2 Februari 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu dalam sejarahnya merupakan bahasa antarabangsa yang luas digunakan di rantau Asia Tenggara, dan pernah diangkat sebagai lingua franca bagi urusan perdagangan dan perhubungan antarabangsa di seluruh rantau ini.

(“Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Melalui Penyelidikan Linguistik, Bahasa dan Budaya” – Hashim Musa.)

Kenyataan tersebut jelas membawa erti bahawa bahasa Melayu amat berperanan sebagai bahasa antarabangsa dan aset terpenting dalam melaksanakan pelbagai strategi ke arah kemajuan negara Malaysia secara menyeluruh dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Di sebalik itu, implementasi ketekalan bahasa Melayu bukanlah semudah yang difikirkan, lebih-lebih lagi dalam kalangan rakyat Malaysia yang heterogen sifatnya, serta menguasai pelbagai bahasa. Justeru, proses implementasi ke arah mencapai matlamat ketekalan bahasa Melayu dalam mendobrak arus zaman memerlukan inisiatif dan insentif daripada pelbagai pihak.

Tamsilnya, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh pihak kerajaan termasuklah usaha pemimpin nombor satu negara yang ingin memastikan bahasa Melayu terus tekal sebagai identiti kebangsaan. Memetik sumber Berita Harian pada 26 Oktober 2023, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengarahkan  surat rasmi sama ada daripada pihak kerajaan mahupun swasta diutus dalam bahasa Melayu.

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya surat rasmi diutus dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, surat itu perlu dipulangkan semula kepada pengutus dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justifikasinya, inisiatif pemimpin nombor satu negara tersebut merupakan arahan yang perlu disahut baik oleh rakyat Malaysia, serta bersedia menghadapi natijah ke arah ketekalan bahasa Melayu pada masa ini dan akan datang. Hal ini diibaratkan seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, yakni usaha yang bersungguh-sungguh daripada pihak pemimpin tertinggi dan rakyat Malaysia bagi memastikan bahasa Melayu terus tekal dan tidak dikesampingkan oleh masyarakat, khususnya generasi baharu.  

Kontradiksinya, saranan ke arah ketekalan bahasa Melayu tersebut mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, namun perlaksanaannya dapat memberikan impak dalam diri setiap rakyat Malaysia. Di sebalik itu, individu dan masyarakat dapat menyelami nilai budaya yang tersisip dalam bahasa Melayu serta menyemai rasa bangga dan mempunyai jati diri cinta akan bahasa kebangsaan.

Secara tidak langsung, penglibatan aktif pelbagai pihak dalam mempromosikan dan melestarikan penggunaan bahasa Melayu dapat membantu kontinuiti ketekalan bahasa Melayu pada peringkat lokal dan antarabangsa.

Dalam kehidupan marcapada, bahasa Melayu perlu diserlahkan keistimewaannya. Justeru, penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi perlu diimplementasi oleh setiap pihak termasuklah orang perseorangan, masyarakat, institusi kerajaan dan swasta.

Secara total, segala inisiatif yang dilaksanakan ke arah ketekalan bahasa Melayu diharapkan tidak seperti hangat-hangat tahi ayam dan setiap rakyat Malaysia perlu sama-sama berganding bahu, kekal menggalas tanggungjawab serta mempunyai pendirian yang jitu dalam usaha melestarikan, mengekalkan dan menyebarluaskan bahasa Melayu pada peringkat lokal dan antarabangsa.

Inisiatif Membina dan Mengembangkan Bahasa Melayu

Menurut Farid (1993: 39) dalam Pembinaan Bahasa Melayu: Peranan Kesusasteraan, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Semakan 1978) memberikan garis panduan yang jelas kepada matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usahanya untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu. Matlamat yang termaktub dalam Akta ini sebagaimana yang berikut:

  1. Memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan;
  2. Memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan;
  3. Mencetak dan menerbitkan buku atau membantu usaha pencetakan atau penerbitan buku, risalah dan bentuk persuratan lain dalam bahasa kebangsaan;
  4. Menyamakan ejaan dan bunyi sebutan serta menggubal istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.

Berdasarkan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Semakan 1978) tersebut, DBP telah sedaya upaya memenuhi matlamat menerusi perlaksanaan pelbagai aktiviti yang dianjurkan secara kontribusi, secara signifikan dengan pelbagai institusi, individu dan masyarakat untuk mempertahankan, membina dan mengembangkan bahasa Melayu. Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh DBP untuk mengekalkan vitalitas bahasa Melayu, persis kata peribahasa Melayu, “Genggam bara api, biar sampai jadi arang”.

