Oleh Aminudin Mansor
25 Mac 2024, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesantunan berbahasa mestilah dididik kepada anak-anak sejak kecil. Apabila mereka sudah dididik dengan kesantunan berbahasa, akan mudahlah guru di sekolah mendidik dan mengajar murid supaya sentiasa berbahasa baik dan santun. Berbahasa baik dan santun mestilah melalui didikan ibu bapa, guru, keluarga dan masyarakat bagi menjadikan bangsa yang berbudi bahasa.

Santun berbahasa bukan sahaja dari segi gaya percakapan, malah menampilkan juga bahasa yang baik, baku, dan terampil. Sebagai contoh, pemidato atau pembahas yang mempunyai kepakaran dalam mengetengahkan keputusan dan mengemukakan pendapat dengan cara yang meyakinkan dan bahasa yang baik.

Keterampilan berbahasa juga bijak dari segi penggunaan bahasa yang santun dalam menyampaikan idea yang menarik dan berkesan dengan tujuan untuk mempamerkan kebijaksanaan berbahasa bagi memujuk, mempengaruhi dan meyakinkan pendengar atau pembaca.

Hal ini berkait rapat dengan retorik dalam penulisan dan lisan yang meliputi gaya pemerian, pemujukan, penceritaan, pendedahan dan penghujahan. Semuanya mesti dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memantapkan keterampilan berbahasa sama ada secara lisan atau tulisan di media sosial.

Sebagai ibu bapa, didiklah anak-anak untuk bercakap dengan baik dan santun, tidak mencarut atau memaki hamun dalam kehidupan seharian. Hal ini akan menjadikan anak-anak pewaris bahasa Melayu yang baik, santun dan sopan. Di sekolah, guru juga mesti mendidik murid berbahasa baik dengan guru, rakan sebaya dan juga masyarakat di luar sekolah.

Peranan guru di sekolah terutamanya guru mata pelajaran Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Murid dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, mempunyai etika yang tinggi, beradab dan bijaksana serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan.

Hal ini dapat membuktikan bahawa pendidikan di rumah dan di sekolah dapat diselaraskan dengan baik dan sempurna bagi melahirkan keluarga Malaysia yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Hal ini juga dapat dimanfaatkan melalui penggunaan media elektronik, iaitu media baharu yang menjadi komunikasi penting pada masa ini.

Perkembangan dan pencapaian dalam bidang ilmu pengetahuan, sains, teknologi dan komunikasi di media baharu mestilah seimbang dan seiring bagi memperjuangkan dan mempertahankan nilai murni dan amalan berbudi bahasa yang mulia, murni, terpuji dan luhur serta bersopan santun dalam kehidupan.

Apa-apa pun yang dipelajari di rumah dan di sekolah, akhirnya akan diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian dalam keluarga, masyarakat dan negara. Keruntuhan negara bukan sahaja disebabkan bangsa yang tidak berakhlak, malah bahasa yang kasar boleh menjurus kepada fitnah yang turut menyumbang kepada masyarakat yang tidak harmoni.

Jelaslah, keterampilan dan pendidikan bahasa yang baik akan memancarkan budi pekerti yang baik dan akhlak terpuji. Akhlak yang terpuji termasuklah tutur kata, budi bahasa yang baik, kesopanan dalam lisan dan penulisan yang menjurus pada keikhlasan, kebenaran, kejujuran, sifat pemurah, belas kasihan, bertimbang rasa, tolong-menolong, berjasa dan berbakti dan sentiasa terampil berbahasa dalam masyarakat.

Orang yang berbudi akan berbahasa dengan baik dan menunjukkan kelakuan yang baik, kebijaksanaan dan akhlak yang terpuji secara dalam lisan dan tulisan. Bahasa Melayu sejak dahulu telah membuktikan bahawa penutur yang terdidik, berilmu pengetahuan dan berbahasa baik akan dipandang tinggi dalam masyarakat. Jika berbahasa buruk, seseorang itu akan dikeji oleh masyarakat.

