Oleh Yusaida Yusof
28 Februari 2024, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Program Wacana Penegasan Bahasa Kebangsaan Bil. 1/2024 yang bertajuk “Bahasa Kebangsaan Tanggungjawab Kita” telah berlangsung pada pukul 11.30 pagi, pada hari ini (28 Februari 2024 – Rabu) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Menerusi wacana ini, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu YBrs. Dr. Hazami Jahari berkongsi tentang peranan, hasil kajian, pandangan dan harapan DBP terhadap bahasa Melayu.  Yang berikut merupakan inti pati ucapan beliau untuk tatapan pembaca Dewan Bahasa.

Sebelum wujudnya negara “Malaysia”, bahasa Melayu sudah lama wujud bersama-sama penutur jatinya dan tersebar di seluruh ceruk rantau Alam Melayu atau Nusantara. Bahasa Melayu mempunyai tradisi tulisan yang lama dan berisi kepustakaan yang agung. Teks Melayu yang paling tua (682 Masihi) sudah terukir dengan skrip Pallava pada batu yang ditemui di Palembang, Sumatera.

Van Linschotten, pegawai yang bertugas dengan kerajaan Portugis antara tahun 1586 hingga 1592 di Indonesia menyatakan bahawa bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja harum namanya tetapi dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri Timur, dan bahawa orang yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu dapatlah dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu.

Begitulah juga yang berlaku kepada bahasa Melayu dan sumber keilmuan berbahasa Melayu apabila banyak khazanah berharga telah dibawa ke negara asal penjajah, malahan ada juga yang dimusnahkan. Terpalit sejarah hitam kepada tradisi keilmuan ini.

Memadam Sejarah Hitam dan Membina Lembaran Baharu

Pancang pembinaan negara ini ialah kontrak sosial yang meliputi kedudukan Raja-raja Melayu [Perkara 32(1) Perlembagaan], agama Islam sebagai agama Persekutuan [Perkara 3(10) Perlembagaan], kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi [Perkara 152(1) Perlembagaan], dan hak istimewa orang Melayu [kemudian meliputi hak istimewa kaum-kaum bumiputera yang lain], terutama di Sabah dan di Sarawak, apabila terbentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 [Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia]. Apabila pancang ini dirobohkan, maka akan wujud suasana ketidakstabilan dalam proses pembinaan sebuah negara bangsa.

Oleh itu, bahasa Melayu telah memainkan peranan dan fungsinya dengan membina keintelektualan bangsa. Golongan teknokrat dan birokrat yang memacu kemajuan negara pada hari ini terdiri daripada mereka yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Bahasa Membina Bangsa

Tidak ada bangsa di dunia yang benar-benar berjaya membina ketamadunan masing-masing tanpa berpegang pada akar umbi utuh kepada bahasa kebangsaan mereka. Lihat sahaja kemajuan yang dicapai oleh bangsa Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam keghairahan mengejar angka pertumbuhan ekonomi untuk menjadi sebuah negara maju. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, “Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran”.

Lihat sahaja negara jiran kita yang tegar dengan penggunaan bahasa tinggalan penjajah. Bahasa semata-mata bukanlah penentu kejayaan sesebuah tamadun bangsa, sebaliknya kesepaduan penguasaan ilmu dan penerapan nilai jati diri kebangsaan merupakan tonggak utama kejayaan.

Bahasa Melayu Cukup Moden untuk Semua

Satu daripada proses penting dalam perancangan linguistik ini ialah pembentukan serta perumusan bahasa Melayu standard atau baku. Proses ini secara rincinya melibatkan tiga bidang, iaitu sistem tulisan, nahu dan kosa kata. Melalui sistem tulisan yang ikut mencakupi sistem ejaan, asas bahan literasi dalam bahasa Melayu dapat ditentukan. Dengan cara ini, sistem tulisan disediakan dalam bentuk Rumi sebagai skrip rasmi, di samping bentuk Jawi sebagai skrip warisan.

