6 Februari 2024, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Di Malaysia, sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian kaum dan budaya, selain makanan yang menyatukan rakyat yang berbilang bangsa, bahasa juga memainkan peranan sebagai wadah perpaduan rakyat. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kendatipun, pengaruh kepelbagaian bangsa mencorakkan lagi warna-warni penggunaan bahasa di Malaysia yang akhirnya menjadi kebiasaan dalam perbualan harian rakyat Malaysia. Makalah ini cuba memanifestasikan istilah dan ungkapan dalam bahasa Mandarin dan Kantonis menerusi konteks matematik yang sudah alah bisa, tegal biasa dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Istilah pertama yang kerap digunakan ialah tapau (打包 dǎbāo). Tapau berasal daripada bahasa Mandarin yang merujuk bungkus atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai take away, sementelahan lagi di kedai makanan segera.

Sebagai contoh, “Macha, tapau roti telur dua. Air teh O ais satu, ikat tepi”, adalah antara perbualan di kedai mamak yang menunjukkan istilah tersebut telah diasimilasikan dalam kalangan masyarakat Malaysia, hatta dengan rakyat bukan Malaysia (dalam konteks perbualan ini, macha merujuk pekerja Bangladesh atau India Muslim).

Sering kali juga penulis mendengar anak-anak Melayu menuturkan angka satu hingga 10 dalam bahasa Mandarin, iaitu satu (一) – , dua (二) – èr, tiga (三) – sān, empat (四 ) – , lima (五) – , enam (六) – liù, tujuh (七) – , lapan (八) – , sembilan (九) – jiǔ, dan 10 (十) – shí. Mereka mungkin tidak fasih berbahasa Mandarin, namun pendedahan tentang sebutan angka tersebut dari bangku sekolah terutamanya mereka yang bersekolah di sekolah kebangsaan seolah-olah telah dinormalisasikan.

Masyarakat kita juga sering mengungkapkan istilah “pokai” yang secara matematiknya merujuk keadaan kewangan yang buruk atau kehabisan wang. Perkataan ini sering digunakan secara kasual untuk merujuk situasi, iaitu seseorang atau sesuatu yang tidak mempunyai wang atau sumber kewangan yang mencukupi. Umpamanya, pengalaman adik bongsu penulis ketika masih menuntut di universiti pada penghujung semester sering menghantar pesanan yang mengungkapkan, “Abang, pinjam duit. Dah pokai nak siapkan projek”.

Perkataan “pokai” (pok gai 仆街) berasal daripada bahasa Mandarin, yang merupakan satu daripada dialek Cina. Perkataan ini digunakan dalam pelbagai komuniti Cina termasuklah di Malaysia. Seiring dengan itu, perkataan ini telah diadaptasikan ke dalam pelbagai dialek termasuklah bahasa Kantonis.

Perkataan “kawtim” juga berasal daripada bahasa Kantonis. Perkataan ini telah lama digunakan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Perkataan ini merujuk suatu perjanjian atau kesepakatan yang sah antara dua pihak. Secara matematik, contohnya dalam situasi proses jual beli antara penjual dengan pembeli yang melibatkan perjanjian jual beli suatu barang yang bernilai RM800. Pembeli menyerahkan deposit sebanyak RM300.00, jadi jumlah baki yang di”kawtim” oleh kedua-dua pihak ialah RM500.00.

Setiap kali menjelang musim perayaan tidak kiralah sama ada Hari Raya Aidilfitri, apatah lagi Tahun Baharu Cina, perkataan “angpau” sering meniti di bibir setiap individu terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, orang bujang atau mereka yang masih belum berumahtangga. Perkataan “angpau” berasal daripada dialek Hokkien. Angpau (红包) ialah istilah yang merujuk sampul berwarna merah yang biasanya berisi wang dan diberi sebagai hadiah atau pemberian semasa perayaan tersebut.

