14 Mac 2024, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sebanyak 19 orang pelajar Jepun dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), dan Takushoku University diperkenalkan dengan seni budaya Melayu dalam Program “Sensei” di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas (IPGMKIK), baru-baru ini.

“Sensei” merupakan program kali ke-2 yang dianjurkan oleh pelatih guru opsyen Bahasa Melayu, IPGMKIK yang memfokuskan seni penulisan khat dan seni muzik tradisional Melayu, selain adat makan serta pembelajaran bahasa isyarat yang menjadi antara pengisian utama program ini.

Delegasi Jepun yang diketuai oleh pensyarahnya, iaitu YBrs. Puan Faridah Mohamed disambut oleh Pengarah IPGMKIK, YBrs. Dr. Faridah Yakob dengan suasana yang meriah dan penuh tradisi.

Dengan berpakaian tradisional pelbagai kaum di Malaysia untuk menyambut kehadiran para pelajar dari Jepun tersebut, pelajar IPGMKIK berjaya mempamerkan budaya masyarakat Malaysia yang unik, menarik dan bersifat malar segar.

Program ini merupakan program kebahasaan, kebudayaan dan kesusasteraan yang melibatkan para pelajar dan pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPGMKIK, Malaysia dengan Tokyo University of Foreign Studies, Jepun.

Yang lebih meriah, pada kali ini delegasi TUFS ini turut disertai oleh pelajar dari Takushoku University, iaitu sebanyak tujuh orang.

Menurut YBrs. Dr. Faridah Yakob, program ini selain menjadi acara tahunan dan dimasukkan dalam takwim kampus turut menjadi sebahagian daripada jenama IPGMKIK dan ditunggu-tunggu pada setiap tahun.

“Program ini memberikan manfaat kepada pensyarah dan pelajar untuk menimba pengalaman, sekali gus merealisasikan misi Go Global IPGMKIK,” ujarnya lagi.

Selain memperoleh pengalaman mengajar bahasa Melayu kepada pelajar TUFS, pelajar IPGMKIK turut memperkenalkan budaya Malaysia dengan kaedah yang sesuai agar pembelajaran menjadi lebih bermakna.

Pengarah IPGMKIK, iaitu YBrs. Dr. Faridah Yakob menyambut baik program “Sensei”  yang memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua pihak.

Tambah beliau, program ini juga dilihat antara langkah penting dalam menjanakan generasi muda yang bukan sahaja terampil dalam bahasa Melayu, tetapi juga mampu berkomunikasi dalam konteks antarabangsa.

Sementara itu,  YBrs. Puan Faridah Mohamed yang telah 30 tahun lebih mengajar Bahasa Melayu di TUFS berkata, tugas membawa pelajar jurusan Bahasa Melayu dari universiti tersebut telah menjadi rutin beliau pada setiap tahun.

Pensyarah Pelawat dari TUFS, Jepun, iaitu YBrs. Puan Faridah Mohamed telah mengelolakan aktiviti tahunan seperti itu sejak 11 tahun lepas.

Tambah beliau, program seperti ini telah membawa dimensi baharu dalam pembelajaran yang berasaskan lawatan bahawa bahasa Melayu yang dipelajari oleh pelajar asing lebih mudah diaplikasikan secara amali di Malaysia.

Menurutnya lagi,

Atas faktor minat dan kesungguhan yang mendalam, anak-anak Samurai ini sanggup mengumpul wang untuk menyertai program ini ke Malaysia untuk mendalami bahasa Melayu, khususnya melalui komunikasi.

Bagi Yatim (nama Melayu yang diberi oleh tenaga pengajar TUFS) atau nama sebenarnya, Yuta Nakamura,  pengalamannya berbahasa Melayu amat menarik dan bahasa ini juga mudah dipelajari walaupun ada kekangan ketika menyebut beberapa huruf seperti huruf “r” dan “z”.

Saya pernah tinggal di Malaysia sewaktu kecil kerana mengikuti bapa yang bertugas di Malaysia suatu waktu dahulu. Oleh itu, saya ingin kembali berbahasa Melayu dan berhasrat ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai penterjemah di Kedutaan Jepun pada masa akan datang.

Yatim atau nama sebenarnya, Yuta Nakamura, merupakan antara pelajar TUFS yang mengikuti program “Sensei” di Malaysia.

Dalam program tersebut, para pelajar IPGMKIK terlibat secara langsung sebagai duta kecil yang mengajar dan mengaplikasikan bahasa Melayu komunikasi, berserta bahasa isyarat selain memperkenalkan alat muzik seperti kompang dan seni khat kepada tetamu dari Jepun.

 

Sesi pembelajaran penulisan khat dibimbing oleh para pelajar IPGMKIK.

Pelajar TUFS dan Takushoku University membuat persembahan kompang dengan pergerakan yang membawa lagu Lemak Manis.
Para fasilitator bersama-sama para pelajar Jepun bergambar kenangan seusai program “Sensei”.
Pelajar Jepun menunjukkan hasil penulisan khat mereka.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.