Melalui ketiga-tiga bidang ini, bahasa Melayu ialah bahasa moden. Sehubungan dengan itu, seperti bahasa moden lain, misalnya bahasa Inggeris, bahasa Melayu mampu menangani segala macam tuntutan budaya moden atau semasa, khususnya dari segi gaya berbahasa dan peristilahan dalam bentuk tulisan dan lisan. Dengan cara ini, bahasa Melayu mampu digunakan untuk kegiatan budaya tinggi seperti pendidikan, apatah lagi untuk urusan seharian yang popular pula sifatnya.

Melalui perancangan linguistik yang mangkus, bahasa Melayu cukup moden untuk digunakan dalam dunia semasa. Kemodenannya setanding dengan bahasa Inggeris, yang selalu dianggap sebagai satu-satunya bahasa moden di dunia ini.

Bahasa Merobah Masyarakat daripada Pengguna kepada Pencipta

Sudah pasti peluang yang terbuka sekarang ialah industri kreatif. Kita perlu beranjak daripada masyarakat pengguna kepada masyarakat pencipta. Negara Jepun telah menyediakan sejumlah 1.8 billion Yen (RM62.3 juta) untuk membangunkan industri kreatif di negaranya, manakala di Thailand, sejumlah 178 juta Baht (RM17.7 juta) diperuntukkan melalui pakej rangsangan ekonomi bagi mempromosikan industri kandungan kreatif mereka. Persoalannya, di manakah pula letaknya peranan bahasa Melayu dalam hal ini?

Hari ini apabila berbicara tentang kemajuan bangsa kita banyak mempelajari dari negara Jepun yang bangkit setelah musnah teruk akibat kemusnahan Perang Dunia Kedua. Masyarakatnya bersatu dan dengan menggunakan bahasa ibunda, yang disulami dengan keazaman yang kental dan nilai budaya yang tinggi, mereka bangkit menjadi masyarakat pencipta yang berjaya membina negara moden Jepun seperti yang kita lihat pada hari ini.

Mengikis Sikap Rendah Diri dan Apologetik

Kita harus yakin dan terus yakin dengan kewibawaan bahasa Melayu memacu pembinaan negara bangsa. Kita tidak harus bersikap kerdil diri, sebaliknya menanam sikap megah akan bahasa apabila berkomunikasi dalam bahasa Melayu, dan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Pendeta Za’ba dalam bukunya, Perangai Bergantung pada Diri Sendiri, menukilkan bahawa kejayaan bangsa bergantung kepada individunya. Umat yang kuat dan maju lahir daripada individu yang kuat dan maju. Sesuatu umat atau bangsa itu dibentuk oleh individunya. Maka itu, kekuatan dan kemajuan sesuatu bangsa berdasarkan kemajuan individu yang membentuknya. Oleh itu, untuk membangunkan umat dan bangsa yang maju, individunya harus maju terlebih dahulu.

Kita perlu melahirkan generasi pemimpin yang baik, adil, berani, berintegriti dan beriltizam dalam meneruskan kelangsungan perjuangan membina negara bangsa dan mendepani cabaran yang mendatang.

Memacu dan Menakhodai Masa Depan

Bahasa Melayu ialah identiti kebangsaan bagi negara dan bangsa yang merdeka. Justeru, tidak ada sebab yang munasabah untuk kita tidak menghormati, mentaati dan menerima bahasa itu dengan sejujur-jujurnya sebagai lambang maruah dan harga diri kita sebagai bangsa yang sudah merdeka. Kepada pemerintah kita berharap agar hendaknya:

    Menegakkan syarat dengan undang,

    Menegakkan adat yang dipegang,

    Menegakkan amanah yang disandang,

    Menegakkan hukum yang ditimbang,

    Menegakkan pusaka yang berbilang,

    Menegakkan janji yang ditimang.

Hendaknya kita sendiri, terutamanya dalam kalangan orang Melayu, baik para pembesarnya mahupun masyarakat umumnya dilihat sebagai pengguna sejati, lantas menjadi suri teladan dalam perjuangan bersama mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan bahasa rasmi negara ini.

