21 Mac 2024, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu kuno ialah bahasa Melayu yang berkembang di Nusantara antara abad ketujuh hingga abad ke-13, iaitu pada zaman peralihan Hindu–Islam. Kerajaan agung yang wujud pada masa itu ialah kerajaan Srivijaya. Pada zaman pemerintahan kerajaan Srivijaya, bahasa Melayu dikatakan telah menjadi bahasa pengantar kerajaan tersebut.

Hal ini dapat dibuktikan menerusi penemuan empat batu bersurat yang ditulis dalam bahasa Melayu kuno. Batu bersurat yang dimaksudkan ialah Batu Bersurat Kedukan Bukit, Batu Bersurat Talang Tuwo, Batu Bersurat Kota Kapur dan Batu Bersurat Karang Brahi.

Batu Bersurat Kedukan Bukit yang bertarikh 683 Masihi diperoleh daripada sebuah keluarga Melayu yang mendiami Kampung Kedukan Bukit pada 29 November 1920. Batu bersurat ini mengandungi 10 baris ayat yang diukir pada batu yang berbentuk bujur. Malangnya, tiga baris terakhir tidak dapat dibaca kerana batu tersebut terserpih.

Bagi Batu Bersurat Talang Tuwo, batu bersurat ini bertarikh 684 Masihi dan ditemukan oleh Residen Jambi yang bernama L. C. Westenek pada 17 November 1920. Batu bersurat ini ditemukan di Talang Tuwo yang berada di bahagian barat daya Bukit Siguntang, lebih kurang lapan kilometer dari Palembang. Batu bersurat ini ialah batu pasir yang padanya terpahat 14 baris ayat.

Seterusnya, Batu Bersurat Kota Kapur yang bertarikh 686 Masihi ditemukan oleh J. K. Van Meulan pada tahun 1892 di Kota Kapur, iaitu pekan di Pulau Bangka. Batu yang berbentuk tiang batu ini dikatakan telah dibawa ke Pulau Bangka kerana tiada batu lain seumpama itu di pulau tersebut.

Akhir sekali, Batu Bersurat Karang Brahi yang bertarikh 692 Masihi ditemukan oleh L. Berkhout pada tahun 1904. Ketika ditemukan, batu ini digunakan sebagai lapik untuk membasuh kaki di sebuah masjid yang berada di Jambi.

Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan oleh pengkaji, didapati bahawa teks pada batu bersurat ini mempunyai persamaan dengan teks pada Batu Bersurat Kota Kapur. Perbezaannya ialah jumlah baris teks pada Batu Bersurat Karang Brahi kurang dua baris berbanding dengan Batu Bersurat Kota Kapur.

Selain keempat-empat batu bersurat yang dinyatakan ini, ada satu lagi batu bersurat yang ditemukan di Jawa Tengah, iaitu di Gandasuli yang berada di daerah Kedu. Bahasa yang tercatat pada Batu Bersurat Gandasuli ini mempunyai pertalian yang rapat dengan keempat-empat batu bersurat yang ditemukan di Sumatera.

Secara umumnya, semua batu bersurat yang ditemukan ini ialah bukti terpenting tentang bahasa Melayu tertua yang ditulis dalam bahasa Austronesia, dan merupakan sumber sejarah yang dapat menjelaskan permulaan kerajaan Srivijaya.

Berdasarkan batu bersurat yang ditemukan ini, sistem tulisan dan kosa kata bahasa Melayu kuno yang digunakan pada masa itu dapat dikenal pasti. Dari segi tulisan, Batu Bersurat Kedukan Bukit, Batu Bersurat Talang Tuwo, Batu Bersurat Kota Kapur dan Batu Bersurat Karang Brahi menggunakan tulisan Palava, iaitu sejenis tulisan India Selatan purba yang digunakan untuk menyebarkan agama Hindu.

Selain tulisan Palava, tulisan lain yang digunakan dalam bahasa Melayu kuno termasuklah tulisan Kawi dan Nagiri. Sebenarnya, kata “Kawi” berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud penyair. Pada mulanya, tulisan Kawi ditulis pada daun lontar. Kemudian, tulisan ini diubah suai dan diukir pada batu. Tulisan Nagiri pula berasal dari utara India dan digunakan pada Batu Bersurat Gandasuli.

Bahasa Sanskrit amat berpengaruh dalam bahasa Melayu kuno kerana bahasa Melayu pada masa itu masih kekurangan kosa kata untuk mengungkapkan konsep baharu yang dibawa masuk menerusi budaya asing. Kesannya, bahasa Melayu kuno perlu meminjam bahasa masyarakat yang membawa konsep tersebut. Yang berikut ialah perbandingan antara bahasa Melayu kuno dengan bahasa Melayu moden:

a) Semivokal w dalam bahasa Melayu kuno bertukar menjadi b secara konsisten dalam bahasa Melayu moden.

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
wunuh bunuh
wuah buah
wuat buat

 

b) Vokal e pepet tidak wujud dalam bahasa Melayu kuno.

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
lapas lepas
marwangun membangun
tatahapi tetapi

 

c) Imbuhan awalan par- dalam bahasa Melayu kuno bertukar menjadi per- dalam bahasa Melayu moden.

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
parwuat perbuat

 

d) Imbuhan awalan ni- dalam bahasa Melayu kuno bertukar menjadi di- dalam bahasa Melayu moden.

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
niwunuh dibunuh
nimakan dimakan
nisumpah disumpah

 

e) Imbuhan awalan mar- dalam bahasa Melayu kuno bertukar menjadi ber- dalam bahasa Melayu moden.

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
marwuat berbuat

 

f) Imbuhan akhiran -i dalam bahasa Melayu kuno sama seperti bahasa Melayu moden.

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
niujari diujari

 

g) Terdapat konsonan yang dieja dengan aspirasi bh, dh dan kh hasil daripada pengaruh bahasa Sanskrit.

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
sukhacitta sukacita
dhuka duka
bhumi bumi

 

h) Terdapat kata dalam bahasa Melayu kuno yang telah mengalami perubahan makna dalam bahasa Melayu moden.

Bahasa Melayu kuno Bahasa Melayu moden
kita kamu (maksud tunggal)

 

i) Terdapat kata dalam bahasa Melayu kuno yang masih digunakan hingga ke hari ini. Contohnya, aku, jadi, ratus dan sama.

Secara tuntasnya, bahasa Melayu kuno sememangnya dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak kosa kata Sanskrit digunakan dalam bahasa Melayu kuno. Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa kedatangan pedagang India ke Alam Melayu bukan sahaja mempengaruhi kebudayaan masyarakat tempatan, tetapi juga mempengaruhi bahasa yang digunakan di Alam Melayu, termasuklah bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.