1 Mac 2024, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kejayaan perancangan bahasa Melayu terlandas pada kejayaan pelaksanaan Dasar Bahasa yang tergubal kukuh serta menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu berperanan sebagai asas pemupukan perpaduan dan lambang pemersatuan rakyat yang terdiri daripada berbilang  kaum.

(Farid M. Onn – “Pembinaan Bahasa Melayu: Peranan Kesusasteraan”, 1993)

 

Kenyataan tersebut jelas membawa erti bahawa bahasa Melayu amat berperanan sebagai bahasa yang dapat mengekspresi ideologi nasional dalam usaha melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Golongan kanak-kanak merupakan aset penting dan tunjang aspirasi negara ke arah kesejahteraan ekonomi, politik dan sosial pada masa hadapan.

Justeru, bahasa Melayu perlu dijadikan wahana dalam pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara lebih efektif dan kreatif untuk menarik perhatian golongan kanak-kanak agar cinta akan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara ketika berkomunikasi.

Bak pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebung”, sementelahan penggunaan bahasa Melayu perlu dihayati agar ilmu yang terkandung di dalamnya dapat diterjemahkan dalam bentuk makna dan seterusnya diaplikasi dalam kehidupan nyata. Natijahnya, penggunaan bahasa Melayu yang tepat dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan aspirasi  ke arah pembangunan  modal insan untuk membentuk Malaysia MADANI.

Memetik kenyataan Tunku Abdul Rahman, “Adalah wajar sebagai satu negara membangun memerlukan satu bahasa kepunyaan sendiri”. Jika bahasa kebangsaan tidak diadakan, negara kita akan ketiadaan nyawa. Hal ini bersangkut paut dengan peranan bahasa Melayu sebagai “tiang seri” kepada pembentukan  jati diri bangsa Melayu. Justeru, bahasa Melayu dalam pendidikan kanak-kanak dapat menjadikan bahasa Melayu terus tekal dan tidak lenyap ditelan zaman. Seperti yang kita sedia maklum, sekiranya hilang bahasa Melayu di dunia, justeru lenyaplah satu bangsa.

 

Malaysia MADANI

Perkataan “madani” berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Selain itu, madani juga bermaksud masyarakat yang menjunjung tinggi nilai peradaban.

Umum mengetahui bahawa, istilah Malaysia MADANI dikemukakan  oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia kesepuluh. Malaysia MADANI memiliki ciri-cirinya yang khas serta bersifat holistik ke arah kesejahteraan ekonomi politik dan sosial negara Malaysia. Hal tersebut dapat meneguhkan kejituan erti sebenar kemajmukan budaya (multicultural), hubungan timbal balik (reciprocity) serta sikap saling memahami dan menghargai antara individu serta masyarakat.

Merujuk capaian laman web rasmi Jabatan Perdana Menteri, Malaysia MADANI merupakan sebuah kerangka visi baharu buat negara Malaysia. Di samping itu, Malaysia MADANI merupakan suatu ikhtiar nirmala yang bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa hadapan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum.

Hal menarik mengenai Malaysia MADANI ialah konsep tersebut mewakili enam rukun, yakni M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan), yang menjadi tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

 

Bahasa Melayu sebagai Teras Pembentukan Malaysia MADANI

Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan terbukti pada tahun 1981 apabila bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa pengantar bermula dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat sekolah menengah. Seterusnya, bahasa Melayu telah dijadikan sebagai  bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi sejak tahun 1983 (Farid M. Onn, 1993: 37).

Justifikasinya, penulis berpendapat bahawa sinergi yang dilaksanakan secara pintar untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam arena pendidikan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak merupakan kunci kesatupaduan pelbagai kaum ke arah pembentukan Malaysia MADANI.

Sementelahan, penguasaan bahasa Melayu dalam pendidikan kanak-kanak dapat menjanakan kognitif kanak-kanak, yakni mendorong kemahiran berfikir dan kemahiran penggunaan perkataan untuk menyampaikan mesej secara berkesan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.

Lain daripada itu, bahasa Melayu sarat dengan nilai tambah yang dapat membentuk jati diri, khususnya dalam membentuk intrapersonal dan interpersonal kanak-kanak. Misalnya, bahasa Melayu sebagai aktiviti mendengar, bertutur dan proses penyampaian nilai dalam pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, bahasa Melayu mempunyai keistimewaan yang membawa makna tertentu untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Bahasa Melayu turut berperanan sebagai pembentukan hubungan harmoni, jalinan erat dalam perhubungan antara pelbagai kaum dan ranah komunikasi sosial.