Kita tidak harus dilihat sebagai kalangan yang memandang rendah dan remeh akan usaha pemodenan, pemajuan, pengilmuan, dan pelestarian bahasa Melayu dalam pelbagai domain ilmu serta kehidupan di negara ini, malah ke seantero rantau dan dunia.

Penguatkuasaan Bahasa Kebangsaan

Antara tujuan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti yang dinyatakan pada Seksyen 5 (2) Akta DBP/Akta 213 (Pindaan dan Peluasan 1995) termasuklah menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan meluas berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.

Maksud “untuk menggalakkan” termasuklah memberikan arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan.

Penguatkuasaan bahasa kebangsaan dilaksanakan oleh DBP menggunakan peruntukan akta yang sedia ada melalui peningkatan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa yang mempunyai kuasa penguatkuasaan dalam bidang yang berkenaan, seperti pihak berkuasa tempatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan lain-lain.

Selain itu, bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul di tempat awam, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertarikh 24 Februari 2015, telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan di seluruh Malaysia mematuhi peraturan dan arahan Undang-undang Kecil Iklan tentang penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan papan iklan di tempat awam dan penamaan nama khas.

Dalam hal ini, semua pengiklan dan agensi pengiklanan diwajibkan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada DBP sebelum mereka diberi lesen oleh PBT untuk memaparkan atau menyiarkan iklan di tempat awam.

Berdasarkan data yang diperoleh dalam tempoh lima tahun, jumlah kelulusan pengesahan iklan menunjukkan trend peningkatan yang menggambarkan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan Undang-undang Kecil Iklan, serta nasihat daripada DBP. Oleh yang demikian, sewajarnya iklan yang dipaparkan atau disiarkan di tempat awam baik dan betul serta selari dengan kelulusan DBP.

Tahun Pengesahan Iklan
2023 122,452 iklan
2022 115,636 iklan
2021 90,630 iklan
2020 95,172 iklan
2019 98,215 iklan

Walaupun begitu, DBP tetap melaksanakan pemantauan menyeluruh dari semasa ke semasa dengan tujuan merakam, mengawasi, mengenal pasti, menegur dan memberikan ulasan serta mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan bahasa dengan kadar yang segera.

Berdasarkan data yang diperoleh dalam tempoh lima tahun, jumlah aduan yang diterima dan surat teguran yang dikeluarkan jelas menampakkan situasi yang membimbangkan.

Tahun Aduan dan Surat Teguran
2023 47
2022 15
2021 12
2020 42
2019 31

Laporan media sosial atau isu yang ditularkan dari hari ke hari jelas memberikan isyarat bahawa pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul oleh DBP tidak berlaku. Masih banyak lagi papan iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan atau menggunakan bahasa asing sepenuhnya atau bercampur atau tidak mengutamakan bahasa Melayu dari segi saiz, kedudukan dan warna huruf.

Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan berhemah dan berkesan, kedaulatan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi umum dan bahasa rasmi mengikut Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan akan terancam.

DBP juga melaksanakan program pemartabatan bahasa kebangsaan sektor awam dan swasta, iaitu Audit Bahasa Melayu dan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan di Sektor Awam, Swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 “Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam”, Perkara 7 pula menyatakan bahawa semua pegawai awam perlu menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul dalam semua urusan rasmi sama ada secara bertulis atau lisan.

Program Audit Bahasa dilaksanakan untuk menilai tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi yang melibatkan dalam dan luar negara selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Versi 1.0 (2022), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam.

Pegawai juga hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan bahasa kebangsaan yang baik dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa serta menghayati aspirasi penggunaannya semasa berkomunikasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Berdasarkan Pelaksanaan Audit Bahasa Melayu dan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan di Sektor Awam, Swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang bermula dari tahun 2013 hingga tahun 2023, dapatlah dirumuskan bahawa:

  1. Penggunaan bahasa lain sepenuhnya ditemui dalam dokumen rasmi seperti dokumen perjanjian, nota pembentangan, dokumen edaran serta paparan dan peragaan.
  2. Penggunaan bahasa bercampur banyak ditemui dalam dokumen edaran, dokumen perjanjian serta paparan dan peragaan.
  3. Aspek kesalahan yang paling banyak ditemui dari segi mutu penggunaan bahasa Melayu ialah kosa kata dan binaan ayat.