Dengan berbuat demikian, implementasi ketekalan bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh DBP, sekali gus mengangkat bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi yang dapat membina jati diri rakyat Malaysia. Implementasi  ketekalan bahasa Melayu menerusi pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh DBP  sewajarnya diberi pujian dan apresiasi sebagai menghargai peranan yang telah mencapai matlamat dengan jayanya.

Dalam usaha memajukan, memperkaya, menyamakan ejaan, serta bunyi sebutan dan menggubal istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan, secara tidak langsung DBP turut memastikan kekayaan dan keindahan bahasa Melayu dikekalkan tanpa mengubah ciri asas bahasanya.

Sementelahan pula, DBP merupakan badan yang bertanggungjawab dalam pembinaan serta membawa perubahan positif kepada bahasa Melayu secara terancang. Hal yang perlu diselarikan ialah taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan serta bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan untuk disesuaikan dengan perkembangan ilmu dalam bidang sains dan teknologi.

Antaranya termasuklah inisiatif DBP dalam membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuklah sains dan teknologi. Contohnya, istilah bahasa Melayu dan bahasa Inggeris wajar diselarikan tanpa perubahan ciri asas bahasa Melayu untuk menjadikan bahasa Melayu terus tekal sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden.

Tuntasnya, usaha yang dilaksanakan oleh DBP terhadap bahasa Melayu dalam menyamakan ejaan dan bunyi sebutan serta menggubal istilah yang bersesuaian dalam pelbagai bidang dapat membantu ketekalan bahasa Melayu dalam mendobrak arus zaman. Selain itu, istilah dalam bahasa Inggeris yang terdapat  dalam bidang sains dan teknologi perlu diselarikan dengan istilah dalam bahasa Melayu

Natijahnya, bahasa Melayu akan lebih bersifat kontempori dan menjadi bahasa antarabangsa sebagai medium komunikasi dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Hal tersebut memerlukan usaha bersama pelbagai pihak dalam menjayakan cita-cita untuk mengkomersialkan bahasa Melayu dalam pelbagai konteks.

Merujuk sumber daripada Berita Harian pada 23 Mei 2022,  Prof. Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail menyatakan bahawa dasar penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi perlu tekal dan berkesinambungan. Menurut beliau, usaha tersebut perlu dilaksanakan menggunakan pendekatan “keseluruhan kerajaan” supaya setiap kementerian ada hala tuju yang sama.

Dalam usaha mempercepat dan memperbanyak khazanah ilmu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, kerjasama strategik secara konsortium pada peringkat tempatan dan antarabangsa perlu dilaksanakan. Selain itu, beliau turut menyarankan agar kamus istilah bagi sains dan teknologi secara dalam talian sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

Justeru, usaha penerbitan buku, risalah dan bentuk persuratan lain dalam disiplin ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu perlu giat dilaksanakan secara kolaborasi antara DBP dan institusi penerbitan di Malaysia.

Bahasa yang indah merupakan penekanan terhadap keindahan bahasa sebagai medium penyampaian pemikiran dan perasaan. Senario ini persis peribahasa Melayu, yakni “Yang elok itu budi, yang indah itu bahasa”. Hal tersebut merujuk sifat baik, moral, dan etika yang dipentingkan dalam budaya Melayu sebagai asas tingkah laku dan interaksi dalam masyarakat.  Hal tersebut bersangkut paut dengan strategi DBP ke arah memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan.

Misalnya, bermula pada tahun 2008 hingga tahun 2012, program Akademi Sastera telah dilaksanakan untuk memajukan bakat kesusasteraan dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Justeru, program sebegini selari dengan empat objektif Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pengajian Tinggi Awam, iaitu membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu, merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing. Usaha kolaborasi pelbagai pihak dalam menjayakan program tersebut merupakan langkah terpuji untuk memastikan bahasa Melayu tekal dalam mendobrak arus zaman.

Di samping itu, DBP turut mengambil inisiatif melestarikan dan memastikan bahawa bahasa Melayu tekal penggunaannya dalam kalangan generasi baharu, khususnya kanak-kanak. Langkah sebegini dapat melestarikan penggunaan, penguasaan dan memahirkan komunikasi lisan dalam kalangan kanak-kanak.

