Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohamad Adib Zulkifli
Kuala Lumpur –“Bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa ilmiah yang setanding dengan bahasa lain di dunia melalui peranan oleh pemain industri perbukuan negara.”
Demikian antara kesimpulan oleh tiga orang panel yang diundang dalam Sesi Forum: Memajukan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu, yang berlangsung pada petang tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP yang dikendalikan oleh Encik Ahmad Fedtri Yahya, selaku moderator.
Menurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid, iaitu Profesor Adjung dari Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya dengan kertas kerjanya yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu dalam Penerbitan Ilmiah”, gaya penulisan ilmiah dan teknikal dalam bahasa Melayu tidak ada kurangnya kerana bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu yang bernilai komersial.
Tambahnya lagi, persepsi masyarakat pada masa ini masih lagi menganggap bahasa Melayu tiada nilai komersial.
Cabaran industri perbukuan berbahasa Melayu pada masa ini ialah bagaimana untuk meyakinkan rakyat untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah kerana peranan bahasa Melayu masih lagi dilihat sangat kerdil dalam bidang penulisan.
Sementara itu, Tuan Sheikh Faisal Sheikh Mansor, iaitu Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pula membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Merancakkan Ekonomi Perbukuan Buku Berbahasa Melayu”.
Beliau berkata, pemain industri buku sejak tiga tahun belakangan ini dilihat cukup rancak dengan lahirnya banyak penulis baharu dan penulis muda juga semakin menunjukkan minat dalam bidang penulisan.
Menurutnya lagi, dana perbukuan negara perlu diuar-uarkan kepada masyarakat umum.
Dana terjemahan diperlukan supaya proses terjemahan dapat dilakukan dengan cepat dan pantas kerana penyebaran budaya berlaku ke serata dunia melalui terjemahan buku.
Selain itu katanya, peranan TikTok juga dapat meluaskan pemasaran buku kepada masyarakat umum terutamanya golongan muda.
Perkara yang sama turut dipersetujui oleh Dr. Poh Swee Hiang, iaitu Pengurus Kandungan dan Penerbit Pelangi Sdn. Bhd. dengan kertas kerjanya yang bertajuk “Pengalaman Penerbit Swasta dalam Konteks Buku Teks”.
Menurut beliau, e-buku sudah mendapat banyak sambutan daripada masyarakat, manakala buku fizikal masih menjadi keutamaan bagi murid sekolah dan masyarakat awam buat masa ini.
Tambahnya lagi, masa depan penerbitan buku berbahasa Melayu dilihat semakin hebat pada masa ini kerana terdapat permintaan yang banyak terutamanya buku digital atau e-buku di pasaran.
Selain itu, beliau juga berkata, pemain industri perbukuan termasuklah penulis dan penerbit perlu rancak memperbanyak penulisan buku berbahasa Melayu. Ujar beliau,
Penerbit juga perlu memperkenalkan buku mereka kepada masyarakat kerana penerbit mesti merangsang minat pembaca untuk terus membaca.