Keputusan Audit Bahasa Melayu (yang mencapai skala 5 bagi tahap dan mutu) adalah seperti yang berikut:

  1. Bagi kategori Kementerian – Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Wilayah Persekutuan.
  2. Bagi kategori Agensi/Jabatan/Badan Berkanun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Biokeselamatan, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Majlis Sukan Negara.
  3. Bagi kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan – Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Keputusan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan (yang memperoleh 5 bintang) adalah seperti yang berikut:

  1. Bagi kategori Dewan Bandar Raya/Majlis Bandar Raya/PBT Ibu Negeri (daripada 18 Dewan Bandar Raya), hanya Majlis Bandaraya Shah Alam yang memperoleh keputusan 5 bintang.
  2. Bagi kategori Majlis Perbandaran (daripada 39 Majlis Perbandaran), hanya Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang memperoleh keputusan 5 bintang.
  3. Bagi kategori Majlis Daerah (daripada 96 Majlis Daerah), hanya 2 Majlis Daerah sahaja yang memperoleh keputusan 5 bintang, iaitu Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Kuala Langat.

Bagi meningkatkan nilai ekonomi dan komersial bahasa Melayu di dalam negara, mahu tidak mahu bahasa Melayu perlu menjadi “pemain utama” dalam bidang perbankan dan kewangan di dalam negara.

Sehubungan dengan itu,  DBP menjalinkan kerjasama mantap dengan pihak Bank Negara Malaysia bagi menetapkan standard penarafan bahasa Melayu di sektor Industri Perkhidmatan Kewangan.

Keputusan pelaksanaan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan (yang memperoleh 5 bintang) adalah seperti yang berikut:

  1. Bagi kategori Bank Perdagangan (daripada lapan buah Bank Perdagangan), tiada bank yang mendapat keputusan 5 bintang.
  2. Bagi kategori Bank Islam (daripada 10 Bank Islam), hanya dua bank sahaja yang memperoleh keputusan 5 bintang, iaitu Affin Islamic Bank dan Public Islamic Bank.
  3. Bagi kategori Bank Pembangunan (daripada empat buah Bank Pembangunan), hanya Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad yang memperoleh keputusan 5 bintang.

Seterusnya, DBP juga melaksanakan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Bandar Utama di Malaysia seperti jadual yang berikut:

BIL. TEMPAT AWAM TAHUN MULA TAHUN SELESAI
1. Kuching, Sarawak 2019 2020
2. Kota Kinabalu, Sabah 2020 2023
3. Wilayah Persekutuan    Kuala Lumpur 2021 2023
4. Shah Alam, Selangor 2021 2023
5. Kuantan, Pahang 2022 2023
6. Kuala Terengganu, Terengganu 2022 2023

*Kuching terdiri daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan.

1. Skop Kajian:

Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Bandar Utama di Malaysia melalui domain:

i. Papan Tanda Premis Perniagaan

ii. Kain Rentang

iii. Gegantung

* Kajian awal Kuching, Sarawak menggabungkan domain Kain Rentang dan Gegantung.

2. Sikap Masyarakat terhadap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Bandar Utama di Malaysia melalui domain:

i. Penguatkuasaan

ii. Kesetiaan Bahasa

iii. Kebanggaan Bahasa

iv. Norma Bahasa

v. Iltizam

Berdasarkan kajian, tahap penggunaan bahasa kebangsaan di Kuching, Kota Kinabalu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Shah Alam, Kuantan dan Kuala Terengganu tidak memuaskan.

DAPATAN KAJIAN TAHAP PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN

DI TEMPAT AWAM DI BANDAR UTAMA DI MALAYSIA

 

BIL.