Mereka yang terdidik dengan bahasa yang baik dan berbudi bahasa akan mengangkat akal budinya dengan sempurna. Setiap kata-kata, bicara, penulisan dan lisannya akan sentiasa terjaga dan akhirnya akan memacu kejayaan pembangunan kerohanian dan kebendaan dalam masyarakat. Hal ini sekali gus akan menyumbang kepada kemajuan ketamadunan bangsa dengan akal budi yang baik.

Oleh itu, akal, kebijaksanaan, perangai dan akhlak serta tingkah laku dikawal oleh hati budi dan jua akal yang bijaksana. Begitulah sifat dan perangai manusia. Semuanya memerlukan pendidikan hati dan akal bagi menghasilkan kebaikan dan juga kebijaksanaan dalam kehidupan.

Kesantunan dapat difahami sebagai beradab, berbahasa baik, berbudi pekerti, berdisiplin, bersopan, bersusila dan tertib dalam berbahasa dan bertingkah laku di mana-mana sahaja. Segala-galanya bermula melalui pendidikan di rumah oleh ibu bapa yang mementingkan kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan. Didikan bahasa santun mestilah bermula di rumah.

Keterampilan berbahasa dan bertingkah laku baik juga mempunyai kaitan dengan adab dan disiplin diri yang bermula dengan ilmu dan pendidikan yang baik. Kedua-duanya mempunyai kaitan dari segi emosi dan juga bahasa yang dituturkan. Biasanya seseorang itu akan berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata secara lisan dan tulisan.

Selain itu, para pemimpin juga wajar mempamerkan keterampilan bahasa apabila bercakap dan berhujah di Parlimen. Hal ini akan menjadi contoh dan teladan kepada rakyat jelata, masyarakat umum dan juga pelajar di sekolah serta pelajar di pusat pengajian tinggi. Apabila contoh ini dapat dipamerkan dari peringkat atasan, hal ini akan diikuti oleh orang bawahan sebagai teladan dengan laras bahasa yang baik.

Laras bahasa yang betul dan baik juga penting bagi keterampilan bahasa. Gaya atau cara penggunaan bahasa. Misalnya, jenis bahasa yang digunakan kepada ibu bapa kita, kepada guru, rakan dan masyarakat umum di media sosial.

Halliday (1968), seorang pakar bahasa mendefinisikan laras bahasa sebagai variasi bahasa yang berbeza berdasarkan fungsi. Menurutnya, “Laras berubah-ubah mengikut situasi. Apabila menggunakan dan mengamati perlakuan bahasa yang wujud dalam pelbagai konteks, kita mendapati kelainan dan jenis bahasa yang digunakan disesuaikan dengan situasi yang berlainan”.

Jika diteliti, pilihan laras bahasa amat luas yang meliputi laras sains, politik, ekonomi, undang-undang, agama, sukan, sastera, resipi, iklan, berita, akademik dan laras biasa biasa. Semakin besar jumlah peranannya, semakin besar jumlah laras yang digunakannya dalam menyampaikan sesuatu topik atau perkara.

Oleh itu, jika kita bersantun sentiasa dan terampil dalam penggunaan bahasa yang baik untuk menyampaikan sesuatu, bahasa kita akan sentiasa terjaga dan terpelihara daripada bahasa rojak dan bahasa slanga yang boleh merosakkan bahasa Melayu. Elakkan juga bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.

Kesimpulannya, bahasa Melayu yang baik mestilah menggunakan bahasa Melayu tinggi yang berilmu, santun dan menggunakan laras bahasa yang betul, berbahasa baku, ayat yang gramatis, berketerampilan dan dapat menyampaikan idea dengan betul dan bernas. Semua aspek bahasa mestilah difahami dengan baik dan mendalam. Meningkatkan kemahiran menulis dan berhujah juga akan memantapkan keterampilan berbahasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.