badan perancang bahasa.

Sementara itu, perlu juga dinyatakan bahawa masih ada dalam kalangan masyarakat di negara ini yang tidak mengikuti perkembangan mutakhir bahasa Melayu, di samping masih ada yang tidak begitu menyedari bahawa DBP telah berjaya merancang dan melaksanakan perancangan bahasa dengan sangat cemerlang, terutama dalam membangunkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang mantap dan berwibawa.

Sehubungan dengan itu, harus juga disebut bahawa bahasa kebangsaan sesebuah negara hendaklah bersifat standard atau baku kerana dengan bersifat demikian, barulah dapat bahasa itu menjalankan tugasnya dengan berkesan sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pengantar pelbagai ilmu yang tinggi dan bahasa perhubungan rakyat jelata – Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2010:x1i.

Sesungguhnya, untuk menjadikan bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan yang standard atau baku, maka dilaksanakanlah program penting yang dikenali sebagai perancangan bahasa. Perancangan  bahasa seperti yang dijelaskan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ialah usaha yang dijalankan untuk memupuk bahasa ke arah taraf yang lebih maju.

Usaha ini biasanya dijalankan pada peringkat negara oleh badan yang ditubuhkan khas untuk matlamat ini. Di Malaysia, badan perancang bahasa ialah DBP yang ditubuhkan pada tahun 1956, setelah bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan  dan didapati perlu dimajukan bagi menjalankan semua beban tugasnya dengan berkesan.

Mungkin bagi sesetengah orang yang tidak melaksanakan dasar khususnya kerajaan seperti Dasar Bahasa Kebangsaan secara khusus, tidak dapat melihat betapa besar dan beratnya amanah sebagai badan perancang bahasa yang perlu dilaksanakan oleh DBP. Soal pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan boleh dikatakan sudah selesai kerana taraf dan kedudukannya sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, bagaimanakah penerimaan masyarakat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Dengan melihat beberapa peristiwa, isu dan polemik yang acap kali dicetuskan oleh sesetengah pihak yang sebahagiannya disentuh di atas, masih ada pihak yang memperlihatkan sikap dan tindak-tanduk yang boleh ditafsirkan sebagai tidak menerima dengan sepenuh hati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, terutamanya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan kebangsaan di negara ini.

Bahkan jika ditinjau penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, penamaan premis perniagaan, penamaan taman perumahan, paparan bahasa pada gegantung dan kain rentang, dalam majlis rasmi dan pada tulisan latar pentas, masih lagi memperlihatkan betapa warganegara Malaysia sendiri tidak mengendahkan dan mengutamakan bahasa kebangsaannya sendiri, sekali gus menunjukkan sikap kurang hormat kepada bahasa kebangsaan sendiri.

Tidak mustahil isu atau gejala seperti itu akan terus menjadi cabaran yang bukan kepalang ajar kepada DBP, khususnya dalam memupuk semangat cinta dan hormat akan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat yang semakin rencam demografinya, serta kian tenggelam dalam arus media sosial dan lambakan maklumat yang sangat mempengaruhi pola fikiran dan bertindak mereka.

Barang diingat bahawa DBP dalam waktu yang relatif singkat berjaya menjalankan semua beban tugasnya sebagai badan perancang bahasa, khususnya dalam membina dan memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, serta bahasa pengantar pendidikan kebangsaan yang cekap. Dari tahun 1956 hingga kini, perancangan bahasa Melayu telah melalui tiga proses dan peringkat utama, iaitu:

  1. Peringkat membuat keputusan tentang pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan;
  2. Peringkat pelaksanaan rancangan-rancangan yang direncanakan; dan
  3. Peringkat penilaian, yakni peninjauan semula terhadap hasil dan impak daripada aktiviti perancangan bahasa yang telah dilaksanakan.

 

DBP dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai badan perancang bahasa yang utama, serta bersinergi dengan pelbagai badan, institusi yang berkenaan dan masyarakat umum, telah melaksanakan usaha penyeragaman atau pengekodan bahasa Melayu, dan pengembangan atau pemupukan bahasa Melayu, sekali gus untuk merealisasikan peranan DBP dalam pelaksanaan apa-apa juga dasar yang berkaitan dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan bahasa rasmi negara.

