3 Mac 2024, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Bahasa kolokial di negara kita perlu dilestarikan agar tidak terus pupus.”

Sehubungan dengan itu, Arkib Negara Malaysia (ANM) melaksanakan program Bicara Bahasa Kolokial sepanjang tahun lepas di beberapa buah negeri untuk melestarikan bahasa tersebut.

Bagi mengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan isu bahasa kolokial ini, BERNAMA TV telah menjemput YBhg. Datuk Jaafar Sidek Hj. Abdul Rahman, iaitu Ketua Pengarah ANM, dalam slot Ruang Bicara yang dihoskan oleh Sherkawi Jirim pada 1 Mac lalu.

Menurut YBhg. Datuk Jaafar Sidek, bahasa kolokial merujuk bahasa percakapan yang dituturkan sekumpulan orang dalam lokasi sosial yang mudah ditutur dan difahami oleh kelompok tersebut.

Walau bagaimanapun, katanya, bahasa tersebut bukanlah bahasa standard yang dituturkan kebanyakan masyarakat. Ujar beliau,

Pihak ANM berusaha melestarikan bahasa kolokial ini dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka melalui program Bicara Bahasa yang melibatkan tokoh akademik, penggiat bahasa dan masyarakat di pelbagai lokasi di seluruh negara.

Tambah beliau, bahasa merupakan identiti sesuatu bangsa atau kaum dan jika tiada penutur bahasa tersebut, maka akan hilanglah dan ditambah pula dengan komuniti penuturnya yang kecil serta kurang menggunakan bahasa tersebut dalam komunikasi harian.

Itulah situasi bahasa kolokial di negara kita pada masa ini yang menyebabkan ANM berusaha mengadakan program dan seterusnya mendokumentasikan bahasa ini agar tidak terus hilang.

Beliau turut memaklumkan bahawa bukan negara ini sahaja yang berusaha untuk membuat dokumentasi berkaitan dengan bahasa kolokial bahkan negara jiran seperti Thailand turut berbuat demikian.

Ujar beliau, sebenarnya telah ada usaha mendokumentasikan bahasa ini sebelum ini tetapi usaha tersebut tidak bersungguh-sungguh.

Pelestarian bahasa ini bukanlah menolak bahasa standard yang menjadi bahasa penyatuan masyarakat Malaysia berbilang kaum tetapi lebih kepada memikirkan keperluannya yang menjadi identiti sesuatu kelompok masyarakat atau etnik, serta mungkin ada perkataan yang boleh dipilih menjadi bahasa sepunya sebagaimana perkataan “merarau” yang berasal daripada etnik komuniti di Sarawak.

Beliau berkata, ANM melihat bahasa kolokial ini sebagai warisan khazanah negara yang perlu dilestarikan dengan cara berkolaborasi dengan institut pendidikan tinggi awam (IPTA), institut pendidikan tinggi swasta (IPTS), badan bukan kerajaan (NGO), penggiat bahasa dan budaya serta orang perseorangan.

Sepanjang tahun lepas, ANM telah menganjurkan program bicara bahasa kolokial di Pahang, Perak, Sarawak dan Perlis yang akan diteruskan lagi pada tahun ini di lokasi berbeza seperti di Kelantan, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Satu konvensyen bahasa kolokial akan turut dianjurkan pada tahun ini dalam usaha pihaknya untuk melestarikan bahasa tersebut di Malaysia. Ujar beliau,

Walaupun kos yang diperlukan untuk melestarikan bahasa kolokial ini besar tetapi jaringan kerjasama dengan pihak lain seperti IPTA, IPTS, NGO dan lain-lain boleh mengatasi kekangan tersebut.

Dalam program tersebut, beliau juga memaklumkan bahawa ANM akan menganjurkan program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti “Cakno Loghat Kelate” pada 5 Mac 2024, yang akan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang.

Ketua Pengarah ANM, iaitu YBhg. Datuk Jaafar Sidek Hj. Abdul Rahman ketika menjadi tetamu dalam slot Ruang Bicara, BERNAMA TV.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.