2 Februari 2024, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Mantan wartawan media arus perdana, YBhg. Dato’ Saniboey Mohd. Ismail dan penulis bebas, Encik Ku Seman Ku Hussain berharap agar para karyawan filem Melayu tanah air mempunyai kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam karya mereka, meskipun mengakui bahawa filem juga bersifat sejagat.

Mereka tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa rojak pada judul filem misalnya boleh memberikan kesan positif terhadap pemasaran. Hal ini dikatakan demikian kerana ada filem yang menggunakan judul dalam bahasa Melayu penuh, “laku keras”.

Dato’ Saniboey dan Encik Ku Seman menegaskan perkara ini semasa menjadi ahli panel Wacana Filem: Isu Bahasa Melayu dan Budaya dalam Filem, bersempena dengan Hari Kru Filem Malaysia 2024, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, semalam. Acara berkenaan merupakan acara kali yang kedua selepas diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang tahun lalu.

Dato’ Saniboey yang pernah bertugas untuk akhbar Berita Harian serta Astro, dan kini menjadi penerbit menyebut tentang filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, yang mencatat kutipan berpuluh juta ringgit berbanding dengan filem yang menggunakan judul dalam bahasa Inggeris, atau bahasa rojak seperti War on Terror: KL Anarchy, beberapa bulan lalu.

“Saya mengerti bahawa filem adalah cerminan zaman. Penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa rojak juga kian berleluasa. Walau bagaimanapun, apalah erti filem Melayu hasil karya orang Melayu kalau bahasa itu sendiri dipandang remeh?” kata Saniboey yang menolak alasan penggunaan bahasa Inggeris mampu menarik penonton kerana hakikatnya peratus keluarga yang berbahasa tersebut di rumah amat rendah.

Sementara itu, Encik Ku Seman yang juga mantan pengarang akhbar Mingguan Malaysia (halaman sastera budaya) memberikan lebih peringatan bahawa bahasa Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

“Saya kesal kerana kini bahasa hanya menjadi soal ketiga yang terpenting dalam pembikinan sesebuah filem. Kata bual atau dialog dalam filem untuk watak apa-apa pun bukan murahan kerana ada seni dan nilai tersendiri. Jadi, paparkannya dengan sewajarnya,” tegas Ku Seman.

Bahasa Melayu, tambah beliau, bukan untuk orang Melayu sahaja, tetapi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Dengan kedudukan yang tinggi itu, bahasa Melayu wajar dimartabatkan dengan rasa bangga dalam filem.

Hari Kru Filem Malaysia 2024 dianjurkan oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dato’ Saniboey dan Encik Ku Seman turut diserta oleh pengarah filem Anwar: The Untold Story, Puan Viva Westi dari Indonesia dan Encik Fadzil Idris dari PROFIMA sebagai pemudah cara.

Meskipun Puan Viva dalam sesinya mengatakan bahawa masalah bahasa dalam filem tidaklah terlalu besar kerana filem ialah ‘”bahasa gambar”, namun oleh sebab wacana berkenaan membincangkan tentang bahasa dan budaya, serta krisis yang kian meruncing, perkara tersebut memang penting.

Yang turut menghadiri wacana tersebut ialah YBrs. Dr. Hazami Jahari, iaitu Ketua Pengarah DBP; YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP; YBhg. Dato’ Kamil Othman, iaitu Pengerusi FINAS dan YBrs. Encik Khalil Haji Salleh, iaitu Presiden PROFIMA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.