Oleh Kho Thong Eng
20 Februari 2024, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata ganti nama ialah subgolongan kata nama, iaitu kata yang menjadi pengganti kata nama am dan kata nama khas. Ganti nama digunakan dalam penulisan apabila kita tidak tahu atau tidak mahu menyatakan nama sesuatu atau seseorang. Kata ganti nama meliputi kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri.

Kata ganti nama tunjuk digunakan untuk menunjukkan benda, perkara, orang atau tempat yang dirujuk. Kata ganti nama ini terbahagi kepada kata ganti nama tunjuk umum dan kata ganti nama tunjuk tempat.

Kata ganti nama tunjuk umum merujuk benda, perkara atau orang yang berkenaan. Terdapat dua kata ganti nama tunjuk umum, iaitu ini dan itu. Kata ini merujuk sesuatu yang dekat, manakala kata itu merujuk sesuatu yang jauh. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Ini bendera Malaysia.

1b.  Itu bapanya.

1c.  Dia hendak makan ini.

1d.  Dia hendak membeli itu.

1e.  Kereta ini cantik.

1f.   Rumah itu besar.

 

Dalam ayat 1a dan 1b, kata ganti nama tunjuk umum ini dan itu merupakan subjek  ayat. Dalam ayat 1c dan 1d, kata ganti nama ini dan itu ialah objek kepada kata kerja transitif makan dan membeli. Dalam ayat 1e dan 1f, kata ganti nama umum ini dan itu menjadi penerang dan penentu belakang frasa nama kereta ini dan rumah itu.

Kata ganti nama tunjuk tempat meliputi kata sini, situ dan sana, dan penggunaan kata-kata tersebut ditentukan oleh jarak dari orang yang bercakap. Kata sini merujuk tempat yang dekat, kata situ untuk tempat yang agak jauh dan kata sana berkaitan dengan tempat yang jauh. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Rumah saya di sini.

2b.  Kantin sekolah kita di situ.

2c.  Perang pernah tercetus di sana.

 

Kata ganti nama diri merangkumi kata ganti diri tanya, kata ganti nama diri tak tentu, kata ganti nama diri orang dan kata ganti nama diri refleksif. Kata ganti nama tanya merujuk benda, perkara atau orang dalam bentuk tanya, iaitu apa, siapa dan mana.

Kata ganti nama tanya apa (what) merujuk benda atau perkara, kata ganti nama siapa (who) merujuk orang, dan kata ganti nama mana (which/who/whom) merujuk benda atau orang. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Benda itu apa?

3b.  Pengetua sekolah ini siapa?

3c.  Buku pilihan kamu mana?

 

4a.  Apakah benda ini?

4b.  Siapakah pengetua sekolah ini?

4c.  Manakah buku pilihan kamu?

 

Dalam kelompok ayat tanya 3, kata apa, siapa dan mana digunakan dalam ayat susunan biasa, manakala dalam kelompok ayat tanya 4, kata-kata tersebut digunakan dalam ayat susunan songsang.

Kata ganti nama tak tentu mencakupi kata ganti nama tanya yang digandakan, iaitu apa-apa, mana-mana dan siapa-siapa atau sesiapa dan kata khusus seperti sesuatu dan seseorang.

Kata apa-apa (whatever) merujuk sebarang benda atau perkara, kata mana-mana (whichever/whoever) berkaitan dengan sebarang pilihan, kata siapa-siapa/sesiapa (whoever) merujuk sebarang orang, kata sesuatu (something) merujuk sebarang benda atau perkara, dan kata seseorang (someone) merujuk sebarang orang. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia tidak membeli apa-apa.

5b.  Belilah mana-mana yang awak perlukan.

5c.  Siapa-siapa pun boleh masuk.

5d.  Sesiapa pun boleh masuk.

5e.  Dia hendak mengetahui sesuatu.

5f.   Dia memerlukan bantuan daripada seseorang.

 

Kata ganti nama diri orang merujuk diri orang tertentu, iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Kata ganti nama diri orang pertama: saya, aku, kami, kita, beta, patik, hamba, hamba tuan
  2. Kata ganti nama diri orang kedua: awak, kamu, engkau, anda, kalian, tuanku, saudara, saudari
  3. Kata ganti nama diri orang ketiga: ia, dia, -nya, beliau, mereka, baginda

 

Kata ganti nama diri orang mempunyai bentuk lemah yang terikat, iaitu bentuk klitik. Terdapat bentuk proklitik dan enklitik. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Buku itu sudah kubaca.

6b.  Sudahkah buku ini kaubaca?

 

7a.  Inilah bajuku.

7b.  Bajumu kotor.

7c.  Keretanya mahal.

 

Dalam kelompok ayat 6, terdapat bentuk proklitik ku- dan kau- dalam ayat pasif. Dalam kelompok ayat 7, terdapat bentuk enklitik –ku, -mu dan –nya sebagai penerang nama milik.

Kata ganti nama refleksif ialah kata ganti nama diri yang merujuk subjek ayat tanpa mengulangnya, iaitu kata diri. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Saya membersihkan diri sebelum makan.

8b.  Awak tidak perlu menyusahkan diri dalam hal ini.

8c.  Dia telah membunuh diri.

 

9a.  Saya membersihkan diri sendiri sebelum makan.

9b.  Awak tidak perlu menyusahkan diri sendiri dalam hal ini.

9c.  Dia telah membunuh diri sendiri.

 

Dalam kelompok ayat 8, penggunaan kata ganti nama diri refleksif diri mengelakkan kata ganti diri orang saya, awak dan dia diulang dalam ayat yang sama. Hal ini menjadikan ayat yang berkenaan lebih segar dan menarik. Dalam kelompok ayat 9 pula, kata sendiri ditambah sebagai adverba.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.