Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAlkisah, banyak isu dan polemik tentang nilai ekonomi bahasa Melayu (BM) masih dibahaskan, kendati permasalahan itu sudah dibincangkan sejak sekian lama, baik dalam wacana ilmiah mahupun dalam pelbagai seminar. Mantan Perdana Menteri Malaysia dan tokoh-tokoh terkenal dalam pelbagai bidang pun pernah mencetuskan peri perlunya nilai ekonomi BM dipertingkatkan.
Hatta, banyak orang berbicara lantang tentang nilai ekonomi BM tanpa mengerti konsep, prinsip dan makna istilah nilai ekonomi, lantas menyarankan agar pihak-pihak yang berkenaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mempergiat usaha dan memperbanyak program ke arah mempertingkatkan nilai ekonomi BM – dek kerana bahasa itu dilihat sebagai bahasa yang kurang atau tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding dengan bahasa Inggeris (BI), misalnya.
Hujah mereka lagi, sekiranya BM mempunyai nilai ekonomi, bahasa itu akan lebih berwibawa, sekali gus mendorong banyak orang, khususnya dalam kalangan profesional, sarjana, teknokrat serta korporat akan menghormati bahasa itu, lantas merangsang mereka untuk mengutamakan penggunaan BM berbanding dengan bahasa lain dalam pelbagai urusan, kajian, wacana dan seumpamanya yang melibatkan mereka. Benar atau tidak tanggapan mereka itu, harus dibuktikan dengan kajian berkaitan dengan permasalahan tersebut.
Tatkala membahaskan nilai ekonomi BM, penulis berpandangan, prakarsa atau ikhtiar awal yang perlu dilakukan oleh seseorang itu adalah memerihalkan istilah nilai ekonomi, memahami makna istilah itu dan mengaitkannya nilai ekonomi BM. Memandangkan istilah nilai ekonomi itu dipinjamkan daripada bidang ekonomi, justeru sangat dituntut untuk mentakrifkan istilah itu dari perspektif ekonomi, sebelum mengaplikasikan penggunaannya dalam membahaskan nilai ekonomi BM.
Barang diingat, nilai ekonomi ialah jargon yang digunakan oleh ahli ekonomi, dan ahli atau individu dalam bidang lain menggunakan istilah itu sesuai dengan objektif serta matlamat yang ingin dicapai oleh mereka.
Ada yang memahami makna istilah itu, dan ada yang sekadar menyatakannya secara eksplisit, lantas membahaskan permasalahan nilai ekonomi BM dengan mengemukakan hujah dan kewajaran yang lemah tentang peri perlunya nilai ekonomi BM demi menjamin kerelevanan dan kelestarian bahasa itu dalam pembinaan peradaban bangsa Malaysia.
Seyogianya, sebelum membahaskan perihal nilai ekonomi BM dengan lebih lanjut, molek kiranya dilihat erti kata nilai, dan nilai ekonomi. Kamus Dewan Perdana (2020:1536) memerikan enam erti kata nilai yang mencakupi:
Daripada enam erti kata nilai tersebut, erti nombor (3) dan (4) lebih dekat konsepnya dengan mauduk pembahasan mengenai nilai ekonomi BM.
Kamus Dewan Perdana juga memerikan erti rangkai kata nilai ekonomi sebagai nilai yang berharga dari aspek ekonomi kerana boleh didagangkan dan menjana pendapatan, misalnya tanaman, bahasa dan hasil kraftangan.
Contoh penggunaan rangkai kata tersebut dalam ayat yang berkaitan dengan nilai ekonomi BM ialah: Jika bahasa Melayu boleh diberi nilai ekonomi yang tinggi, pasti orang akan tertarik untuk mempelajarinya (Kamus Dewan Perdana, 2020:1536).
Sementara itu, beberapa kata kunci yang harus diberi perhatian apabila berbicara tentang nilai ekonomi, tidak terkecuali nilai ekonomi BM ialah boleh didagangkan dan boleh menjanakan pendapatan.
