Oleh Nazri Hussein
20 Mac 2024, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap kali munculnya bulan Ramadan yang menandakan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir, maka terkenanglah penulis akan budaya mengirim kad hari raya buat teman-teman dan saudara-mara ketika era kanak-kanak dan remaja suatu ketika dahulu.

Antara madah indah yang tidak pernah dilupakan dalam setiap lakaran tulisan di dalam kad raya termasuklah kata-kata yang berbentuk pantun dua kerat yang sangat popular hingga ke hari ini. Pantun tersebut berbunyi seperti yang berikut:

Pecah kaca pecah gelas,

Sudah baca harap balas.

Entah siapalah gerangan ahli bahasa yang mencipta madah menarik ini sehingga kanak-kanak dan remaja pada era ini masih lagi menggunakan kata-kata ini dalam rangkap tulisan sama ada di dalam buku contengan, kad ucapan atau tulisan di media sosial. Tidak dapat dipastikan bilakah bermulanya lakaran madah atau pantun ini menjadi trend dalam ungkapan tulisan.

Namun begitu, ketika tahun 1970-an dan 1980-an, madah dua kerat ini sudah sangat terkenal terutamanya pada warkah yang dikirim untuk sahabat pena atau kad ucapan termasuklah kad hari raya.

Kosa kata “Pecah kaca pecah gelas” sebagai pembayang barangkali bagi sesetengah pembaca tidak mempunyai apa-apa maksud yang tersirat. Akan tetapi, diksi “kaca” dan “gelas” sudah tentu tidak dapat dipisahkan kerana mempunyai hubungan yang rapat.

Gelas yang diperbuat daripada kaca jika jatuh ke lantai sudah tentunya akan pecah berkecai. Akan tetapi jika diperhalusi, subjek gelas yang diperbuat daripada kaca sebenarnya mempunyai maksud yang tersembunyi. Gelas apabila pecah berderai dan bertukar menjadi kaca sudah tentu tidak akan mampu bertangkup lagi menjadi bekas minuman yang sempurna.

Begitulah juga sesebuah persahabatan yang telah hancur kerana permusuhan, dendam kesumat dan kebencian yang mendalam tidak akan mampu bertaut kembali. Justeru, gelas yang elok usah sesekali dibiarkan terlepas daripada genggaman yang boleh menyebabkannya menjadi sumbing, retak atau berkecai lumat.

Dalam masyarakat kita, kaca selalu dikaitkan pula dengan objek tajam yang boleh mencederakan sesiapa sahaja. Kata-kata atau sindiram tajam umpama kaca yang menikam hati sanubari.

Dalam kehidupan, tiada yang lebih indah melainkan persahabatan dan hubungan kekeluargaan yang disaluti dengan rasa kasih sayang, cinta dan kemesraan sejati. Perseteruan dan persengketaan akan hanya meretakkan lagi silaturahim dan keakraban yang pernah terjalin. Apatah lagi jika dua sahabat yang dahulu rapat dan bertoleransi akhirnya saling bermusuhan sehingga membawa kepada pergaduhan dan perkelahian.

Bagi sesetengah ahli bahasa, imej gelas sangat sesuai untuk dipadankan dengan wadah hubungan kekeluargaan dan persahabatan dalam kehidupan.

Para pemikir bahasa dan sastera menganggap bahawa gelas yang pecah umpama hati dan perasaan manusia yang terluka dan patah hati oleh sesuatu perkara. Jiwa yang dihancurkan sukar untuk menerima permohonan maaf kerana sanubari telah dilukai. Seperti kata pepatah, “Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati tiada siapa yang tahu”.

Maka itu, pada baris kedua yang menjadi keutamaan ialah perkataan “baca” dan “balas”. “Sudah baca harap balas” pula mempunyai kefahaman yang jelas, iaitu bagi yang menerima ucapan daripada kad atau warkah mestilah membalasnya kembali sama ada dalam bentuk surat atau kad sebagai tanda berterima kasih di atas ingatan pengirim.

