22 Mac 2024, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa Melayu merupakan antara bahasa hidup yang sentiasa dinamik sifatnya dari semasa ke semasa.

Menurut Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, bahasa Melayu merupakan bahasa yang hidup dan perlu berubah serta dinamik atau berkembang.

Tambah beliau, bahasa sebenarnya berkembang lebih laju daripada manusia sehingga tanpa disedari bahawa manusia yang ditinggalkan oleh bahasa.

YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin yang ditemu bual dalam slot Cakna Bahasa, kelolaan penyampainya, Ziana Nasir dan Natasha Aimee menerusi BERNAMA RADIO berkata,

Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang hidup kerana boleh mengungkapkan pelbagai bidang ilmu dan tidak seperti sesetengah bahasa yang mati seperti bahasa Latin.

Ketika diminta mengulas isu penggunaan perkataan “peluncuran” yang semakin meluas pada masa ini, beliau menjelaskan bahawa perkataan tersebut sebenarnya telah ada dan tersimpan dalam kamus.

Menurut beliau,

Penggunaan perkataan peluncuran bagi memperkenalkan sesuatu program, produk atau perkhidmatan yang berlaku pada masa ini merupakan antara variasi dan perkembangan makna yang berlaku pada perkataan tersebut berbanding dengan hanya menggunakan perkataan “pelancaran” seperti sebelum ini.

Selain itu, mengenai isu pinjaman perkataan daripada bahasa Melayu Indonesia seperti “ketimbang”, beliau menjelaskan bahawa bahasa Melayu perlu dibiarkan berkembang dan ada masanya juga perlu dikawal.

Menurut beliau, “Dalam dunia maya pada hari ini, kita sukar mengempang bahasa kerana bahan daripada bahasa asing sentiasa masuk ke dalam bahasa tetapi masuk dalam aturan yang diizinkan oleh bahasa Melayu.

Jelas beliau,

Bukan hanya bahasa Melayu yang meminjam perkataan daripada bahasa lain, bahkan bahasa Inggeris, iaitu bahasa yang besar juga meminjam perkataan daripada bahasa lain. Contohnya, perkataan ‘sambal’ sudah pun berada dalam Kamus Oxford.

Beliau berkata, mungkin pada suatu masa nanti apabila data semakin banyak, pihak DBP akan merakam secara spesifik makna baharu sesuatu perkataan dalam kamus.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin semasa menjadi tetamu dalam slot Cakna Bahasa, petang semalam.

Mengulas mengenai isu ejaan menu yang tidak tepat di bazar Ramadan, beliau menjelaskan bahawa DBP sentiasa membuat pemantauan yang berkaitan dengan tahap penggunaan bahasa Melayu di tempat awam.

Selain itu, DBP juga sentiasa menyiarkan pedoman bahasa dalam bentuk infografik di laman web dan media sosialnya bagi rujukan masyarakat.

Tambahnya, masyarakat yang ingin membuat rujukan mengenai ejaan dan sebagainya boleh merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) selain kamus yang ada.

Tegas beliau,

Kita perlu bertanggungjawab menjaga dan memelihara bahasa kita. Kita juga perlu menggunakan bahasa Melayu yang betul kerana bahasa kita mampu mengungkapkan apa-apa sahaja dengan indah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.