1 April 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fungsi bahasa sebagai alat dan wahana utama dalam pembentukan kebudayaan dan peradaban cukup signifikan. Dalam kedua-dua konteks timbal balik tersebut, peranan bahasa bukan sekadar sebagai alat dan wahana komunikasi sosial, walau bagaimanapun jauh lebih signifikan daripada itu.

Sesungguhnya, bahasa sesungguhnya berperanan sebagai alat dan wahana untuk membentuk, membina, merakam dan menyampaikan fikiran. Bahasa juga merupakan unsur teras dalam pembinaan kebudayaan dan peradaban sesuatu bangsa. Menurut Charton Laird (1957): Without language, no humanity; without written language, no civilization. Maksudnya, tanpa bahasa, tiada bangsa manusia; tanpa bahasa bertulis tiada peradaban.

Dalam konteks pembentukan peradaban Malaysia mahupun negara bangsa Malaysia, bahasa Melayu merupakan elemen dominan. Ini adalah bertepatan dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan bahasa pengucapan budaya tinggi serta bahasa ilmu yang sekali gus berperanan sebagai wahana penting dalam pembinaan kebudayaan dan peradaban sesuatu bangsa.

Dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan, termaktub bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi bangsa dan negara Malaysia yang merdeka. Fasal 152 itu sekali gus memperlihatkan dwifungsi bahasa Melayu (BM), yakni sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Sebagai bahasa kebangsaan, BM ialah identiti nasional bagi setiap rakyatnya tanpa mengira etniknya mahupun rasnya.

Justeru, bagi rakyat Malaysia yang jitu semangat nasionalismenya, dan luhur jiwa patriotismenya kepada tanah tumpah darah, bumi bertuah Malaysia ini, kelompok tersebut melihat warganegara Malaysia yang meremehkan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara sebagai golongan yang tidak menghormati identiti nasional mereka sendiri, lantas status kewarganegaraan mereka serta kesetiaan mereka kepada negara ini dipersoalkan.

Bahkan, ada pihak yang menyarankan agar satu daripada syarat pemberian status kewarganegaraan Malaysia kepada golongan tersebut ialah kefasihan berbahasa kebangsaan, iaitu BM.

Bagi penulis, kefasihan berbahasa Melayu atau berbahasa kebangsaan dengan taraf kewarganegaraan Malaysia seseorang itu ialah dua isu yang berbeza, dan tidak ada hubung kaitnya secara sah mengikut undang-undang.

Sementara itu, sewajarnyalah setiap individu di negara ini yang mengaku sebagai warganegara Malaysia kerana ibu bapa mereka ialah warganegara Malaysia yang sah dari segi Perlembagaan, dan disebabkan mereka dilahirkan di tanah air ini hendaklah memastikan mereka pandai berbahasa Melayu, serta tidak memperlihatkan tindak-tanduk yang boleh ditafsirkan sebagai tidak setia kepada Raja dan negara ini, sekali gus meluhurkan Perlembagaan negara – meluhurkan Perlembagaan bererti mengagungkan, memuliakan dan menghormati perlembagaan dan undang-undang negara.

Apabila berbicara tentang kewarganegaraan Malaysia, mahu tidak mahu kita harus meninjau kembali beberapa peristiwa sejarah yang berkaitan dengan perkara tersebut, dan melihat hubung kaitnya dengan fungsi bahasa kebangsaan. Baik soal kedudukan BM sebagai kebangsaan mahupun hal ehwal yang berkaitan dengan status kewarganegaraan, kedua-duanya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan sudah termaktub dalam Perkara 152, manakala perihal kewarganegaraan telah dimaktubkan dalam Perkara 14 -31 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, dan pada 11 April 1963, satu akta yang khusus berkaitan dengan bahasa kebangsaan, iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah diluluskan dan berkuat kuasa. Selepas 10 tahun merdeka, iaitu pada tahun 1967, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah diluluskan dan mula berkuat kuasa pada 1 September 1967.

Akta Bahasa Kebangsaan 1967 ini kemudiannya disemak dan disatukan dengan Akta Bahasa Kebangsaan dengan nama Akta Bahasa Kebangsaan, 1963 (Pindaan 1967). Keputusan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan merupakan satu daripada saran yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid, iaitu tentang taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sangat bersesuaian dengan kehendak penduduk bangsa Melayu negara ini (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1999).

