12 Februari 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada zaman ini, negara berhadapan dengan cabaran isu bahasa yang sering dipandang enteng oleh segelintir masyarakat. Baru-baru ini, banyak orang yang membahaskan isu betapa tidak bergunanya menjadi rakyat Malaysia jika tidak tahu bertutur bahasa Melayu. Isu ini berkaitan dengan luahan hati seorang wanita yang didakwa telah dimarahi oleh pegawai kerajaan kerana tidak fasih bertutur bahasa Melayu.

Ada rakyat Malaysia yang mengabaikan tatabahasa dan sebutan yang betul, malah ada yang mengakui bahawa tidak fasih berbahasa Melayu. Satu daripada puncanya ialah generasi kini lebih terikut-ikutkan bahasa yang digunakan oleh idola semata-mata sedangkan golongan tersebut tidak menghiraukan nilai dan pengajaran dan tidak mengekalkan penggunaan bahasa yang betul untuk dicontohi oleh masyarakat. Golongan yang menjadi idola ini wajar diberi teguran supaya masyarakat menjadi masyarakat yang berjaya dan memartabatkan bahasa ibunda.

Media sosial merupakan satu daripada asbab bahasa Melayu kebanjiran idola, tetapi kemarau teladan. Hal ini dikatakan demikian kerana pempengaruh media sosial menggunakan bahasa Melayu dalam media sosial, tetapi bahasanya bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Keadaan ini mencemarkan bahasa Melayu dan menyebabkan pengikut idola tersebut terpengaruh untuk menggunakan bahasa yang rosak. Sepatutnya, pempengaruh menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada para pengikutnya supaya generasi muda dapat memelihara keaslian bahasa Melayu.

Selain itu, sekolah merupakan tempat lahirnya ilmu pengetahuan. Guru sering dilihat sebagai ikutan dan contoh terbaik bagi murid di sekolah. Namun begitu, terdapat guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dalam bahasa lain supaya murid lebih memahami perkara yang dipelajari. Ada juga guru yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu, tetapi bukan lulusan diploma atau ijazah pengkhususan Bahasa Melayu dan tidak menerima latihan yang secukupnya.

Selain itu, cara pembelajaran, seperti menghafal ilmu semata-mata menyebabkan murid tidak memahami struktur dan peraturan dalam bahasa Melayu. Guru yang hanya mementingkan gred tanpa menggunakan penilaian dari sudut bahasa akan menyebabkan murid tidak memelihara keaslian bahasa dengan baiknya.

Dari aspek lagu pula, pencipta lagu pada zaman dahulu menjaga keaslian dan memartabatkan bahasa dalam lagu, seperti yang dilihat dalam lagu Umpan Jinak di Air Tenang dan Lemak Manis. Pada waktu itu, lirik lagu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dengan suntikan elemen sastera untuk mengindahkan lirik lagu tersebut.

Kini, penulis lirik lagu baharu mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing kerana mahukannya dekat dengan jiwa pendengar. Apabila generasi baharu mendengar lagu tersebut, generasi ini tidak dapat melihat keunikan bahasa, sekali gus tidak akan memartabatkan bahasa Melayu. Perkara ini haruslah dilihat dengan lebih mendalam agar bahasa Melayu terus dipelihara dengan sebaik-baiknya pada zaman ini dan zaman akan datang.

Dari aspek permulaan pembelajaran, ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang utama untuk mendidik anak supaya kekal menguasai bahasa Melayu. Namun begitu, kini ada ibu bapa yang kurang bertutur dalam bahasa Melayu sepenuhnya apabila berkomunikasi dengan anak masing-masing. Ada ibu bapa yang lebih cenderung untuk menggunakan bahasa Inggeris ketika menegur anak yang masih kecil dengan alasan bahawa bahasa Inggeris lebih penting dan harus dikuasai sebaik-baik mungkin. Hal ini menyebabkan anak tidak dapat menguasai bahasa Melayu setelah dewasa nanti. Anak merupakan kain putih yang dicorakkan oleh ibu bapa kerana anak menjadikan ibu bapa sebagai idola pertamanya. Oleh itu, ibu bapa harus mencorakkan anak masing-masing demi menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ada segelintir masyarakat yang bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mengabaikan tatabahasa dan sebutan yang betul dalam situasi formal. Hal ini berlaku disebabkan oleh segelintir masyarakat yang kurang membaca bahan berunsur ilmiah. Golongan yang menjaga tatabahasa pula kurang dikenali oleh masyarakat, sedangkan golongan tersebut tidak pernah berhenti memperjuangkan bahasa Melayu. Oleh itu, generasi muda sepatutnya menjadikan golongan sebegini sebagai idola, sekali gus menjadi pelapis yang akan memperjuangkan bahasa Melayu supaya tidak mati ditelan zaman.

Dari sudut pemeliharaan bahasa kebangsaan, penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan ialah langkah bernas untuk memelihara identiti kebangsaan. Pada 25 Oktober 2023, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa segala urusan rasmi kerajaan haruslah menggunakan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi dapat memastikan kejelasan dan integriti komunikasi kerajaan, serta mempromosikan kepentingan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini jelas dapat menekankan identiti kebangsaan, sekali gus menjadikan rakyat negara ini sebagai masyarakat yang sentiasa menjaga dan memelihara bahasa Melayu walaupun dalam urusan seharian.

Bahasa kebangsaan mestilah dipelihara dengan rapinya. Golongan yang menjadi contoh dan ikutan seharusnya berusaha untuk menyemai teladan agar generasi baharu dapat mengambil pengajaran dan iktibar. Keindahan dan keunikan bahasa Melayu wajar dijaga dengan sebaik-baiknya tanpa mengubah keasliannya. Apabila masyarakat memelihara bahasa Melayu, identiti masyarakat tidak akan hilang.

Oleh itu, semua pihak perlu sentiasa memartabatkan keaslian bahasa kebangsaan dan berbangga dengan keunikan bahasa Melayu. Seharusnya, ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” dijadikan sebagai prinsip dalam diri setiap rakyat Malaysia agar keaslian bahasa Melayu dipelihara dan identiti nasional ini kekal menjadi milik mutlak rakyat Malaysia tanpa diganggu-gugat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.