 

NEGERI

DOMAIN  

DAPATAN

PAPAN TANDA PREMIS PERNIAGAAN KAIN RENTANG GEGANTUNG
1. SARAWAK (DBKU)

SARAWAK (MBKS)

39.7%

16%

56.5%

30.7%

Tidak Memuaskan

Tidak Memuaskan

2. KOTA KINABALU, SABAH 28.4% 34.3% 55.8% Tidak Memuaskan
3. WP KUALA LUMPUR 27% 32% 29% Tidak Memuaskan
4. SHAH ALAM, SELANGOR 38.5% 61.1% 64% Tidak Memuaskan
5. KUANTAN, PAHANG 38.5% 71.1% 72.9% Tidak Memuaskan
6. KUALA TERENGGANU, TERENGGANU

 

55% 77% 91% Tidak Memuaskan

Masyarakat di Kuching, Kota Kinabalu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Shah Alam, Kuantan dan Kuala Terengganu sangat positif dan mempunyai iltizam dalam menyokong penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

DAPATAN KAJIAN SIKAP MASYARAKAT TERHADAP PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN

DI TEMPAT AWAM DI BANDAR UTAMA DI MALAYSIA

 

BIL.

 

DOMAIN

NEGERI

 

KUCHING, SARAWAK KOTA KINABALU, SABAH WP KUALA LUMPUR SHAH ALAM, SELANGOR KUANTAN, PAHANG KUALA TERENGANU, TERENGGANU

 

1. PENGUATKUASAAN 82% 86% 96% 94% 96% 94%
2. KESETIAAN BAHASA 85% 81% 93% 93% 96% 92%
3. KEBANGGAAN BAHASA 76% 72% 78% 82% 83% 76%
4. NORMA BAHASA 90% 84% 88% 92% 95% 94%
5. ILTIZAM 84% 86% 94% 95% 97% 96%

DBP juga telah melaksanakan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Laman Sesawang Kerajaan Negeri di Malaysia seperti jadual yang berikut:

BIL. ZON NEGERI TAHUN MULA TAHUN SELESAI
1. Sarawak Sarawak 2020 2020
Sabah Sabah 2021 2021
2. Tengah Selangor 2021 2021
3. Selatan Negeri Sembilan 2021 2021
4. Timur Pahang 2021 2021
5. Utara Kedah 2022 2023
Perlis 2022 2023
6. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya 2021 2022

*Negeri bagi setiap zon dipilih secara rawak.

 

6. Skop Kajian:

a. Tahap Penggunaan Bahasa dalam Laman Sesawang Kerajaan Negeri Sama Ada Menggunakan Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris berdasarkan domain:

i. Muka Depan Laman Utama Sesawang

ii. Visi dan Misi

iii. Piagam Pelanggan/Sejarah/Mengenai Kami/Latar Belakang

b. Mutu Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Laman Sesawang Kerajaan Negeri yang Melibatkan Sistem Ejaan, Tanda Baca dan Simbol, dan Pembentukan Kata berdasarkan domain:

i. Muka Depan Laman Utama Sesawang

ii. Pengenalan/Tentang Kami/Profil Kementerian

iii. Penerbitan/Muat Turun/Pusat Media

Dapatan kajian mendapati bahawa tahap penggunaan bahasa kebangsaan dalam laman sesawang di 34 jabatan utama kerajaan negeri di enam zon berada pada tahap sangat memuaskan (cemerlang), iaitu 85% ke atas dalam penggunaan bahasa kebangsaan dalam laman sesawang kerajaan negeri masing-masing.

Dari aspek mutu penggunaan bahasa kebangsaan dalam laman sesawang kerajaan negeri, dapatan kajian mendapati bahawa kesalahan ejaan yang ketara dalam laman sesawang kerajaan negeri Kedah, iaitu sebanyak 74%, kesalahan tanda baca dan simbol pula banyak didapati dalam laman sesawang kerajaan negeri Pahang, iaitu sebanyak 39%. Kesalahan pembentukan kata paling banyak didapati dalam laman sesawang Wilayah Persekutuan, iaitu sebanyak 40%.