Sementara itu, dalam Perkara 14-31 Perlembagaan Persekutuan sangat jelas dinyatakan bahawa seseorang itu menjadi warganegara dengan kuat kuasa undang-undang seperti yang berikut:

  1. Perkara 14 (1) (a): Tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia (16 September 1963) dan merupakan warganegara Persekutuan menurut peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan; dan
  2. Perkara 14 (1) (b) : Tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana daripada kelayakan yang ditentukan dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Sesungguhnya, baik dalam Perkara 152 mahupun Perkara 14 – 31 Perlembagaan Persekutuan, tidak dinyatakan dengan jelas bahawa seseorang warganegara itu hendaklah tahu atau pandai, apatah lagi mesti fasih berbahasa kebangsaan atau berbahasa Melayu.

Jauh sekali ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa jika seseorang warganegara Malaysia itu tidak fasih berbahasa kebangsaan atau berbahasa Melayu, maka hilanglah kelayakannya sebagai warganegara Malaysia.

Kendatipun begitu, adanya peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, atau dalam konteks perundangan yang berkaitan kewarganegaraan seseorang itu pada prinsipnya, setiap warganegara Malaysia sewajarnya tahu dan pandai berbahasa kebangsaan, yakni berbahasa Melayu.

Tahu dan pandai berbahasa Melayu itu bererti piawaian atau standard BM, khususnya BM yang dituturkan atau diucapkannya itu tidaklah lebih rendah tarafnya daripada pertuturan atau pengucapan orang asing yang bukan warganegara Malaysia – atau seolah-olah menunjukkan bahawa dia tidak diajarkan BM di sekolah, dan BM yang digunakannya itu mencerminkan sikap tidak peduli serta tidak hormatnya kepada bahasa kebangsaannya sendiri.

Sewajarnyalah, sebagai warganegara Malaysia, tanpa mengira etnik dan ras, penggunaan BM masing-masing hendaklah memperlihatkan bahawa kita tidak meremehkan peri pentingnya bahasa itu dipelajari sebagai bahasa utama kerana bahasa itulah yang mengidentifikasikan kita sebagai warganegara, sekali gus sebagai identiti nasional yang menjadi kebanggaan kita.

Selain itu, pada hemat penulis, sudah memadai sekiranya seseorang itu boleh bertutur dan menulis dalam BM yang baik, khususnya bagi mereka yang BM bukan bahasa pertamanya, seperti orang Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Melanau, Penan, Bajau, Kadazan, Iranun, Bisaya, Selakau atau Hokkien, Hakka, Foochow, Tamil, Sikh dan sebagainya.

Tambahan pula, persekitaran penggunaan bahasa kebangsaan atau BM di kebanyakan tempat di negara ini tidak begitu dominan, khususnya dalam perhubungan harian masyarakat. Di samping itu, pengaruh idiolek juga memainkan peranan dalam menentukan kepandaian bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Di Sarawak misalnya, lingua franca yang selesa digunakan ialah bahasa Melayu Sarawak, manakala di kawasan tertentu dan dalam situasi tertentu bahasa Iban yang digunakan. Gejala penggunaan dialek tertentu dalam hubungan harian sama ada dalam kalangan keluarga, rakan sepejabat atau masyarakat tetap akan mempengaruhi penggunaan BM baku.

Bahkan bagi sesetengah masyarakat Sarawak, terutamanya dalam kalangan orang Melayu Sarawak, seseorang yang bercakap bahasa kebangsaan dengan sesama keluarga atau rakan mereka akan dianggap mengada-ngada, dan dilihat sebagai kera sumbang kerana “kelakar” atau “bertutur orang Malaya”.

Faktor begini juga harus diambil kira dalam merancang kurikulum pengajaran dan pembelajaran BM, khususnya di Sarawak, sama ada BM diajarkan sebagai bahasa pertama atau bahasa kedua, selain mengambil kira faktor dialek dan idiolek dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam konteks kefasihan berbahasa Melayu pula, penulis berpandangan, aspek ini tidak harus dijadikan justifikasi oleh sesetengah daripada golongan pencinta sejati BM untuk mewajarkan warganegara yang tidak fasih berbahasa Melayu sebagai “tidak layak menjadi warganegara Malaysia”.

Apatah lagi, mengecap kalangan tersebut sebagai “bangsa asing yang tidak menjunjung langit di bumi yang dipijak oleh mereka”, dan dalam bahasa yang agak keras sebagai “bangsa yang tak sedar diri dan tak mengenang budi”.

