Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRadio merupakan media konvensional yang diperkenalkan dalam kalangan masyarakat pada tahun 1921 oleh British di Singapura. A. L. Birch pula telah membawa set radio dari England ke Malaya, khususnya di negeri Johor dengan gelombang 300 meter sebagai permulaan. Sejak itu, penyiarannya meluas sehingga ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Radio juga menjadi alat penyebaran propaganda semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua sebelum dijadikan medium hiburan. Radio kemudiannya menjadi alat perhubungan dan penyampaian maklumat terkini sehinggalah penggunaan radio diperluas dengan penyiarannya oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1934.
Penyiaran radio diperluas kepada syarikat media swasta pada pertengahan tahun 1990-an. Hingga kini, radio masih menjadi saluran penting apatah lagi apabila boleh diakses secara digital atau secara dalam talian dengan kemudahan capaian internet.
Tinjauan juga mendapati bahawa terdapat beberapa kategori stesen radio di Malaysia, iaitu stesen radio di bawah kendalian RTM, stesen radio separa kerajaan, stesen radio swasta dan stesen radio secara dalam talian yang tidak berdaftar. RTM mengungguli carta yang paling banyak rangkaian stesen radio berbahasa Melayu, iaitu sebanyak 19 rangkaian, diikuti oleh Astro Radio sebanyak 12 rangkaian dan radio separa kerajaan sebanyak dua rangkaian.
Oleh yang demikian, pendengar bebas memilih rangkaian radio berbahasa Melayu yang jumlahnya sebanyak 33 rangkaian – tidak termasuk jumlah radio secara dalam talian yang tidak berdaftar. Sebanyak mana pun rangkaian radio berbahasa Melayu yang dikendalikan, mauduk bahasa pengantaraan masih menjadi topik utama.
Beberapa stesen radio seperti KelantanFM dan JohorFM dikenal pasti mempunyai segmen bahasa seperti Mekar Bahasa di Radio, Kuiz Bahasa, Pantun Teka-teki, Ceria Bahasa dan Peribahasa Pagi. Walaupun segmen tersebut ringkas, mudah dan santai, segmen tersebut telah memberikan impak yang positif terhadap pendengar yang berkesempatan menambah ilmu kebahasaan dalam tempoh yang terhad. Apatah lagi penyampainya berwibawa menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.
Menurut laporan dan kajian Nielsen (Audio Today, 2019), pola pendengaran dalam kalangan pendengar radio bagi orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas ialah dari pukul 6.00 pagi hingga 9.00 pagi dan menurun selepas pukul 6.00 petang. Hal ini menunjukkan bahawa mereka mendengar radio semasa dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya.
Waktu puncak ini seharusnya tidak dipandang sepi oleh pihak stesen radio untuk menarik perhatian pendengar untuk menikmati penggunaan bahasa yang baik dan harmoni dan bukannya dengan gelak ketawa dan gurauan kosong. Penggunaan bahasa Melayu itu hendaklah betul dari segi sebutan dan tatabahasanya waima dalam konteks media massa.
Bahasa yang Rancu
Dasar Bahasa Kebangsaan menjadi satu dasar utama di Malaysia yang telah digubal sebelum merdeka lagi dan secara rasminya telah diisytiharkan apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, melalui Perlembagaan Persekutuan dan meliputi Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 apabila terbentuknya Persekutuan Malaysia.
Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia. Bahasa kebangsaan merujuk peranan bahasa Melayu sebagai asas jati diri bangsa Malaysia. Bahasa rasmi pula merujuk peranan bahasa Melayu sebagai unsur penting yang menggerakkan pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.
Kerancuan atau campur aduk penggunaan bahasa kebangsaan oleh penyampai radio tempatan sangat membimbangkan. Komunikasi dan interaksi penyampai radio tidak mencapai satu standard bahasa sebagai seseorang yang profesional dalam mengemudikan slot di radio terutamanya di stesen radio saluran berbahasa Melayu.
Bahasa yang rancu atau tidak teratur dapat dilihat dalam dua hal. Pertama, bahasa yang tidak menurut aturan bahasa yang baik, dalam soal tatabahasa, ejaan dan pilihan kata. Walaupun tidak dapat diharapkan bahasa yang sempurna dalam media, terutama yang berbentuk bahasa percakapan perlulah dihindari kesalahan asas yang mencacatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun (Awang Sariyan, 2021).
Penyampai radio seolah-olah tidak peka dan prihatin dengan sensitiviti masyarakat yang memandang tinggi martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia. Berkomunikasi dalam bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sering kali melihatkan betapa lemahnya penggunaan bahasa seseorang penyampai radio. Penggunaan bahasa rojak ini seolah-olah satu lesen besar kepada penyampai radio untuk menarik perhatian pendengar. Tidak terlihat ketegasan jati diri penyampai radio saluran berbahasa Melayu ini apabila bahasa yang digunakan itu dilanggar norma penggunaannya.
Kandungan rancangan tidak perlu dipertikaikan kerana apa-apa sahaja bentuk kandungan siarannya akan didengari oleh para pendengar. Rancangan yang dihidangkan di stesen radio pula kebiasaannya bersifat bicara santai, berita, muzik dan informasi terkini. Pada waktu puncak, pendengar gemar memilih hiburan dan informasi santai seperti rancangan sarapan pada hari bekerja yang mampu menarik jumlah pendengar mencecah 14.6 juta orang pada setiap minggu.
