Oleh Kho Thong Eng
5 Februari 2024, 12:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata kerja transitif ialah kata kerja yang biasanya perlu diikuti oleh objek pada struktur permukaannya dan dapat dipasifkan. Hal ini bererti bahawa biasanya kata kerja yang tidak diikuti oleh objek dianggap sebagai tidak gramatis. Sebaliknya, kata kerja tak transitif tidak perlu diikuti oleh objek dan tidak dapat dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia menanam bunga di pekerangan rumahnya.

1b.  *Dia menanam di pekarangan rumahnya.

1c.  Bunga ditanamnya di pekarangan rumahnya.

  1.  Dia berehat di beranda rumahnya.

 

Dalam ayat 1a, kata kerja transitif menanam perlu diikuti oleh objek seperti bunga. Selain itu, ayat 1a dapat dipasifkan (sila lihat ayat 1c). Dalam ayat 2 pula, kata kerja tak transitif berehat tidak perlu diikuti oleh sebarang objek, dan tidak dapat dipasifkan.

Biasanya penentuan sifat transitif sesuatu kata kerja tunggal cukup mudah kita lakukan. Walaupun demikian, hal ini tidak begitu jelas bagi sesetengah kata kerja majmuk. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia mengambil alih syarikat itu.

3b.  Syarikat itu diambil alih olehnya.

 

4a.  *Dia mengambil berat tentang hal itu.

4b.  Dia mengambil berat hal itu.

4c.  Hal itu diambil berat olehnya.

 

5a.  *Dia mengambil berat terhadap adiknya,

5b.  Dia mengambil berat adiknya.

5c.  Adiknya diambil berat olehnya.

 

Dalam kelompok ayat 3, jelaslah bahawa kata kerja majmuk mengambil alih merupakan kata kerja majmuk transitif. Namun demikian, bagi kelompok ayat 4 dan 5 yang ada kata majmuk mengambil berat, ada pengguna bahasa Melayu yang tidak pasti sama ada kata kerja majmuk itu merupakan kata kerja majmuk transitif atau tidak transitif. Hal ini berlaku demikian kerana ramai orang menggunakan bentuk 4a dan 5a, berbanding dengan ayat 4b dan 5b.

Selain itu, mereka tidak tahu tentang cara untuk menentukan ciri transitif atau sebaliknya pada sesuatu kata kerja majmuk. Sebenarnya, bagi mereka yang menulis ayat seperti ayat 4a dan 5a, mereka beranggapan bahawa kata kerja majmuk mengambil berat bersifat tidak transitif. Hal ini dikatakan demikian kerana kata sendi nama tentang dan terhadap digunakan untuk merangkaikan kata kerja itu dengan frasa nama yang menyusulinya.

Bagi mereka yang menulis ayat seperti ayat 4b dan 5b pula, mereka beranggapan bahawa kata kerja majmuk mengambil berat bersifat transitif. Hal ini dikatakan demikian kerana kata kerja tersebut dihubungkan terus dengan objek yang menyusulinya.

Selain itu, hakikat bahawa ayat 4b dan 5b dapat dipasifkan (sila lihat ayat 4c dan 5c) membuktikan bahawa kata kerja majmuk mengambil berat bersifat transitif. Hal ini dikatakan demikian kerana hanya ayat dengan kata kerja transitif dapat dipasifkan, dan semua ayat pasif terbit daripada ayat aktif transitif.

Selain kata kerja majmuk mengambil berat, kata kerja majmuk memandang tinggi dan memandang rendah juga menimbulkan masalah. Hal ini mungkin disebabkan pengaruh daripada struktur bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  *Dia memandang tinggi terhadap orang kaya itu.

6b.  He looks up to that rich man.

 

7a.  *Dia memandang rendah terhadap orang miskin itu.

7b.  He looks down upon that poor man.

 

Berdasarkan kelompok ayat 6 dan 7, ayat 6a dan 7b yang mirip struktur ayat bahasa Inggeris 6b dan 7b seolah-olah tidak transitif.

 

Kata Kerja Majmuk Kata Perangkai Frasa Nama
memandang tinggi terhadap orang kaya itu
looks up to that rich man

 

Kata Kerja Majmuk Kata Perangkai Frasa Nama
memandang rendah terhadap orang miskin itu
looks down upon that poor man

Walau bagaimanapun, ayat dengan kata kerja majmuk memandang tinggi atau memandang rendah dapat dipasifkan. Hal ini membuktikan bahawa kedua-dua kata kerja majmuk bersifat transitif. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Dia memandang tinggi orang kaya itu.

8b.  Orang kaya itu dipandang tinggi olehnya.

8c.  The rich man is looked up to by him.

 

9a.  Dia memandang rendah orang miskin itu.

9b.  Orang miskin itu dipandang rendah olehnya.

9c.  The poor man is looked down upon by him.

 

Walaupun bahasa Inggeris ada struktur ayat seperti ayat 8c dan 9c, bahasa Melayu tiada struktur ayat yang serupa.

 

Selain kata kerja majmuk transitif yang tersebut di atas, terdapat contoh-contoh lain. Sila lihat ayat yang berikut:

10a.  *Dia memandang ringan/enteng/remeh terhadap perkara itu.

10b.  Dia memandang ringan/enteng/remeh perkara itu.

10c.  Perkara itu dipandang ringan/enteng/remeh olehnya.

 

11a.  *Dia memandang berat terhadap perkara itu.

11b.  Dia memandang berat perkara itu.

11c.  Perkara itu dipandang berat olehnya.

 

12a.  *Dia mengambil tahu tentang perkara itu.

12b.  Dia memandang tahu perkara itu.

12c.  Perkara itu diambil tahu olehnya.

 

Walaupun bahasa Melayu ada kata kerja yang dapat berfungsi sebagai kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif, jumlahnya amat kecil. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Dia merotan di hutan.

13b.  Dia merotan anaknya.

 

Dalam ayat 13a, kata kerja merotan ialah kata kerja tak transitif kerana tidak diikuti oleh objek. Dalam ayat 13b pula, kata kerja merotan merupakan kata kerja transitif kerana diikuti oleh objek anaknya. Selain itu, maksud kata kerja merotan dalam ayat 13a dan 13b berbeza.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.