Madah yang ringkas ini meskipun sekadar empat patah perkataan sahaja namun mempunyai tafsiran yang sangat luas. Hal ini merujuk bagaimana si penerima surat atau kad perlulah menghargai pengirim lantas membalasnya dengan cara yang sama. Si penerima surat atau kad mengirimnya kembali dengan bait-bait tulisan yang penuh dengan ungkapan perasaan sebagai tanda termeterainya hubungan keakraban dan silaturahim sesama sahabat dan saudara mara.

Suatu ketika dahulu, tatkala budaya berkirim kad ucapan ketika menjelang hari raya menjadi tradisi yang tidak luput maka pelbagai kata-kata, madah, pantun dan ungkapan indah yang digunakan bagi menarik hati pembaca. Sudah tentu, tulisan terakhir di perenggan yang paling akhir ialah kata-kata indah.

“Pecah kaca pecah gelas, Sudah baca harap balas” merupakan klimaks atau plot yang paling mengharukan untuk ditatapi. Ini kerana bagi pengirim ucapan, sudah tentulah sangat mengharapkan agar si penerima bukan sahaja sudi membaca luahan kata tetapi bersedia untuk membalas kembali melalui kad ucapan atau surat demi menyambung persahabatan agar tidak terhenti begitu sahaja.

Jika diamati secara mendalam, pantun dua kerat yang sering menjadi bualan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja ini mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat. Madah yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan ini sesungguhnya memberikan kefahaman betapa dalam kehidupan, hubungan silaturahim dan keakraban dalam persahabatan mempunyai nilai yang tinggi.

Ketika budaya mengutus surat dan kad masih menjadi amalan sebagai pengerat kasih sayang dan kemesraan, apa-apa sahaja seperti madah, gurindam, pantun dan lirik, bahasa tetaplah memberikan makna yang besar kepada setiap orang.

Apalah tidaknya, ucapan yang berhemah dan beradab itu memberikan konotasi bahawa setiap persahabatan perlulah kekal sehingga ke akhir hayat tanpa ada apa-apa halangan yang mampu merosakkan kesetiaan.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan kemuncak kepada jalinan persaudaraan dan hubungan intim sama ada bagi sanak saudara, ahli keluarga, jiran tetangga mahupun sahabat pena yang jauh. Hakikat itulah maka kad hari raya merupakan pengganti diri yang akan dikirimkan kepada sesiapa sahaja demi mengharapkan jalinan cinta dan hubungan sentiasa terpelihara.

Bagi penerima kad dan surat yang tertera madah indah ini tidak dapat tidak akan bersegera untuk membalas kembali ucapan yang dikirim dengan tulisan dan ungkapan yang lebih mesra dan indah. Hal inilah yang akhirnya menjadikan hubungan terus kekal intim dan berpanjangan terutama bagi mereka yang menjalinkan persahabatan secara pena.

Selain kata-kata menarik ini, ada pula kata-kata lain atau pantun yang turut ditokok tambah bagi menyedapkan madah. Antaranya berbunyi seperti yang berikut:

Pecah piring menjadi kaca,

Pecah kaca menjadi gelas;

Sudah dikirim harap dibaca,

Sudah dibaca harap dibalas.

Suatu ketika dahulu, pada era 1980-an dan awal 1990-an, Ramadan dan kad ucapan hari raya adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Kedai runcit dan pasar raya besar bersaing melonggokkan kad dengan pelbagai rupa, gambar, saiz dan bentuk bagi menarik perhatian pelanggan.

Antara objek yang menjadi pilihan ramai penggemar ialah imej flora dan fauna, lukisan kartun dan kaligrafi khat. Sudah tentu yang menjadi pilihan ialah madah dan kata-kata yang terukir di bahagian dalam kad raya.

Banyak perkara yang melucukan ketika mengirim kad raya yang kekal dalam ingatan kita. Antaranya, kad yang sepatutnya ditujukan kepada kekasih dengan tertera kata-kata romantis telah tersalah kirim kepada ayahanda dan bonda di kampung. Begitu juga, kad yang khusus untuk tunang tersayang dikirimkan kepada adik-beradik atau guru di sekolah.