Misalnya, sekiranya kanak-kanak dididik menerusi penggunaan metafora, analogi, kiasan dan hiperbola, hal tersebut dapat menjanakan kognitif kanak-kanak untuk menjelaskan serta merungkaikannya sehingga dapat menimbulkan tindak balas kanak-kanak menerusi amanat yang disampaikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Tamsilnya, peribahasa Melayu, yakni “Jangan jadi seperti anjing dengan kucing” dapat mendidik kanak-kanak agar mengamalkan kehidupan sejahtera dan harmoni. Hal tersebut secara tidak langsung dapat menyuntik rukun MADANI dalam diri kanak-kanak agar menjadi rakyat Malaysia yang hidup dalam kesejahteraan dan mengamalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang pelbagai kaum.

Namun demikian, para pendidik perlu menyesuaikan kaedah aktiviti pengajaran bahasa Melayu yang relevan dengan tahap perkembangan kognitif kanak-kanak agar mesej yang ingin disalurkan dapat menghasilkan matlamat. Hal tersebut sebagaimana menurut Ruzanna & Vijayaletchumy dalam “Daya kreativiti kanak-kanak: Satu kajian kes” (2014:437) menyatakan Piaget mendapati bahawa seseorang kanak-kanak mempelajari sesuatu mengenai dunia melalui tindakan dan perilaku dan kemudiannya melalui bahasa.

Menurut teori tersebut, terdapat empat tahap perkembangan mental kanak-kanak, iaitu tahap sensorimotor (saat kelahiran hingga dua tahun), Pre-Operational (2-7 tahun), Concrete Operational (7-11 tahun) dan Formal Operational (11-15 tahun).

Justeru, pada perkembangan mental kanak-kanak pada tahap Concrete Operational (7-11 tahun) dan Formal Operational (11-15 tahun), penerapan bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung dapat membawa makna yang disampaikan secara konkrit dan abstrak.

Contohnya, sejenis gaya bahasa yang bersifat istimewa seperti peribahasa Melayu dapat disalurkan  sebagai mesej untuk menyampaikan makna tertentu dalam kalangan kanak-kanak pada tahap perkembangan mental tersebut.

Keistimewaan peribahasa Melayu turut diungkapkan oleh Za’ba melalui Ilmu Mengarang Melayu dengan pengenalan oleh Asmah Haji Omar (2002:170) yang menyatakan bahawa peribahasa merupakan segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya.

Selain itu, keperluan menyemai sikap saling menghormati antara rakyat pelbagai kaum perlu disemai dalam jiwa  kanak-kanak sebagai rangka keharmonian sosial. Hal tersebut perlu dilaksanakan bertujuan  menangkis persepsi dan sentimen perkauman ke arah membentuk Malaysia MADANI pada masa kini dan akan datang.

Contohnya, pengaplikasian kaedah  pengajaran dan pembelajaran koperatif dalam kalangan kanak-kanak perlu dilaksanakan menerusi penyisipan aktiviti secara berkumpulan.  Seterusnya, aktiviti secara berkumpulan ketika proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilaksanakan oleh kanak-kanak yang terdiri daripada berbilang kaum.

Hal tersebut boleh dilaksanakan menerusi aktiviti main peranan dan simulasi berorientasikan proses penghayatan pelbagai jenis ragam bahasa Melayu. Justeru, aktiviti sedemikian dapat merangsang kreativiti kanak-kanak, di samping meningkatkan kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu dan menerapkan nilai murni ke arah pembentukan Malaysia MADANI.

Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak seperti permainan minda menerusi perlaksanaan aktiviti kuiz atau teka silang kata, bukan hanya dapat melatih kemahiran berfikir kanak-kanak. Secara tidak langsung,  aktiviti sedemikian turut dapat menarik perhatian kanak-kanak mempelajari perkataan baharu seperti mengkelaskan penggolongan kata, melengkapkan kosa kata, peribahasa, penjodoh bilangan dan sebagainya.

Usaha yang pelbagai ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk mempelajari perkataan dan perkara baharu dalam kehidupan mereka. Kenyataan tersebut selari dengan impian Malaysia MADANI yang bersifat bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa hadapan untuk melahirkan masyarakat yang berkeyakinan, mampan serta kreatif menghasilkan daya cipta.

