Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHuruf besar ialah sebahagian daripada sisitem ortografi. Ortografi meliputi ejaan, huruf besar atau huruf kecil, tanda baca, sempadan kata dan sebagainya. Seperti yang sedia kita ketahui, huruf besar digunakan untuk memulakan ayat.
Selain itu, huruf besar berkaitan dengan penulisan kata nama khas, iaitu kata nama yang merupakan rujukan khusus bagi seseorang, sesuatu benda, peristiwa, perkara atau konsep. Ertinya, rujukan khusus ini khas untuk individu atau entiti tertentu, bukan kumpulan atau jenis yang masih bersifat umum. Sila lihat contoh yang berikut:
Umum | Umum | Kata Nama Khas |
Manusia | lelaki | Ali, En. Ali, Haji Ali, Datuk Ali |
pendidik | Cikgu Lim, Munsyi Abdullah, Ustaz Aziz, Profesor Ali, Pendeta Za’ba | |
raja | Raja Ali, Sultan Ali, Sang Sapurba | |
doktor | Dr. Ali | |
inspektor | Inspektor Ali | |
politikus | Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) |
Kata nama khas juga berkaitan dengan nama haiwan dan tumbuhan tertentu. Hal ini meliputi nama saintifk, jenama, panggilan atau gelaran dan tempat asalnya. Bagi nama saintifik, tulisan kata nama khas itu perlu dicondongkan juga. Sila lihat contoh yang berikut:
Umum | Umum | Kata Nama Khas |
Bunga | orkid | Vanna Diana |
Tumbuhan | ubi kayu | Manihot utilissima |
Buah | durian | Musang King |
Haiwan | pelanduk | Sang Kancil, Tragulus kancil |
harimau | Pak Belang, Panthera tigris, Harimau Malaya | |
kucing | Tompok, Felis catus, Kucing Siam | |
buaya | Sang Rangkak, Crocodylia, buaya Nil |
Ada kalanya haiwan dan tumbuhan khusus ditulis dengan huruf kecil. Sila lihat contoh yang berikut:
Umum | Umum | Kata Nama Khusus |
Tumbuhan | herba | kacip fatimah, kacip fatimah, rumput siti fatimah, selusuh fatimah, tongkat ali, cina maki, akar cina, bunga cina, kayu cina |
buah | durian belanda | |
Haiwan | kera | kera belanda |
Dalam herba kacip fatimah dan tongkat ali, nama herba tersebut tidak berkaitan dengan kata nama khas Fatimah dan Ali. Oleh itu, herba khusus itu dieja seluruhnya dengan huruf kecil.
Begitu juga keadaannya bagi herba cina maki atau akar cina yang tidak ada kaitan dengan orang Cina atau ciri-ciri orang Cina secara nyata. Oleh itu, tidak semua kata nama khusus (specific noun) merupakan kata nama khas (proper noun).