Contohnya, pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti pertandingan bercerita dalam bahasa Melayu. Aktiviti sebegini dapat memberikan peluang kepada generasi baharu agar mengikuti kompetisi bahasa Melayu sebagai motivasi tambahan untuk meningkatkan kemampuan berbahasa.

Pertandingan bercerita dalam kalangan penutur bukan natif pula dapat memberikan kesempatan kepada mereka untuk mempraktikkan kemampuan berbicara dalam bahasa Melayu. Tuntasnya, langkah bijak DBP menerusi anjuran pelbagai aktiviti dapat memberikan ruang dan pendedahan kepada generasi baharu, khususnya kanak-kanak.

Kanak-kanak yang terdiri daripada penutur natif dan bukan natif dapat  meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu secara menyeluruh, sama ada menerusi konteks pemahaman, berbicara, membaca, dan menulis.

Memetik kajian yang dilakukan oleh Aishah (2021: 51) menerusi makalah “Pelestarian Bahasa  Melayu sebagai Bahasa Ibunda di Singapura”, Bloom menyatakan bahawa pembentukan awal pembangunan pemikiran, iaitu pendedahan kepada perbendaharaan kata dapat mengkukuhkan cara berfikir secara berperingkat. Berkaitan hal ini, pendedahan yang berkurangan  akan memberikan kesan kepada pembentukan perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Sekiranya kanak-kanak tidak didedahkan kepada perbendaharaan kata bahasa Melayu lebih awal, pembentukan pemikiran seseorang kanak-kanak itu tidak terbentuk dengan kukuh. Hal ini bermakna, keupayaan berfikir dalam bahasa Melayu bagi tahap pemikiran yang lebih tinggi akan berkurangan.

Merujuk hal tersebut, DBP turut melunaskan tanggungjawabnya menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang dapat memberikan peluang kepada generasi baharu untuk menguasai perbendaharaan kata bahasa Melayu. Menerusi aktiviti sedemikian, kanak-kanak dibimbing dalam memahami dan menggunakan bahasa Melayu sebagai motivasi tambahan untuk meningkatkan kemampuan berbahasa Melayu.

Di samping itu, implementasi ketekalan bahasa Melayu perlu giat dilaksanakan agar bahasa Melayu tidak dipandang remeh dan dianggap tidak sofistikated. Kehidupan yang menampakkan ciri kemodenan sememangnya menjadi impian warga jagat. Namun demikian, setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri yang cinta akan negara dan akur dengan  Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsinya dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan.

Dikhuatiri bahawa akibat proses urbanisasi, rakyat Malaysia yang bersifat kosmopolitan, khususnya penutur natif bahasa Melayu tidak yakin berbahasa Melayu kerana dilihat tidak keterlihatan di mata dunia. Padahal, setiap rakyat Malaysia itu merupakan duta kecil yang bertanggungjawab menyebarluaskan bahasa Melayu ke persada dunia.

Menurut Abdullah Hassan (2009: 71) menerusi makalah “Bahasa Melayu di Persimpangan: Antara Jati Diri dengan Rempuhan Globalisasi”, sejak 600 tahun dahulu, Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian tentang peristiwa ini. Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh sebab itu, mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka.

Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka ialah bangsa yang agung. Akibatnya, mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak berasa hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris. Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya. Mereka tetap terjajah dalam minda yang mengagungkan bahasa Inggeris.

Tuntasnya, bahasa merupakan agen perpaduan yang asas dan sewajarnya dipupuk dan diperkukuhkan dalam kalangan rakyat Malaysia. Intihanya, perpaduan kaum dan bangsa dalam negara dapat menjadi utuh menerusi pelbagai aktiviti dan tindakan ke arah memupuk jati diri, yakni cinta akan bahasa Melayu untuk  merencanakan perpaduan yang lebih kukuh.

Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak sewajarnya bergabung tenaga di samping insentif daripada pihak berkuasa yang konsisten amat diperlukan untuk mendorong inisiatif yang dirancang oleh DBP dapat dilaksanakan dengan jayanya. Konklusinya, pelbagai pihak perlu memanifestasikan fikiran dan sinergi untuk mencari inisiatif terbaik dalam meningkatkan darjat bahasa Melayu, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi di persada dunia.

 

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar – Pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.