Rancangan pemanduan perjalanan (drive time) pula bersaing rapat sebagai slot kedua yang paling popular dengan 14.5 juta pendengar pada setiap minggu (Laporan Prestasi Industri, 2019). Pada tempoh inilah penyampai radio sewajarnya mengendalikan slot dengan penggunaan bahasa yang betul dan tidak merancukannya dengan bahasa asing lain terutamanya bahasa Inggeris.
Apa-apapun menu yang dihidangkan bukanlah pokoknya. Isunya ialah gaya penyampaian berbahasa oleh penyampai radio. Penyampai radio seharusnya mempunyai ilmu bahasa perantara yang baik dan mempunyai ilmu kemahiran bertutur dan berinteraksi dengan pendengar dengan menggunakan bahasa yang betul. Merancukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak mendidik masyarakat pendengar menjadi golongan masyarakat yang mampu memartabatkan bahasa kebangsaan.
Penyampai radio kurang prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul semasa mengendalikan rancangan. Pihak pengurusan stesen radio juga sewajarnya memberikan garis panduan yang jelas tentang kaedah penyampaian di radio yang betul, santun dan berkesan.
Penggunaan bahasa kebangsaan di stesen radio tempatan yang dilabel sebagai saluran rasmi kerajaan tidak begitu membimbangkan kerana kebanyakan penyampai radio yang dilantik dan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan konti merupakan individu yang mempunyai latar belakang bahasa yang baik sama ada bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Mungkin mereka telah diperjelas tentang garis panduan pengendalian slot di dalam konti radio kerana radio merupakan saluran rasmi media elektronik.
Wabak yang menjadi virus penyakit merancukan bahasa ini ialah apabila stesen radio swasta melantik penyampai radio dalam kalangan selebriti. Selebriti yang mengendalikan slot-slot di radio yang kononnya diharap dapat menarik perhatian pendengar demi mencapai rating dan ranking yang tertinggi sebenarnya menjadi daya penolak pendengar yang cinta akan bahasa kebangsaan.
Yang lebih banyak terhidang dalam slot mereka ialah gelak tawa dan gurau senda yang tidak memberikan ilmu kepada pendengar. Mereka tidak mampu membawa isu yang serius dalam medium yang santai. Kebanyakannya tidak mempunyai latar belakang ilmu penyiaran yang baik, apatah lagi dengan penggunaan bahasa kebangsaan yang lemah sehingga sanggup menodai bahasa ibunda sendiri dengan penggunaan bahasa Inggeris yang kononnya memperlihatkan kebijaksanaan mereka menggunakan istilah bahasa Inggeris. Hilang jati diri, hilang kebijaksanaan maka hilanglah rasa hormat para pendengar.
Tidak dinafikan bahawa pendengar yang mendengar radio ada masanya tidak mahu mendengar isu yang memberatkan fikiran. Sebanyak 90% pendengar radio mendengar radio semasa memandu bagi memenuhi ruang perjalanan mereka. Oleh sebab radio kini boleh didengari pada bila-bila masa dan dalam apa-apa juga situasi dengan memuat turun aplikasi tertentu, maka purata harian rakyat Malaysia mendengar radio ialah selama 55 minit sehari dengan 97% pendengarnya dalam kalangan masyarakat di Semenanjung Malaysia (Laporan Prestasi Industri, 2019). Kesempatan ini perlu dijadikan peluang besar kepada stesen radio untuk bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan dengan betul agar pendengar disajikan dengan hidangan berbahasa yang baik dan molek.
Apabila aplikasi radio secara dalam talian boleh diakses oleh pendengar di luar sempadan geografi dan wilayah, kita perlu memikirkan tentang perluasan penggunaan bahasa kebangsaan Malaysia oleh masyarakat luar. Sesetengah daripada mereka mengharapkan komunikasi di radio sebagai medium ilmu bahasa untuk mempelajari dan membaiki bahasa Melayu mereka. Sayang sekali jika bahasa Melayu dirancukan dalam interaksi penyampai radio sesama mereka sendiri atau dengan pendengar.
Kepopularan seseorang individu tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk mereka dilantik sebagai penyampai radio. Penyampai radio harus bijak mengawal tutur bicara daripada merancu dan merepek. Jika isu merojakkan bahasa ini tidak dipandang serius bagaimana Malaysia harus menjadi sebuah negara yang kukuh jati dirinya kerana bahasa itu cabang utama jati diri seseorang warga.
Radio mampu menjadi medium yang mendidik masyarakat menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dan baik jika penyampainya tidak memandang lewa akan penggunaan bahasa dalam segmen pengendaliannya. Pengisian yang bermoral dan berilmu perlu dikekalkan selain pengendalian berbahasa yang menepati kesempurnaan penyampaiannya.
Medium komunikasi terawal ini masih relevan hingga kini dan menjadi pilihan utama bagi pemandu yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Masyarakat juga memilih radio sebagai medium penyebaran berita mutakhir dan sahih walaupun internet menjadi komunikasi di hujung jari dengan jaringan media sosial. Oleh yang demikian, sewajarnya radio memainkan peranannya dalam penyebaran maklumat kebahasaan dan persuratan dengan perluasan penggunaan bahasa yang betul dan tepat.