Oleh Awang Sariyan
13 Februari 2024, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salah satu isu maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara Malaysia, khasnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi ialah penggunaan bahasa di tempat awam. Isu itu tidak kurang pentingnya daripada isu martabat bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, pendidikan, undang-undang  media am dan sektor lain.

Ketegasan pihak berkuasa dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam penggunaan bahasa di tempat awam ternyata masih longgar. Baru-baru ini, tular di media sosial isu penamaan sebuah perpustakaan di Bangi yang menggunakan bahasa Inggeris “LIBRARY” dengan saiz yang cukup besar dan diterangi oleh cahaya lampu yang menarik perhatian orang ramai pada waktu malam.

Tampak gah nama bangunan itu, sama gahnya dengan perasaan pihak yang memilih nama dalam bahasa asing untuk gedung sumber ilmu di bandar yang salah satu mercu tandanya ialah Universiti Kebangsaan Malaysia.  Universiti itu diketahui umum sebagai universiti yang ditubuhkan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Kewujudan bangunan institusi sumber ilmu dan maklumat yang menggunakan bahasa asing tentu tidak serasi dengan hasrat mengangkat maruah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Fenomena itu hanya satu daripada sekian banyak fenomena lain di seluruh negara dalam hal penggunaan bahasa di tempat awam. Pemantauan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama sejumlah pihak berkuasa tempatan (PBT) menunjukkan bahawa banyak papan tanda nama perniagaan, papan tanda arah, nama bangunan, nama kawasan perumahan dan kawasan perniagaan yang tidak bercitrakan jati diri negara dalam soal penggunaan bahasa.

Pelecehan maruah bahasa negara tergambar pada beberapa ciri. Satu daripadanya ialah sama sekali tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Yang kedua, jika bahasa Melayu digunakan, keutamaannya tidak menyerlah kerana bahasa lain lebih ditonjolkan, baik daripada segi saiz huruf, warna mahupun reka letaknya. Ciri lain ialah penggunaan bahasa yang salah sama ada ejaannya, pilihan kata atau tatabahasanya.

Undang-undang Kecil Pengiklanan menetapkan  pengutamaan bahasa Melayu pada papan nama, papan tanda, iklan dan bentuk peragaan lain di tempat awam. Jika ada keperluan menggunakan bahasa lain, perkataan itu mestilah lebih kecil saiznya dan tidak lebih menonjol daripada bahasa kebangsaan dalam hal reka letak dan warnanya.

PBT perlu peka dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa di tempat awam. Sebelum meluluskan permit peragaan di tempat awam, badan atau syarikat yang berkaitan perlu diminta oleh PBT di kawasan berkenaan agar mendapatkan pengesahan bahasa yang digunakan daripada DBP. Bidang kuasa DBP menurut Akta DBP 1959 (Peluasan 1995) terhad pada kuasa atau tugas “menegur, menasihati dan membimbing”. DBP tiada peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan yang berbentuk penguatkuasaan seperti menurunkan bahan peragaan atau mengenakan denda.

PBT juga ialah pihak yang mesti menguatkuasakan penggunaan bahasa di tempat awam kerana kuasa ada pada tangan agensi itu. Kes di Bangi itu satu daripada sekian banyak kes di negara ini yang menunjukkan tidak seriusnya sebahagian badan kerajaan dalam  pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan, sesudah hampir 67 tahun negara merdeka. Semua kementerian, agensi dan jabatan tidak sepatutnya menunggu pemimpin tertinggi negara bersuara baru bertindak. Badan kerajaan tidak sewajarnya bersikap bagai pahat dengan penukul.

Demikian juga, tidak wajar sikap menunggu ditegur oleh pejuang bahasa, pendidik dan anggota masyarakat yang peka baru penjawat awam berkenaan mempunyai kesedaran. Dasar Bahasa Kebangsaan ialah dasar negara yang wajib dilaksanakan oleh semua penjawat awam. Dalam hal ini, pemimpin institusi perlu peka dan bertanggungjawab memastikan pegawai dan pekerja di bawah seliaannya melaksanakan dasar negara, termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan. Semua badan kerajaan patut menjadi teladan kepada badan perniagaan dalam penggunaan bahasa kebangsaan.

Semoga isu nama perpustakaan awam di Bangi itu segera ditangani oleh pihak berkuasa yang berkenaan dan dijadikan pelajaran oleh semua badan kerajaan yang lain agar bahasa Melayu sebagai bahasa negara sentiasa didaulatkan dan dijaga maruahnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.