Tesisnya, jika BM tidak boleh didagangkan dan tidak boleh menjanakan pendapatan, maka bahasa itu tidak ada nilai ekonominya. Pendapat ini masih boleh dibahaskan, dan menurut hemat penulis, persoalan yang juga penting untuk dibincangkan adalah berhubung kait dengan hendak meninggikan darjat, mutu dan kepentingan BM sesuai dengan makna (iii) nilai ekonomi seperti makna denotasi yang diperikan Kamus Dewan Perdana.
Konsep dan makna nilai ekonomi dari perspektif ekonomi serta menurut ahli ekonomi juga harus diambil kira apabila membahaskan nilai ekonomi BM – nilai ekonomi merupakan perkiraan keuntungan sesuatu aset yang kemungkinan dihasilkan pada masa hadapan.
Di samping itu, nilai ekonomi juga boleh diertikan sebagai ukuran manfaat sesuatu produk mahupun perkhidmatan pada agen ekonomi. Itulah ukurannya, nilai ekonomi itu mengacu pada nominal tertingi yang mampu atau sanggup dibayar oleh pengguna bagi produk atau perkhidmatan tertentu, baik dalam pasaran bebas mahupun pasaran sosialis.
Sesungguhnya, nilai ekonomi didasarkan pada keutamaan individu (individual preference). Dalam konteks bahasa, nilai ekonomi sangat penting untuk dipertimbangkan semasa membuat pilihan, misalnya sama ada hendak menggunakan BM atau BI bagi penghujahan di mahkamah.
Contoh lain yang berkaitan dengan keutamaan individu adalah apabila seseorang itu hendak membeli novel yang ditulis dalam BM – sudah pasti nilai ekonomi novel itu akan diambil kira olehnya seperti ketokohan penulisnya, mutu karyanya, keindahan bahasanya, pengolahan ceritanya, dan sekali gus nilai bagi wang atau value for money apabila membeli novel tersebut.
Dengan kata lain, apabila pembeli berasa berbaloi membelanjakan sekian banyak wang untuk membeli novel itu, maka itulah nilai ekonomi novel tersebut yang mendorongnya untuk mendapatkan novel itu. Harga sesebuah novel bukanlah pendorong untuk seseorang membeli novel dalam BM, tetapi nilai ekonomi yang ada pada novel itu.
Syahadan, apakah nilai ekonomi, tentunya nilai ekonomi yang tinggi, yang harus ada pada BM ataupun nilai ekonomi sedia ada ditingkatkan agar sesiapa sahaja terdorong untuk mempelajari dan mengutamakan penggunaan bahasa itu tanpa ragu-ragu? Dengan berdasarkan takrifan nilai ekonomi Kamus Dewan Perdana, maka tiga nilai yang wajar dimiliki oleh BM ialah nilai ekonomi dari segi darjat, mutu dan kepentingan bahasa itu.
Apakah yang dimaksudkan dengan darjat BM? Mungkin ada yang beranggap bahawa apabila BM sudah termaktub sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, maka itulah buktinya darjat BM.
Bagi penulis, darjat sesuatu bahasa itu terkait juga dengan tingkatan dan taraf kedudukan atau martabat sesuatu bahasa itu yang mendorong seseorang itu untuk membanggakannya, mempelajarinya, menggunakannya, menggemarinya, dan mengutamakannya.
Secara analoginya, darjat BI tidak sama dengan BM – darjat BI itu, khususnya dari sudut pandang bangsa yang pernah dijajah oleh Inggeris serta yang masih tertawan mindanya ialah bahasa antarabangsa, bahasa pencipta, bahasa ekonomi, bahasa seni, bahasa diplomasi, dan bahasa yang menguasai dunia tanpa sempadan ini dalam segala segi.
Ironinya, BM, kendati sudah dibina dan dimajukan sebagai bahasa rasmi, termasuk sebagai bahasa pengantar Sistem Pendidikan Kebangsaan, dan bahasa rasmi perbahasan di Parlimen, masih juga diragui darjatnya.
Justeru, darjat BM atau kewibawaan bahasa itu mesti diperkukuh dan dipertingkatkan, Pertama, dengan memantapkan penggunaan BM sebagai bahasa komunikasi rasmi di Parlimen dan Dewan Negara, baik secara lisan mahupun tulisan. Para Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang berbahas dan berhujah di kedua-dua institusi yang mulia itu hendaknya memperlihatkan kefasihan dan kemahiran berbahasa Melayu yang tinggi nilainya – satu standard bahasa yang baku, baik, persis dan indah, sekali gus menyerlahkkan darjat BM yang berwibawa.