Penggunaan huruf besar bagi kata nama khas terdapat pada contoh-contoh yang berikut:
Perkara | Kata Nama Khas |
Malaikat | Jibrail |
Penyakit | COVID-19 |
Benda | Proton Saga, Kapal Diraja Hang Tuah, Jalur Gemilang |
Peristiwa | Sukan Komanwel, Piala Dunia, Hari Malaysia, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Pesta Kuih Bulan, Deepavali, Krismas |
Penganut agama | Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Tao, Bahai, Sikh |
Undang-undang/Perintah | Akta Kolej dan Universiti, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) |
Institusi | Universiti Malaya, Hospital Umum Kuala Lumpur, Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) |
Pertubuhan | Kesatuan Guru Sarawak, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah, Lembaga Pengarah Syarikat Mydin, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Bintang Tiga, Vietkong |
Tempat | Malaysia, Sarawak, Bahagian Samarahan, Daerah Asajaya, Ipoh, Kampung Siburan, Dataran Merdeka, Jalan P. Ramlee, Sungai Rejang, Gunung Serapi, Pantai Batu Buruk, Pulau Tioman, Selat Melaka, Tasik Cini, Taman Negara Gunung Mulu |
Aliran | aliran Mentalis, aliran Behavoris, Tatabahasa Transformasi-Generatif |
Bangunan/Binaan | Tugu Negara, Daya Bumi, Menara Berkembar Petronas, Rumah Putih |
Perkara | Rancangan Malaysia ke-lima, Wawasan 2020, Tonggak 12, Internet |
Aplikasi | FaceBook, WhatsApp, ROM, RAM, Zoom |
Subjek | Bahasa Melayu, Sejarah |
Makanan | nasi Arab, mi Hailam, mi Hong Kong, nasi goreng Pattaya, roti Benggali, nasi goreng Cina |
Kitab | Al-Quran, Hadis |
Judul buku | Kamus Dewan Perdana, Tatabahasa Dewan, Gaya Dewan |
Judul karya | Syair Perahu, Di Makam Bonda |
Judul lagu | Wawasan, Negaraku, Ibu Pertiwi |
Lambang | Sinar-X, P-ekonomi, K-ekonomi |
Planet | Bumi, Marikh, Zuhal, Utarid |
Bulan dan hari | Muharam, Ramadan, Januari, Ogos, Isnin, Jumaat |
Tuhan, dewa, nabi | Tuhan, Allah, Nabi Muhammad, Nabi Isa, Tuapekong |
Dalam kata nama nasi Arab dan mi Hailam, kata Arab dan Hailam dieja dengan huruf besar kerana kedua-dua jenis masakan ini memang berkaitan dengan orang Arab dan suku kaum Hailam.
Bagi mi Hong Kong dan nasi goreng Pattaya, masakan tersebut menampilkan ciri-ciri masakan di tempat itu. Oleh hal yang demikian, huruf besar digunakan pada pangkal kata Hong Kong dan Pattaya.
Bagi kata Melaka dan melaka, terdapat dua entri dalam Kamus Dewan Perdana (2020:1430), iaitu Melaka sebagai kata nama khas yang berpangkalkan huruf besar, dan melaka sebagai kata nama am yang seluruh katanya dieja dengan huruf kecil. Contoh katanya ialah negeri Melaka dan pokok melaka.
Ada sesetengah kata nama am yang dieja berpangkalkan huruf besar sebagai kata nama khas jika digunakan dalam konteks resmi. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia ingin mengetahui sejarah tempat itu.
1b. Antara subjek yang diambilnya termasuklah Sejarah.
2a. Ramai pengetua menghadiri kursus itu.
2b. En. Ali ialah Pengetua SMK Sri Sentosa.
Ada kalanya kata am menjadi kata nama khas yang berpangkalkan huruf besar apabila dikaitkan dengan kata nama khas. Contohnya ialah Sungai Rejang, Gunung Kinabalu, Tasik Cini, Pulau Tioman, Harimau Malaya dan Kucing Siam.
Akronim institusi di Malaysia biasanya ditulis sepenuhnya dalam huruf besar jika itulah bentuk yang didaftarkan secara rasmi. Contohnya ialah akronim INTAN, BERNAMA, PERKESO, PERHILITAN dan sebagainya.
Bagi ejaan kata Internet, ejaannya berpangkalkan huruf besar dalam bahasa Melayu, tetapi boleh berpangkalkan huruf besar atau huruf kecil bagi bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, Internet ialah sejenis internet (akronim bagi interconnected network), tetapi tidak begitu sebaliknya. Tegasnya, internet ialah rangkaian antara sistem komputer, manakala Internet ialah rangkaian antara sistem komputer pada peringkat global.
Ada kalanya penggunaan huruf besar atau huruf kecil berkaitan dengan zaman sesuatu kata nama diperkenalkan. Contohnya, akronim bahasa Inggeris yang lama seperti laser (Light Amplification by Stimulated Emission of Radiation) dan radar (Radio Detection and Ranging) dieja berpangkalkan huruf kecil, tetapi akronim baharu seperti COVID (Corona Virus Disease) dieja sepenuhnya dengan huruf besar. Oleh itu, kita turut mengeja akronim tersebut sebegitu rupa dalam bahasa Melayu.