21 Februari 2024, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Komunikasi merupakan perlakuan biasa sehari-hari bagi manusia. Tidak ada manusia yang tidak berkomunikasi. Diam juga satu daripada bentuk komunikasi. Banyak orang yang salah faham bahawa suatu komunikasi itu berlaku apabila adanya suara.

Apakah kita sudah lupa bahawa bahasa isyarat juga satu daripada bentuk komunikasi? Menulis di media sosial juga ialah komunikasi. Sehubungan dengan itu, komunikasi berlaku pada bila-bila masa sahaja asalkan melibatkan dua atau lebih pihak.

Menurut Sulaiman Masri dalam buku Komunikasi Berkesan, komunikasi ialah “proses yang bermula apabila satu mesej (maklumat) daripada pengirim (penutur, penulis dan sebagainya), kemudian dipindah menerusi alat atau saluran khas kepada penerima (pembaca, pendengar dan sebagainya) yang kemudiannya memberikan maklum balas (mengekod dan mentafsir) terhadap mesej tersebut dan mengembalikan isyarat dalam bentuk sama ada mesej tersebut sudah atau belum difahami”.

Berdasarkan takrif oleh Sulaiman Masri tersebut, komunikasi berlaku apabila pengirim menyampaikan sesuatu maklumat kepada penerima melalui apa-apa saluran atau medium. Percakapan secara bersemuka, tulisan menerusi aplikasi WhatsApp, simbol dan papan tanda di jalan raya, bahasa badan (kinesik) dan lain-lain dapat menjadi saluran komunikasi.

Seterusnya, penerima haruslah mentafsir maklumat yang disampaikan lalu memberikan maklum balas. Kefahaman penerima terhadap mesej yang disampaikan oleh pengirim menentukan sama ada suatu peristiwa komunikasi itu berkesan atau tidak.

Secara umumnya, komunikasi berkesan ialah komunikasi yang berlangsung dengan kefahaman yang total oleh kedua-dua (atau lebih) pihak. Tanpa kefahaman terhadap maklumat yang disampaikan, komunikasi itu tidak berlaku. Menurut Indirawati Zahid dalam bukunya Makna: Konsep dan Komunikasi, suatu ucapan yang tidak difahami itu hanyalah bunyi bising. Oleh itu, kita wajar pelajari prinsip komunikasi berkesan.

Makalah ini akan membentangkan teori komunikasi berkesan oleh Grice menerusi makalahnya yang berjudul Logic and Conversation. Menurut Grice, terdapat empat prinsip (dalam penulisan Grice digunakan istilah maksim) komunikasi berkesan, iaitu kuantiti, kualiti, hubungan dan cara.

Prinsip kuantiti melibatkan kadar kandungan yang diperlukan untuk menyampaikan maklumat. Hal ini bermaksud, seseorang yang berkomunikasi, dia tidak seharusnya menyampaikan lebih daripada yang diperlukan sahaja.

Sekiranya berkomunikasi menerusi penulisan, cukuplah sekadar yang ingin disampaikan sahaja dan tidak meleret-leret sehingga mengaburi tujuan sebenar komunikasi. Contohnya:

  1. Saya belum membeli baju raya kerana tidak cukup duit.
  2. Saya belum membeli baju raya kerana gaji saya sudah habis. Selepas saya mendapat gaji, biasanya saya akan membayar segala komitmen. Oleh sebab itulah saya tidak cukup duit untuk membeli baju raya.

Niat untuk memberitahu sebab belum membeli baju raya cukuplah sekadar seperti ayat (1). Ayat (2) sudah bersifat meleret-leret sehingga membuatkan topik perbualan itu bukan lagi berkenaan baju raya, tetapi duit gaji yang sudah habis. Komunikasi berkesan berlaku apabila seseorang itu bercakap atau menulis dengan padat.

Prinsip kualiti pula, memerihalkan kebenaran atau penipuan maklumat yang disampaikan. Hal ini lebih parah lagi apabila maklumat yang hendak disampaikan itu berlawanan dengan fakta yang diketahui oleh hampir semua orang. Contohnya:

  1. Saya tinggal di Bukit Jalil, Singapura.

Hampir semua orang Malaysia mengetahui bahawa Bukit Jalil bertempat di Kuala Lumpur, bukan di Singapura. Penipuan secara jelas ialah pelanggaran prinsip kualiti. Selain fakta yang merupakan pengetahuan umum, terdapat juga maklumat yang bersifat khusus. Maklumat seperti ini hanya diketahui oleh golongan profesional yang secara langsung terlibat dalam kegiatan tertentu sahaja. Contohnya:

