29 Februari 2024, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih belum cukup kuat dan kukuh selain pemartabatannnya sebagai bahasa kebangsaan negara kita masih banyak cabarannya.

Demikian antara inti pati ceramah yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam.

Dengan tajuk “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan: Umpama Gantung Tidak Bertali”, program ini turut bersiaran secara langsung melalui Rancangan DBP di Sana Sini: Ceramah Umum Umum JKTBM Bil. 1/2024 pada pagi tadi di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

Menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam, kedudukan bahasa Melayu di negara ini pada masa ini ibarat gantung tak bertali.

Ujar beliau,

Sebenarnya kedudukan bahasa Melayu telah terjamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 tetapi hingga kini kedudukan bahasa Melayu masih dipersoalkan oleh pihak tertentu.

Beliau turut menyenaraikan 20 cabaran yang perlu ditempuh oleh bahasa Melayu walaupun hakikatnya status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan cukup  jelas di Malaysia.

Tambah beliau, cabaran yang utama ialah dari segi penguatkuasaan undang-undang sedia ada, iaitu Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang telah digubal untuk mengukuhkan lagi kedudukannya.

Pihak-pihak yang berkenaan perlu memastikan penguatkuasaan akta tersebut agar masyarakat lebih menghormati dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jika ada individu yang melanggarnya boleh ditangkap di bawah akta hasutan.

Selain itu, menurut beliau, mesyuarat di agensi kerajaan terutamanya pada peringkat tertinggi selalu menggunakan bahasa Inggeris walaupun tidak sepenuhnya tetapi tetap melanggar peraturan kerana bahasa Melayu perlu digunakan dalam setiap urusan rasmi kerajaan.

Jelas beliau, antara cabaran lain termasuklah dari skop Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang hanya mengandungi 11 Seksyen, iaitu tidak mencakupi semua sektor dan tidak memperuntukkan penalti atau hukuman bagi sebarang perlanggaran.

Beliau berkata kerancuan bahasa yang semakin banyak berlaku pada masa ini dalam kalangan masyarakat juga antara cabaran besar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu daripada semua pihak perlu berterusan kerana kedudukannya kini ibarat gantung tak bertali. Usaha ini penting agar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat diangkat sepenuhnya”, tegas beliau.

Terdahulu, dalam program yang sama, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, iaitu YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin yang mewakili Ketua Pengarah DBP,  iaitu YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya berkata, pemartabatan bahasa kebangsaan menerusi undang-undang adalah satu langkah penting dalam memastikan penggunaanya selaras dan meluas dalam pelbagai aspek kehidupan.

Tambah beliau,

Program ceramah umum ini bertujuan menyebarluaskan maklumat tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab JKTBM, memaklumkan khalayak umum tentang kepakaran serta sumbangan anggota JKTBM dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, serta memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang isu dan perkembangan semasa bahasa Melayu.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin semasa berucap mewakili Ketua Pengarah DBP.

Program yang berlangsung selama lebih kurang tiga jam ini anjuran DBP melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, dengan kerjasama IPG Kampus Bahasa Melayu dan DBP Wilayah Tengah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.