 

DAPATAN KAJIAN TAHAP PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN

DALAM LAMAN SESAWANG KERAJAAN NEGERI

 

SARAWAK

BIL. JABATAN TAHAP PENGGUNAAN MUTU PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA KEBANGSAAN BAHASA INGGERIS EJAAN TANDA BACA DAN SIMBOL PEMBENTUKAN KATA
1. Jabatan Ketua Menteri 73% 27% 25.5% 12.8% 33.8%
2. Jabatan Negeri 74% 26% 4% 0.5% 9.7%
3. Pejabat Residen 80% 20% 2.8% 2.7%  9.7%
4. Kementerian Negeri 73% 27% 34.6% 41.7%  19.3%
5. Badan Berkanun Negeri 65% 35% 2.1% 7.6% 24.2%
6. Pihak Berkuasa Tempatan 88% 12% 31% 34.7% 3.3%
73.2% 20.1% 6.7%

 

SABAH

BIL. JABATAN TAHAP PENGGUNAAN MUTU PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA KEBANGSAAN BAHASA INGGERIS EJAAN TANDA BACA DAN SIMBOL PEMBENTUKAN KATA
1. Jabatan Ketua Menteri

 

95.9% 4.1% 16.5% 22.8% 20.4%
2. Kementerian Kewangan 77.15% 22.7% 18.9% 18.1% 7.1%
3. Kementerian Kerja Raya 95.1% 4.9% 40.4% 41.7% 8.8%
4. Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 95.7% 4.1% 11.5% 7.2% 26.5%
5. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan 96.9% 3.1% 6.9% 6.3% 20.4%
6 Kementerian Persekutuan 88.3% 11.7% 5.8% 3.9% 16.8%
67.4% 17.2% 15.4%

 

SELANGOR

BIL. JABATAN TAHAP PENGGUNAAN MUTU PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA KEBANGSAAN BAHASA INGGERIS EJAAN TANDA BACA DAN SIMBOL PEMBENTUKAN KATA
1. Jabatan Kerajaan Negeri Selangor 96.9% 3.1% 18.6% 13.2% 21.5%
2. Badan Berkanun Negeri

 

94.8% 5.2% 18.5% 16.6% 13.9%
3. Pejabat Daerah dan Tanah 96.4% 3.6% 18% 19.2% 26.5%
4. Pihak Berkuasa Tempatan 98.1% 1.9% 21.9% 26.3% 13%
5. Jabatan Kerajaan Persekutuan 96.7% 3.3% 18% 13.6% 19.3%
6. Anak Syarikat Kerajaan Negeri 59.3% 40.7% 5% 11.1% 5.8%
57.8% 27.4% 14.8%

 

NEGERI SEMBILAN

BIL. JABATAN TAHAP PENGGUNAAN MUTU PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA KEBANGSAAN BAHASA INGGERIS EJAAN TANDA BACA DAN SIMBOL PEMBENTUKAN KATA
1. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan

 

99.9% 0.1% 15.3% 22.1% 11.1%
2. Pejabat Daerah dan Tanah

 

99.7% 0.3% 23.6% 16.8% 16.6%
3. Jabatan Negeri

 

99.4% 0.6% 12.5% 14.3% 5.6%
4. Badan Berkanun

 

99.7% 0.3% 11.8% 18.2% 0
5. Pihak Berkuasa Tempatan 99.8% 0.2% 36.8% 28.6% 66.%7
60.3% 32.2% 7.5%

 

PAHANG

BIL. JABATAN TAHAP PENGGUNAAN MUTU PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA KEBANGSAAN BAHASA INGGERIS EJAAN TANDA BACA DAN SIMBOL PEMBENTUKAN KATA
1. Jabatan Kerajaan Negeri

 

92% 8% 36.5% 20.8% 35.4%
2. Pejabat Daerah dan Tanah

 

95% 5% 31.2% 40.5% 26.8%
3. Pihak Berkuasa Tempatan

 

96% 4% 32.3% 38.7% 37.8%
49% 39% 12%

 

KEDAH

BIL. LAMAN SESAWANG TAHAP PENGGUNAAN MUTU PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA KEBANGSAAN BAHASA INGGERIS EJAAN TANDA BACA DAN SIMBOL PEMBENTUKAN KATA
1. Jabatan Negeri