Barangkali tidak banyak orang yang menyedari betapa besarnya sumbangan DBP dari aspek penyeragaman atau pengekodan bahasa Melayu yang merupakan tonggak utama yang menjadikan bahasa itu bahasa moden yang cerdas, cekap dan mantap, serta saling terjemah (inter-translatability) dengan bahasa moden lain, termasuklah bahasa Inggeris. Kejayaan cemerlang inilah yang sepatutnya dibanggakan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

Dalam melaksanakan dasar bahasa yang sejajar dengan peranannya sebagai badan perancang bahasa yang berwibawa, khususnya dalam hal ehwal yang berhubung kait dengan penyeragaman atau pengekodan bahasa Melayu, tiga aspek utama yang diseragamkan dan dikodifikasikan oleh DBP ialah ejaan, perkamusan dan tatabahasa.

Program penyeragaman atau pengekodan bahasa Melayu ini sangat signifikan untuk mewujudkan variasi bahasa Melayu yang baku atau standard yang digunakan di institusi pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi serta dalam semua urusan rasmi kerajaan, dan bahasa komunikasi dalam konteks rasmi di negara ini.

Seyogianya, bahasa Melayu jika dilihat dari aspek keseragaman ejaannya, kebakuan tatabahasanya, kemantapan perkamusannya, keluasan peristilahan dan kepelbagaian laras bahasanya memang sudah cukup mantap dan kecanggihan serta kemodenan bahasa Melayu itulah yang telah membolehkan bahasa itu digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan, bahasa perhubungan, bahasa pengucapan budaya tinggi, bahasa persuratan serta bahasa pentadbiran kerajaan yang sudah cukup mantap, meskipun tidak sempurna sepenuhnya.

Cabaran untuk memupuk atau mengembangkan penggunaan bahasa Melayu, dan dengan kata lain melaksanakan dasar bahasa dalam kalangan masyarakat serta sektor awam dan swasta di negara ini  tetap menempuh jalan yang berliku-liku, umpama betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Cabaran yang paling berat adalah daripada sektor politik. Cabaran daripada sektor ini datang dalam pelbagai bentuk. Antaranya, perubahan dasar kerajaan dalam sektor pendidikan seperti perubahan kurikulum yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, penggubalan dasar yang memberikan kelonggaran untuk program seperti Dual Language Programme (DLP) dilaksanakan, dan apa-apa dasar yang boleh mengancam peranan nasional bahasa Melayu, dan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Makanya, DBP dan semua pihak yang merupakan nasionalis bahasa seharusnya sentiasa sehati sejiwa dan seiring sejalan dalam mempertahankan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Cabaran yang tidak harus dipandang sepi ialah natijah daripada kemajuan, kecanggihan dan kepantasan teknologi maklumat dalam penyebaran maklumat dalam bahasa Melayu yang celaru, serta dalam bahasa Inggeris yang lebih maju dan dominan. Maksudnya, pelbagai maklumat bermanfaat dan yang diperlukan oleh masyarakat dalam bahasa Melayu yang baik, persis dan canggih seharusnya disebarluaskan serta tersedia dalam pelbagai bentuk aplikasi. Sekiranya, pelbagai aplikasi dalam bahasa Melayu yang baik, persis dan canggih gagal diwujudkan, maka bahasa Melayu tidak akan ke mana perkembangannya, dan dikhuatiri bahasa itu akan semakin ketinggalan.

Pemupukan dan pengembangan bahasa Melayu juga harus disejajarkan dengan perubahan demografi masyarakat yang kini lebih berpendidikan, cerdik, mempunyai minat membaca yang pelbagai, dan menjalani gaya hidup yang lebih cenderung ke arah hiburan, pemerolehan maklumat dan sebagainya daripada media sosial, alam maya atau digital serta pelbagai aplikasi lain yang kebanyakan dalam bahasa Inggeris, dan jika dalam bahasa Melayu sekalipun, agak kacau penggunaan dan pemaparan bahasanya.

Sementara itu, demografi pembaca surat khabar atau pendengar berita dalam bahasa Melayu pun sudah beralih kepada sumber digital. Hal ini juga secara tidak langsung mempengaruhi usaha pemupukan dan pengembangan bahasa Melayu sekiranya tidak dibangunkan pelbagai kandungan berbahasa Melayu yang sesuai dengan perubahan demografi dalam kalangan masyarakat.