Yang paling diingati tatkala hari raya ialah semua kad-kad raya diterima akan digantung di dinding rumah sebagai hiasan serta penghargaan untuk pengirim yang bersusah payah menaiki bas atau basikal untuk mengepos kada raya di pejabat pos.

Budaya mengirim kad raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri sepatutnya dikembalikan semula seperti era terdahulu. Ini kerana tradisi silam ini menjadi kemuncak kepada sebuah persahabatan yang sejati.

Meskipun pada era digital dan komunikasi yang semakin canggih, kad raya tetap mempunyai nilai yang sangat bermakna dalam hidup. Bayangkan pada hari ini, pada usia emas, ada yang masih menyimpan kad raya dahulu sebagai simbol kenangan.

Alangkah syahdunya tatkala membaca lirikan tulisan dan madah indah yang pernah ditulis oleh sahabat pena yang telah lama kembali ke rahmatullah atau lakaran kata yang dititipkan oleh kekasih lama atau rakan taulan yang tidak pernah berjumpa hingga ke hari ini.

Kata-kata “Pecah kaca pecah gelas, Sudah baca harap balas” sesungguhnya terlalu manis untuk dikenang. Simbolisme gelas dan kaca serta objek kertas kad itu sendiri  akan membawa kita ke suatu dunia silam yang penuh dengan nostalgia.

Bagi pasangan yang bertemu jodoh selepas berkirim kad raya tentulah dapat mengimbau kenangan yang manis dan indah apatah lagi saat dilamun cinta. Tulisan dan kata-kata bermadah itu pasti akan dikongsi semula bersama-sama anak dan cucu serta sanak keluarga sebagai ingatan yang abadi.

Bagi seorang murid yang telah dewasa dan kembali bertemu dengan bekas gurunya, pastilah memori berkirim kad untuk guru tercinta menjadi himbauan yang manis dan syahdu. Apatah lagi andainya kad yang masih tersimpan itu ditunjukkan kembali kepada murid yang pernah mengirim ucapan buat pendidik di sekolah suatu masa dahulu. Semua itu kekal seiring dengan musim dan waktu yang bergerak pantas.

Melalui tulisan yang terukir pada kad rayalah kita mula mengenal keindahan bahasa ibunda. Tanpa kita sedari, kita mula mencintai madah, pantun, gurindam dan pepatah Melayu yang penuh dengan makna yang tersurat dan tersirat. Semua lirikan yang bersimpul makna itu mendidik kita untuk membina kehidupan bersama insan-insan yang tersayang.

Ledakan telekomunikasi yang melanda dunia dengan munculnya telefon bimbit yang serba canggih telah menamatkan riwayat kad hari raya yang suatu waktu dahulu menjadi penghubung.

Namun begitu, pengiriman kad dalam bentuk e-kad, khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp, e-mel dan Telegram tetap menjadi kaedah terbaharu untuk berkirim ucapan dengan cara yang cepat dan pantas.

Kita sebenarnya tetap merindui suasana di mana setiap orang berebut-rebut membeli kad raya lalu menitipkan tulisan dan kata-kata dengan tinta dan pena. Lantas, kad yang bersampul putih kemudiannya dilekatkan dengan setem yang berharga 15 sen sebelum diposkan.

Hari-hari terakhir sebelum sambutan lebaran, aktiviti membaca kad hari raya yang dikirimkan oleh sahabat dan taulan ialah detik-detik terindah yang mengasyikkan. Dari situlah kita dapat mengenal hati budi rakan jauh dan dekat melalui madah, gurindam dan kata-kata yang tertulis pada kad ucapan.

“Pecah kaca pecah gelas, Sudah baca harap balas” tetaplah ungkapan klasik yang meruntun kalbu kerana madah turun temurun itu menzahirkan penghayatan yang mendalam dalam menempuhi dunia persahabatan yang penuh rona.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.