 

87.1% 12.9% 12.6% 39.9% 20.7%
2. Pihak Berkuasa Tempatan

 

97.9% 2.1% 29.2% 14.2% 20%
3. Badan Berkanun Negeri Kedah

 

88% 12% 13.2% 3.4% 17.3%
4. Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Kedah

 

94% 6% 38.2% 5.1% 35.5%
5. Pentadbiran Agama Negeri Kedah 97.7% 2.3% 6.8% 37.4% 6.5%
74.1% 12.6% 13.3%

 

PERLIS

BIL. LAMAN SESAWANG TAHAP PENGGUNAAN MUTU PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA KEBANGSAAN BAHASA INGGERIS EJAAN TANDA BACA DAN SIMBOL PEMBENTUKAN KATA
1. Jabatan Kerajaan Negeri

 

95.8% 4.2% 71.9% 59.1%    78.8%
2. Badan Berkanun Negeri

 

91.3% 8.7% 23.3%   28.1%   17.8%
3. Pihak Berkuasa Tempatan

 

92.7% 7.3%  4.8%   12.8%      3.4%
60.4% 24.4%          15.2%

 

WILAYAH PERSEKUTUAN

BIL. LAMAN SESAWANG TAHAP PENGGUNAAN MUTU PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA KEBANGSAAN BAHASA INGGERIS EJAAN TANDA BACA DAN SIMBOL PEMBENTUKAN KATA
1. Perbadanan Putrajaya

 

97.34% 2.66% 12.4%  6.0%  13.4%
2. Perbadanan Labuan

 

93.14% 6.86% 14.3% 13.3%  21.3%
3. Majlis Sukan Wilayah Persekutuan 95.08% 4.92%  23.6% 7.2% 0.5%
4. Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 94.9% 5.1%  26.7%  27.7%  6.7%
5. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 95.3% 4.7%  2.5%  18.1%  4.3%
6. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan 93.0% 7.0% 9.3%  4.8%  3.0%
7. Kementerian Wilayah Persekutuan 92.0% 8.0%  11.2%  22.9% 20.7%
39.5% 20.3% 40.2%

 

Pengantarabangsaan Bahasa Melayu

Dua dekad yang lalu, penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 2000 telah menyemarakkan bahasa Melayu di benua Eropah, Oceania, Asia dan Amerika melalui tiga teras, iaitu pembinaan, pengembangan dan penyelidikan. Dengan kemudahan perhubungan teknologi masa ini, MABM ini akan diberi nafas baharu.

Demikian juga dengan acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur yang akan dihidupkan semula. Puisi merupakan karya kreatif kesusasteraan yang tinggi nilainya dengan pelbagai perasaan, jiwa dan wadah meluahkan sesuatu sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Puisi ini tentulah tercipta kesan daripada kepelbagaian ideologi, perkembangan politik, latar belakang agama, kelompok masyarakat yang berbilang dan pelbagai lagi yang mempengaruhi penghasilannya.

Untuk merealisasikan hasrat ini, DBP akan berkolaborasi dengan Kementerian Luar Negara (KLN), khususnya dalam merealisasikan gagasan “diplomasi budaya” perlu dijelmakan melalui program silang budaya pengkaryaan tempatan ke pentas jagat.

Kerjasama secara bersinergi merupakan “strategi ampuh” dalam usaha mencapai matlamat yang ditetapkan. Strategi ini juga perlu diterapkan dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Saranan dan Cadangan

DBP menyarankan agar PBT melaksanakan perkara seperti yang berikut dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan:

  1. Komitmen dan kesungguhan ketua agensidalam menguatkuasakan peraturan penggunaan bahasa Melayu dan mengetatkan pemakaian pekeliling, dasar, undang-undang kecil dan garis panduan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan dan paparan awam, media massa dan lain-lain.
  2. Melaksanakan penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan secara khusus dan berkala. Tindakan tersebut boleh dilaksanakan bersama-sama proses pengenaan kompaun dan kerja-kerja pemutihan bersama-sama PBT dan agensi lain yang berkaitan.
  3. Memantau penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam secara berterusan.
  4. Menggalakkan orang awam membuat pemantauan sukarela dan melaporkan ketidakpatuhan dan kesilapan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam kepada PBT untuk tindakan lanjut.
  5. Melantik pegawai yang khusus dalam mengendalikan hal ehwal yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan.