Istilah “kongsi” pula kedengarannya biasa dituturkan oleh rakyat Malaysia khususnya dalam kelas Matematik. Istilah “kongsi” berasal daripada bahasa Kantonis, iaitu (公司) yang merujuk suatu entiti perniagaan atau syarikat. Penggunaan perkataan ini kemudiannya telah diadaptasikan ke dalam bahasa Melayu. Contohnya, dalam suatu projek kumpulan, dua buah kumpulan berkongsi modal. Kumpulan A menyumbang 2/5 daripada modal keseluruhan projek tersebut, manakala Kumpulan B menyumbang sebanyak 3/5.

Perkataan “ngam” juga merupakan bahasa Kantonis yang membawa maksud sesuai atau sepadan. Perkataan “ngam-ngam” merujuk cukup-cukup atau genap-genap. Contohnya, dalam perbualan matematik di sebuah pasar raya, murid menyatakan “ngam” apabila barang yang dibelinya “ngam-ngam” dengan jumlah wang yang ada. Begitu juga dengan pemandu kereta yang cuba menganggar tempat parkir kereta yang ngam untuk memarkir kereta.

Dalam bahasa Mandarin, nombor lapan dipanggil “ba”, dan bunyinya sama dengan perkataan Mandarin untuk kemakmuran atau kekayaan, iaitu “发”. Sebagai hasil daripada persamaan fonetik ini, terdapat hubungan yang kuat antara lapan dan kejayaan kewangan dan keberuntungan. Nombor “8” menunjukkan simetri dan keseimbangan dalam bentuknya, menunjukkan keseimbangan dan harmoni.

Sebaliknya dalam budaya orang Cina, nombor empat dianggap sebagai nombor yang malang dan sering dikaitkan dengan kematian atau kemalangan. Nombor empat dalam bahasa Mandarin dipanggil “si”, dan bunyinya sama dengan perkataan Mandarin untuk kematian, “死”. Kepercayaan negatif terhadap nombor empat didorong oleh persamaan fonetik ini.

Sempoa pula sangat sinonim dengan masyarakat Cina di Malaysia yang merupakan alat bantu pengajaran matematik yang berasal dari China kuno. Alat ini digunakan untuk melakukan pengiraan aritmetik secara visual dengan menggunakan biji atau bola di dalam susunan tongkat atau palang kayu. Di Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina, penggunaan sempoa diwarisi daripada tradisi tersebut.

Pada masa dahulu, masyarakat Cina di Malaysia banyak terdiri daripada para pendatang yang membawa bersama-sama mereka budaya dan tradisi dari China, termasuklah cara pengajaran matematik yang menggunakan sempoa. Namun begitu, seiring dengan peredaran masa, penggunaan sempoa tidak lagi eksklusif kepada orang Cina. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik juga menggunakannya sebagai alat bantu dalam pembelajaran matematik.

Walau bagaimanapun, sempoa masih dianggap sinonim dengan orang Cina di Malaysia kerana berakar umbi daripada budaya Cina. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, sempoa lebih dikenali sebagai abakus. Abakus ini telah lama digunakan sebagai alat bantuan mekanikal untuk mengira. Alat ini digunakan oleh kebanyakan pengguna abakus untuk mengajar konsep matematik, terutamanya pengiraan termasuklah operasi tambah, tolak, darab dan bahagi, serta pemahaman struktur matematik.

Matematik mempunyai banyak bidang yang menggunakan istilah abakus ini. Satu daripadanya ialah konsep nombor, iaitu abakus digunakan untuk membantu murid memahami nilai tempat. Selain itu, abakus juga digunakan untuk memudahkan penerangan tentang proses pengiraan yang termasuklah operasi tambah, tolak, darab dan bahagi dalam subjek operasi nombor asas.

Tuntasnya, dalam bahasa Melayu, perkataan “matematik” digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian sama ada secara lisan mahupun bertulis dan secara formal mahupun tidak formal. Interaksi antara komuniti budaya yang berbeza di Malaysia menyebabkan penukaran ini berlaku sepanjang masa. Kekayaan sejarah dan budaya pembauran Malaysia digambarkan oleh keupayaan untuk mengambil perkataan daripada pelbagai bahasa dengan mudah.

 

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah Pensyarah di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia. 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.