Pemupukan dan pengembangan bahasa Melayu melalui kaedah konvensional seperti komunikasi bersemuka juga harus disesuaikan dengan perubahan teknologi dan demografi masyarakat pengguna bahasa atau khalayaknya, baik dari aspek kandungannya mahupun penyampaiannya. Dengan kata lain, kaedah penyampaian kandungan bahasa dalam sesuatu kursus misalnya,  haruslah lebih pragmatik, kreatif, inovatif dan efektif.

Pelaksanaan pelbagai dasar bahasa, terutamanya dalam pelaksanaan fungsi bahasa Melayu baku. Bahasa Melayu baku yang hendak dikembangkan dan disebarluaskan itu seharusnya lengkap dalam segala aspek, yakni benar ejaannya, persis tatabahasanya, betul istilahnya, tepat penggunaan katanya, baik laras bahasanya, dan betul sebutan serta intonasi.

Apabila berbicara tentang istilah dan peristilahan, kini lebih daripada satu juta istilah dalam pelbagai bidang disiplin ilmu telah dibentuk dan sebahagian besar daripadanya telah digunakan dalam penerbitan buku, majalah dan jurnal, khususnya dalam penerbitan DBP. Malangnya, masih ada dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa, terutamanya mereka yang sememangnya dalam disiplin ilmu yang harus memanfaatkan istilah itu tidak menyedari wujudnya istilah tersebut dan tidak berminat untuk menggunakan istilah itu.

Lebih malang lagi, ada dalam kalangan sarjana yang menyalahkan DBP atas pembentukan istilah tersebut yang kononnya tidak tepat, tidak sesuai dan tidak memenuhi keperluan dalam disiplin ilmu, justeru ada yang memilih untuk mencipta istilah sendiri dan cenderung menggunakan istilah dalam bahasa sumber ilmu yang berkenaan.

Ironinya, mereka yang sedikit jahil tentang perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari aspek peristilahan ini turut menyalahkan DBP kerana memandai-mandai mencipta istilah yang bukan bidang kepakarannya. Sedangkan, pada hakikatnya, bukan DBP yang menciptakan atau membentuk istilah pelbagai disiplin ilmu itu tetapi diciptakan dan dibentuk oleh pakar bidang serta subbidang ilmu yang berkenaan.

Jika istilah itu untuk bidang perubatan, maka para pakar, sarjana atau profesor dan profesional dalam bidang perubatan akan menjadi pakar bidang dalam pembentukan stilah itu. DBP hanya menjadi penyelaras bagi segala kerja pembentukan istilah itu dan istilah yang sudah diputuskan benar, tepat serta sah untuk bidang berkenaan sahaja yang akan diterbitkan dan disebarluaskan oleh DBP.

Syahadan, dalam usaha gigihnya memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu, masih ada juga pihak yang mengata-ngatai DBP sebagai pengongkong kemajuan bahasa itu, sekali gus menyebabkan bahasa itu menuju “kematian”. Kononnya tatabahasa yang diangkat dan disebarkan oleh DBP ialah tatabahasa lama dan buku terbitan DBP menggunakan tatabahasa lama serta istilah yang tidak tepat.

Pernyataan ini ternyata suatu pendustaan, dan memperlihatkan betapa jahilnya mereka yang menimbulkan isu ini akan kemajuan dan perkembangan yang telah dicapai oleh bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang cekap dan setanding dengan bahasa moden dunia yang lain.

Apa-apa pun, DBP dan seluruh warga kerjanya, serta didukung oleh organisasi lain yang prihatin dan peduli akan bahasa kebangsaan, dan yang memahami aspirasi rakyat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, tidak akan pernah patah semangat, apalagi patah hati dalam perjuangan murni mereka membina, membangunkan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia yang berwibawa.

Dasar Bahasa Kebangsaan ialah dasar negara yang mesti dilaksanakan dan dipertahankan agar tidak dipandang remeh oleh mana-mana pihak yang cauvinis bahasa Melayu yang tidak pernah kenal lelah untuk melemahkan kewibawaan bahasa itu sebagai bahasa rasmi, bahasa pengantar pendidikan, bahasa ilmu, bahasa persuratan dan bahasa perhubungan negara.

Usaha pemupukan dan pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mestilah diutamakan oleh rakyat dan warganegara Malaysia tanpa kompromi. Semua peringkat warganegara yang taat setianya kepada negara ini tidak wajar memperlihatkan sikap dan tingkah laku yang boleh dianggap atau ditafsir sebagai tidak menghargai status kewarganegaraannya.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.