  1. Sigmund Freud merupakan pengasas teori Psikoanalisis.
  2. Sigmund Freud merupakan pengasas teori Pemusatan Klien.

Bagi kita yang merupakan orang awam dan bukan pelajar atau ahli psikologi, kita mungkin tidak tahu maklumat manakah yang benar. Bagi mereka yang berkeahlian, mereka mengetahui bahawa Sigmund Freud ialah pengasas teori Psikoanalisis, bukan teori Pemusatan Klien. Oleh itu, berkomunikasi dengan maklumat yang benar ialah pematuhan terhadap prinsip kualiti. Dengan cara itu, komunikasi tersebut dapat menjadi berkesan.

Prinsip ketiga, iaitu prinsip hubungan menegaskan isi komunikasi yang relevan dengan topik utama. Contohnya:

Penutur 1: Saya sedih akan kematian kucing saya.

Penutur 2: Marilah kita pergi makan.

Perbualan ini memperlihatkan tidak ada maklum balas yang berkaitan dengan maklumat yang disampaikan oleh Penutur 1. Hal ini juga memperlihatkan ketidakpatuhan terhadap prinsip hubungan. Sehubungan dengan itu, perbualan yang berlangsung ialah bentuk komunikasi tidak berkesan.

Prinsip cara pula menekankan kejelasan dalam komunikasi. Untuk mencapai hal tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dielakkan seperti kekaburan, ketaksaan, kelewahan dan penyampaian yang tidak teratur.

Apakah itu kekaburan? Kekaburan dalam berkomunikasi merujuk kata, frasa atau ayat yang bersifat terlalu umum sehingga tidak difahami oleh penerima. Biasanya, bagi meleraikan masalah kekaburan, penyampai perlu mengkhususkan sesuatu maklumat dalam berkomunikasi. Contoh ayat yang kabur:

  1. Promosi kasut dengan diskaun sehingga 80%.

Kita biasa terjumpa dengan ayat begini. Namun demikian, ayat ini kabur kerana persoalannya, kasut yang mana satukah mendapat potongan harga sehingga 80%? Adakah semua kasut mendapat potongan harga sebanyak itu? Ternyata, apabila kita pergi memilih kasut yang diminati, rupa-rupanya terdapat sebilangan kecil sahaja kasut yang mendapat potongan harga. Kekaburan ini berlaku kerana ayat yang disampaikan itu terlalu umum.

Selain itu, ketaksaan bermaksud penggunaan kata, frasa atau ayat yang mempunyai lebih daripada satu maksud atau tafsiran dan tidak dapat dikenal pasti maksud yang mana satukah yang dirujuk. Contohnya:

  1. Roti telur.

Roti telur ialah frasa yang taksa kerana roti telur dapat merujuk roti canai telur ataupun roti telur goreng (french toast). Dalam masyarakat Malaysia, kedua-dua ini dipanggil roti telur.

Selepas ketaksaan, kelewahan juga merupakan unsur yang tidak mematuhi prinsip cara. Kelewahan ialah bentuk komunikasi yang meleret-leret sehingga meninggalkan topik perbualan yang utama.

Keempat, ketidakaturan dalam berkomunikasi. Ketidakaturan ini merujuk bentuk komunikasi yang tidak bertaut. Pertautan itu pula merujuk hubungan antara ayat dengan ayat. Contohnya:

  1. Saya suka mengulang kaji pelajaran. Subjek yang paling kerap saya ulang kaji ialah Matematik kerana itulah subjek yang paling saya lemah.

Contoh ayat (1) ini memperlihatkan terdapat hubungan antara ayat pertama dengan ayat kedua. Hal ini kerana kedua-duanya masih berbicara tentang “ulang kaji”. Frasa “ulang kaji” itu sendiri pun disebut dua kali. Satu dalam ayat pertama. Satu dalam ayat kedua. Hal ini menunjukkan dua ayat dalam contoh (1) saling bertaut.

Kesimpulannya, pematuhan empat prinsip oleh Grice ini membawa kepada komunikasi yang berkesan. Empat prinsip tersebut ialah kuantiti, kualiti, hubungan dan cara. Pelanggaran prinsip yang disebutkan mengganggu kelancaran komunikasi. Oleh itu, berkomunikasilah dengan berkesan kerana bukan sekadar menyampaikan buah fikiran, tetapi juga melahirkan kemesraan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.