Kedua, darjat BM itu dapat dipertahankan apabila pihak pemerintah tidak sama sekali membenarkan kedudukan absah BM sebagai bahasa pengantar dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini diganggu-gugat oleh pelbagai pihak yang dekaden patriotismenya melalui pelbagai helah seperti sebelum ini, misalnya dengan melaksanakan dasar Pengajaran – Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan cubaan untuk mewajarkan pelaksanaan Program Dwibahasa atau Dual Language Program (DLP). Kedua-dua program tersebut cukup jelas akan menjejaskan darjat BM. Nilai BM, termasuklah nilai ekonomi bahasa itu turut dipengaruhi oleh mutu atau kualitinya. Pada hemat penulis, dari segi mutu, BM sudah mencapai mutu yang sangat tinggi, dan sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara, khususnya sebagai bahasa pengantar pendidikan di negara ini.
Kewujudan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga misalnya, ialah suatu penanda aras bagi mengabsahkan mutu atau ragam standard BM – suatu tatabahasa rujukan atau pegangan yang baku. Mutu penggunaan BM di tempat-tempat awam misalnya, haruslah diberi perhatian yang serius oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
Begitu juga dengan mutu penggunaan BM dalam media massa dan media elektronik, terutamanya dalam penyiaran dan program di pelbagai stesen televisyen dan radio di seluruh negara seharusnya mengambil berat tentang mutu BM masing-masing – ini disebabkan media-media sangat berpengaruh dalam membentuk sikap dan pandangan masyarakat terhadap darjat, mutu dan kepentingan BM.
Nilai BM juga terkait dengan kepentingan bahasa itu – penting sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa penyatuan, bahasa pendidikan, bahasa ilmu, bahasa persuratan dan sebagainya. Yang paling utama, untuk memperkukuh nilai BM, kepentingan bahasa itu sebagai bahasa rasmi negara tidak harus dikompromikan, dan segala bentuk tindakan, gerakan serta muslihat yang didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang boleh menjejaskan kepentingan BM sebagai bahasa rasmi khususnya, hendaklah dibendung dan dibanteras dengan setegas-tegasnya.
Selanjutnya, perihal nilai ekonomi BM juga perlu diperkatakan yang mencakupi dua aspek utama mengikut makna denotasi Kamus Dewan Perdana dan takrifan dalam bidang ekonomi seperti yang telah disentuh di atas – perihal nilai ekonomi itu terkait dengan nilai sesuatu benda dan produk yang boleh didagangkan dan boleh menjanakan pendapatan (Kamus Dewan Perdana, 2020:1536).
Paradoksnya, jika sesuatu benda atau produk itu tidak boleh didagangkan dan menjanakan pendapatan, maka benda atau produk itu tidak ada nilai ekonomi, dan sekiranya ada pun nilai ekonominya, nilainya tidak tinggi ataupun rendah.
Tegasnya, nilai ekonomi merupakan perkiraan keuntungan atau manfaat sesuatu produk atau perkhidmatan yang kemungkinan dihasilkan pada masa hadapan. Sehubungan dengan itu, nilai ekonomi boleh juga diertikan sebagai manfaat sesuatu produk atau perkhidmatan itu.
Justeru, sejauh yang berkaitan dengan nilai ekonomi BM, yang harus direncanakan dan dilaksanakan ialah membina dan membangunkan BM sebagai produk yang boleh didagangkan dan yang boleh menjanakan pendapatan, sekali gus menyediakan pelbagai perkhidmatan atau program yang boleh menyerlahkan nilai ekonomi BM.
Membina dan membangunkan BM bernilai ekonomi, yakni menjadikannya boleh didagangkan dan boleh menjanakan pendapatan bererti mentransformasikan BM sebagai produk seperti yang diamalkan dalam bauran pemasaran atau marketing mix. Produk, dan dalam kes badan perancang dan pengembang BM ialah perkhidmatan yang disediakan oleh badan atau institusi tersebut.