Selain itu, bahasa Melayu turut berperanan sebagai proses tambah nilai dalam diri kanak-kana. Hal sedemikian dapat dilaksanakan menerusi penghayatan nilai murni seperti hormat-menghormati, hidup harmoni dan sejahtera antara kaum sebagaimana yang terkandung dalam rukun Malaysia MADANI.

Contohnya, bahasa Melayu turut berperanan menyalurkan mesej yang membawa makna perhubungan dan kasih sayang sesama manusia. Misalnya, peribahasa Melayu, “Seperti isi dengan kuku” yang membawa makna hubungan sejahtera dan harmoni. Selain itu, kesejahteraan yang berpanjangan dalam hubungan kekeluargaan seperti peribahasa Melayu, “Air dicincang tidak akan putus” yang membawa nilai tambah dalam diri kanak-kanak.

Tuntasnya, bahasa Melayu sebagai wahana pendidikan dalam kalangan kanak-kanak dapat melaksanakan rukun Malaysia MADANI, yakni M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan) dalam memeta hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

Menerusi kajian Rohani Abdullah pada tahun 2001, Piaget menemukan bahawa tahap concrete operational berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap pemikiran yang semakin fleksibel, logikal dan tersusun (Ruzanna & Vijayaletchumy – 2014:437).

Tuntasnya, untuk mencapai kejayaan perlaksanaan Malaysia MADANI, hal yang bersangkutan dengan pendidikan kanak-kanak perlu diambil perhatian. Misalnya, pada tahap pemikiran kanak-kanak yang semakin fleksibel, logikal dan tersusun, mereka perlu dididik supaya faham akan konsep ihsan, sentiasa melakukan kebaikan serta kebajikan dan murah hati.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf, ayat 56 yang bermaksud, “Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik” menjelaskan bahawa rahmat Allah sentiasa bersama dengan sesiapa yang tulus dalam menyebarkan kebaikan kepada orang di sekitarnya.

Hal tersebut selari dengan konsep Ihsan berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2001: 560), yakni beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah SWT yang melihatnya. Ihsan juga bermaksud kebaikan, kebajikan, perbuatan yang baik dan kemurahan hati.

Selain itu, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Wan Muna Ruzanna & Vijayaletchumy (2014:437), Chomsky turut menyatakan bahawa bahasa bersifat kreatif. Hal tersebut tidak terbatas pada pelbagai objek dan peristiwa yang dapat digarap oleh perilaku semata-mata.

Semua komponen bahasa berkembang secara kreatif, mengimbau atau melangkau batasan pengalaman naluriah, iaitu rangsangan dan tindak balas. Justeru, daya kreativiti bahasa yang dimiliki dapat menghasilkan setiap kalimat dan memiliki kebolehan mendengar, bertutur, membaca dan menulis sebagai sesuatu perkara yang baharu.

Oleh hal yang demikian, setiap penutur dan pendengar mempunyai kemampuan dan prestasi. Kemampuan ialah pengetahuan penutur mengenai bahasanya manakala prestasi dapat diertikan sebagai bunyi-bunyi yang dilafazkan. Bunyi-bunyi tersebut ialah bunyi bermakna dan dapat difahami oleh pendengar.

Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu yang digunakan untuk menyalurkan mesej dalam mendidik kanak-kanak dapat membawa makna tertentu untuk diaplikasikan dalam kehidupan nyata. Matlamat tersebut selari dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara sebagaimana yang termaktub dalam Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960).

Oleh yang demikian, bahasa Melayu sebagai wahana pendidikan kanak-kanak dapat melahirkan insan yang fasih berbahasa Melayu ke arah pembentukan Malaysia MADANI. Contohnya, pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu  sebagai proses nilai tambah dalam kalangan kanak-kanak menerusi aktiviti pertandingan berpidato, forum, penghayatan sastera dalam bahasa Melayu menerusi aktiviti menghayati sajak, pantun dan penulisan teks sastera.

Konklusinya, penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak bukan sahaja membantu mereka menggunakan bahasa Melayu yang betul, bahkan dapat membentuk sahsiah diri ke arah aspirasi Malaysia MADANI. Tuntasnya, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat memungkinkan kanak-kanak memahami input dan menghasilkan output bahasa yang sempurna.

 

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar – Pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.