Seterusnya, bagi kerajaan negeri, DBP menyarankan agar pihak kerajaan negeri perlu meningkatkan usaha bagi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan kakitangan terutamanya mereka yang bertanggungjawab untuk menyediakan kandungan dalam laman sesawang rasmi tersebut.

Usaha memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan perlu diperluas di seluruh jabatan dan agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Kerajaan negeri boleh menganjurkan bengkel pemantapan bahasa dalam kalangan kakitangan agar penggunaan bahasa kebangsaan lebih baik dari aspek tatabahasa.

Peranan, Harapan dan Sokongan

Bagi memantapkan taraf dan peranan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam, undang-undang perlu dipertegas agar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi digunakan dengan baik dan bermutu dalam kalangan penjawat awam dan dalam penyediaan dokumen rasmi sama ada pada peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau pihak berkuasa awam.

Sokongan dan gandingan berterusan pemain industri khususnya sektor swasta seperti dalam media penyiaran, pengiklanan, kewangan dan lain-lain dalam usaha peluasan dan peningkatan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan sopan serta santun bagi penyampaian maklumat yang berkesan. Dalam penyampaian maklumat, bahasa Melayu harus diutamakan sekiranya perlu menggunakan dwibahasa.

DBP menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi membantu penggunaan bahasa Melayu yang bermutu seperti pelbagai kursus yang dikendalikan oleh Akademi DBP, perkhidmatan nasihat bahasa dan sastera, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan DBP juga mempunyai pelbagai buku yang boleh dijadikan rujukan dan panduan.

Dewan Bahasa dan Pustaka akan bersama-sama rakyat Malaysia untuk terus mendaulatkan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sesungguhnya, ikrar Rukun Negara yang kita fahami sejak azali lagi, iaitu “Kedaulatan Undang-undang” haruslah dijulang tinggi.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama khususnya dalam kalangan ilmuwan, pakar bahasa, organisasi bahasa, badan penerbitan, universiti awam dan swasta bagi memastikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan menjadikan bahasa Melayu di mercu kegemilangan.

Sehubungan dengan itu, semua pihak tanpa mengira latar belakang, agama, kaum mahupun kabilah politik diseru untuk menyayangi bahasa kebangsaan dengan senantiasa memelihara, melindungi, dan mempertahankan status quo bahasa kebangsaan negara ini.

Sasterawan Negara, Noordin Hassan dalam karyanya, “Sirih Bertepuk Pinang Menari” menukilkan bahawa “Kalau kita tak tahu menari, kita belajar sekarang; kalau tak tahu menyanyi, kita carikan guru; kalau tak tahu bersilat, kita menuntut. Berhadapan dengan apa-apa saja, jangan sekali-kali lari dan menyerah kalah. Nanti rakyat dan anak cucu kita berkata: Hilang sepuh tinggal senam, rupa-rupanya emas tak baik”.

Kita telah menyaksikan sejarah yang panjang, bagaimana bangsa ini membina kegemilangan tamadunnya dahulu, kemudian dirobek-robek oleh penjajah. Kita bangkit semula membina kekuatan dan terus melangkah meneroka masa muka yang lebih cemerlang. Oleh itu, marilah menginsafi perjuangan ini dengan penuh rasa keikhlasan agar nikmat kesejahteraan yang kita miliki diberkati dan diredai oleh-Nya.

Di sini bumi dipijak, di sini langit harus kita junjung. Bahasa Jiwa Bangsa.

************************************************************************************

Artikel ini disesuaikan daripada program Wacana Penegasan Bahasa Kebangsaan Bil. 1/2024 yang bertajuk “Bahasa Kebangsaan Tanggungjawab Kita”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.