Produk dan perkhidmatan yang disediakan mempunyai peranan dominan dalam menentukan bentuk pemboleh ubah (variables) pemasaran yang lain. Badan atau institusi perancang dan pengembang BM seiringan dengan organisasi lain yang berkaitan adalah menyediakan perkhidmatan, dan bukannya produk fizikal.
Menurut Bateson (1989), ciri-ciri perkhidmatan ialah tidak ketara (intangibility), tidak dapat dipisahkan daripada pengeluaran dan penggunaan (inseparability of production and comsumption), kepelbagaian (heterogeneity), dan tidak tahan lama (perishability).
Walhasilnya, nilai ekonomi produk (iaitu BM) yang ditransformasikan dan perkhidmatan yang disediakan hendaklah mencapai kualiti yang memuaskan, sekali gus memenuhi kehendak pengguna serta pemegang kepentingan BM.
Maka itu, para perancang, pembina dan pengembang yang ingin mentransformasikan BM sebagai produk dan perkhidmatan bernilai ekonomi yang tinggi hendaklah mengutamakan mutu perkhidmatan yang disediakan.
Dalam buku Creative Arts Marketing (Butterworth Heinemann, 2001:113), Elizabeth Hill et al menggariskan tujuh penentu mutu perkhidmatan, yakni kebertanggungjawaban (reliability), responsif atau tindak balas (responsiveness), kecekapan (competence), akses (access), ihsan (courtesy), komunikasi (communication) dan kekebolehpercayaan (credibility).
Kebertanggungjawaban bermaksud memastikan segala perkhidmatan yang disediakan dan ditawarkan itu betul pada kali pertama, dan menepati janji atau ikrar seperti yang tertera dalam Piagam Pelanggan atau Pernyataan Kualiti yang telah ditetapkan.
Antara contoh kebertanggungjawaban dalam penyediaan dan penawaran perkhidmatan ialah mengenakan jumlah caj yang betul untuk sesuatu kursus, dan objektif kursus dicapai sepenuhnya. Dari segi respons atau tindak balas pula, para peserta kursus berpuas hati dengan perkhidmatan tersebut serta berasa berbaloi dengan bayaran yang telah dibuat.
Dalam konteks kecekapan pula, mereka yang hendak melaksanakan atau yang hendak mengendalikan sesuatu perkhidmatan itu mestilah memiliki kecekapan, iaitu mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam penyampaian perkhidmatan tersebut.
Harus diingat, nilai ekonomi sesuatu perkhidmatan yang disediakan dan ditawarkan itu tidak hanya bergantung pada piawaian kandungannya, tetapi juga berkait rapat dengan nilai kebolehpercayaan pengguna atau pelanggan terhadap reputasi dan imej jenama sesuatu produk serta perkhidmatan berorientasikan BM yang bernilai ekonomi yang ditawarkan.
Hatta, produk dan perkhidmatan yang berkualiti serta bernilai ekonomi tidak dapat tidak mesti mengambil kira pelanggan atau penggunanya – mereka harus dimotivasikan untuk melibatkan diri secara produktif dalam pelbagai wacana bahasa, pameran bahasa, kempen bahasa, dan sekiranya ada yuran dikenakan untuk penglibatan mereka, mereka sanggup membayarnya kerana berasa perlu untuk berbuat demikian atas kewajaran nilai ekonomi produk dan perkhidmatan yang berorientasikan BM.
Nilai ekonomi yang ada pada BM itulah yang akan mendorong pengguna BM untuk membeli, melanggan dan mengguna segala macam produk lain yang berasaskan BM seperti buku, majalah, aplikasi digital, dan sekali gus memanfaatkan pelbagai bentuk teknologi kecerdasan buatan bagi membangunkan berbagai-bagai aplikasi digital dalam BM, sesuai dengan keperluan dan kehendak pengguna BM.
Akhirulkalam, dalam membestarikan dan melestarikan usaha peningkatan nilai ekonomi BM, para perancang, pembina dan pengembang BM hendaklah berfikir, berilmu pengetahuan serta bertindak seperti orang ekonomi dan orang pemasaran. Hanya mutu yang mengenal manikam. Wallahuaklam!