9 Februari 2024, 11:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Asal usul bahasa merupakan topik yang menarik perhatian manusia sejak zaman dahulu. Dalam hal ini, ahli bahasa telah lama mengkaji dan mengenal pasti asal usul bahasa, khususnya dari segi punca dan penentuan bahasa yang mula-mula wujud di dunia ini. Oleh itu, tercetuslah beberapa teori melalui pendekatan tradisional dan moden.

Dalam Teori Poh-poh, bahasa lahir daripada naluri semula jadi manusia kerana manusia memerlukan bahasa untuk berkomunikasi dan meluahkan perasaan. Manusia begitu sensitif sehingga menyebabkan perasaan yang dialami seperti sakit, seronok, jijik dan jengkel diluahkan melalui tutur kata. Udara yang keluar daripada hidung dan mulut ini akan menghasilkan bunyi “poh” atau “pish”. Teori ini membuktikan bahawa manusia sudah mampu bertutur secara semula jadi sejak kewujudannya di bumi ini.

Menurut teori Teori Bow-bow atau Bow-wow pula, bahasa lahir daripada peniruan bunyi alam semula jadi (simbolisme bunyi) seperti bunyi salakan anjing dan kicauan burung. Oleh itu, teori ini juga dikenali sebagai Teori Onomatopia atau Teori Ekoik. Seorang penyelidik Jerman, Max Muller memberikan nama “bow-bow” yang merupakan bunyi seekor anjing untuk teori ini. Dalam masyarakat Melayu Sarawak, burung “tekukur”, iaitu burung merbuk merupakan nama haiwan yang namanya sama dengan bunyinya. Dalam bahasa Inggeris, wujudnya kata “cuckoo” yang merupakan bunyi burung dan dijadikan sebagai nama burung itu sendiri.

Teori ini menjelaskan bahawa manusia mampu bertutur setelah mendengar suara dan bunyi haiwan, seperti anjing dan burung. Oleh sebab haiwan menggunakan suara dan bunyi untuk memberikan isyarat dan berkomunikasi sesama sendiri bagi menunjukkan bahaya, keselamatan dan sebagainya, manusia juga meniru bunyi suara dan mencipta bunyinya sendiri. Di puncak keghairahan manusia mencipta suara dan bunyi ini, lahirlah bahasa yang lebih bersistematik dan berkembang hingga kini.

Bagi Teori Yo-He-Ho yang dikemukakan oleh Noire, bahasa tercipta daripada bunyi yang dihasilkan oleh masyarakat primitif ketika bekerjasama melakukan sesuatu kerja. Pada masa itu, masyarakat primitif melakukan pekerjaan berat tanpa peralatan moden. Oleh hal yang demikian, masyarakat tersebut melakukan sesuatu pekerjaan bersama-sama untuk meringankan beban. Ketika itulah, masyarakat ini mengucapkan ujaran tertentu yang berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukan. Ujaran tertentu wujud disebabkan oleh gerakan otot dan getaran pita suara, seterusnya terciptalah ucapan khusus. Kemudian, bunyi itu berkembang dan menjadi kata yang bermakna.

Teori lain ialah Teori La-la. Seorang ahli falsafah Denmark, iaitu Jespersen menyatakan bahawa bahasa manusia bermula daripada dengungan dan senandung yang tidak mempunyai apa-apa makna. Contohnya ialah bunyi ibu semasa membuaikan anak kecilnya. Bahasa berkembang daripada bunyi tersebut seiring dengan peredaran masa sehinggalah bahasa yang masih kaku, rumit dan kacau-bilau mula difahami dengan jelas, teratur dan mudahnya.

Seterusnya ialah Teori Isyarat Oral. Menurut Sir Richard Paget, ketika manusia pada zaman dahulu mula menggunakan peralatan, tangan mereka dipenuhi oleh barang sehingga tidak dapat berkomunikasi sesama sendiri dengan menggunakan tangan (isyarat). Kesannya, isyarat yang pada mulanya dilakukan dengan menggunakan tangan mula diganti oleh alat lain yang dapat menghasilkan isyarat yang lebih teliti. Pada ketika itulah, fungsi komunikasi diganti oleh mulut, iaitu dalam bentuk ujaran atau ucapan.

Selain itu, terdapat bukti bahawa bahasa berpunca daripada Tuhan. Menurut ajaran Islam, Allah SWT mengajar Nabi Adam AS tentang nama benda (Surah al-Baqarah:31). Selain itu, penciptaan bahasa yang bermacam-macam itu merupakan tanda kebesaran Allah SWT (Surah al-Rum:22).

Menurut agama Hindu pula, bahasa dicipta oleh Dewi Saraswati, isteri Dewa Brahman, sang pencipta alam. Orang Mesir percaya bahawa bahasa diturunkan dari langit melalui Raja Firaun. Orang Cina pula percaya bahawa bahasa merupakan kurniaan Tuhan yang disampaikan melalui Maharaja Cina yang dianggap sebagai keturunan Tuhan. Menurut kisah “kejadian” (Injil, Kejadian 2:19), manusia dicipta dalam imaginasi Tuhan dan kemampuan bahasa merupakan satu daripada sifat manusia.

Dalam doktrin pelbagai agama, telah dijelaskan bahawa Tuhan melengkapkan penciptaan manusia dengan bahasa. Antara penyokong teori ini termasuklah ahli falsafah Yunani, Kuno-Heraklitos dan ahli bahasa Arab, Ibnu Faris dalam kitabnya, al-Shahibi. Di samping itu, teori ini juga disokong oleh ahli linguistik moden, seperti Abu Lami dalam kitabnya, Fann al-Kalam.

Bahasa juga dikatakan berpunca daripada adaptasi fisiologi. Teori ini memfokuskan aspek fizikal manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain yang membolehkan manusia itu berbahasa. Contohnya, gigi manusia berada dalam kedudukan menegak dan tidak mengarah keluar seperti gigi kera. Gigi manusia juga mempunyai kedudukan yang sangat teratur yang dapat membantu manusia membunyikan bunyi, seperti huruf [f].

Selain itu, bibir manusia yang mempunyai saraf yang lebih banyak dan rumit berbanding dengan makhluk lain, serta keluwesan jalinan saraf tersebut dapat membantu manusia mengujarkan bunyi, seperti huruf [p] dan [b]. Pada masa yang sama, mulut manusia yang kecil boleh dibuka dan ditutup dengan cepatnya, serta mempunyai otot yang sangat lentur yang sesuai digunakan untuk menghasilkan gerakan bunyi.

Demikianlah beberapa teori yang dapat memberikan gambaran tentang asal usul bahasa. Daripada teori asal usul bahasa yang dibincangkan ini, dapat dirumuskan bahawa manusia sudah mempunyai bahasa sejak awal kejadiannya yang membolehkan manusia berkomunikasi sesama sendiri. Hal ini membuktikan bahawa manusia sudah mampu bertutur secara semula jadi sejak kewujudannya di muka bumi ini. Bahasa ini kemudiannya berkembang dan ditambah baik mengikut peredaran zaman dan tahap pemikiran manusia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.