Pada hakikatnya, kefasihan dalam berbahasa Melayu itu, ialah sesuatu yang ideal, dan hanya golongan tertentu sahaja yang mampu mencapai tahap itu. Fasih, dalam konteks penggunaan bahasa tentunya, menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:594) mempunyai tiga makna.

Pertama, “fasih” bermaksud pandai bercakap dengan kata-kata yang bernas, lancar dan baik sebutannya. Kedua, “fasih” adalah berkenaan dengan seseorang yang lancar dan baik sebutannya serta sedap pada pendengaran orang. Ketiga, “fasih” bererti tahu benar tentang sesuatu bidang.

Hatta, untuk maksud “fasih” yang pertama sahaja, yakni “pandai bercakap dengan kata-kata yang bernas, lancar dan baik sebutannya” dan dapat dikira dengan jari dalam kalangan warganegara Malaysia, mereka yang boleh mencapai tahap itu.

Mungkin hanya mereka yang terdiri daripada pendeta murabbi, sasterawan agung, cendekiawan ulung, budayawan bestari, seniman masyhur, penulis terbilang, pemimpin tersohor, dan seumpamanya yang dapat mencapai tahap kefasihan dengan pengertian yang pertama itu.

Menurut penulis, kefasihan berbahasa itu juga ada hubung kaitnya dengan kemahiran dalam penggunaan bahasa sebagai wahana penyampaian pemikiran, dan alat komunikasi yang berkesan. Justeru, status kewarganegaraan seseorang itu tidak wajar dikaitkan dengan/atau diukur berdasarkan tahap kefasihan mereka berbahasa Melayu.

Barang diingat, mereka yang tidak fasih berbahasa Melayu itu juga terdapat dalam kalangan orang Melayu, dan bukan hanya mereka daripada etnik atau ras yang lain seperti kaum Cina, India atau etnik-etnik lain di negara ini. Sepatutnya, orang Melayu, khususnya dalam kalangan ilmuwan, pemimpin negara dan negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, tokoh korporat, profesional dan sebagainya, menjadi contoh pengguna BM yang fasih.

Syahadan, orang Melayu tertentu juga tidak harus menjadi duri dalam daging, dan memperlihatkan sikap tidak menghormati kedudukan BM sebagai bahasa rasmi bangsa dan negara ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi BM sebagai bahasa pengantar pendidikan, dan bahasa ilmu tidak harus dipertikaikan, serta diganggu-gugat dengan pelbagai cadangan, terutama dengan pelaksanaan program dwibahasa atau dengan menuntut autonomi untuk melaksanakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan, dengan meletakkannya di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Seyogianya, orang Melayu, khususnya mereka yang berkedudukan, yang berkuasa, yang berada dan yang berpendidikan tidak harus menonjolkan sikap tidak yakin dan tidak percaya akan kemampuan BM sebagai bahasa ilmu, dan bahasa pengantar pendidikan yang paling pragmatik untuk anak bangsa Malaysia.

Secara praktikalnya, BM amat dekat bahasa atau dialek para pelajar di seluruh Malaysia yang merupakan bahasa serumpun dengan BM, dan itu lebih mudah untuk mereka memahami subjek-subjek yang diajarkan dalam BM berbanding jika diajarkan dalam bahasa Inggeris.

Bahkan, sistem pendidikan kebangsaan yang bahasa pengantarnya ialah BM telah terbukti dapat melahirkan ribuan golongan intelektual, korporat, saintis, ikhtisas, pemimpin, pekerja mahir dan sebagainya yang telah menjadi nadi penggerak utama pembangunan negara ini dalam pelbagai bidang – mereka yang berjaya itu sudah tentu menjadi pandai kerana BM ialah bahasa pengantarnya.

Justeru, tidak ada keperluan yang mendesak untuk mewujudkan dua sistem pendidikan yang berbeza dalam satu negara, melainkan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang bahasa pengantarnya ialah BM itu gagal berfungsi sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan kepada anak-anak bangsa di seluruh negara.

Isu berkaitan dengan adanya segelintir warganegara daripada kaum tertentu yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik memang ada dipolemikkan. Polemik itu sememangnya bagus untuk menarik perhatian umum bahawa sesuatu tindakan perlu dilakukan untuk memperbaik keadaan itu supaya tidak menjadi barah serta kendala dalam usaha murni kita membentuk generasi baharu Malaysia yang lebih jitu semangat kebangsaan mereka dengan memperlihatkan penggunaan BM mereka yang jauh baik daripada generasi orang tua mereka atau nenek moyang mereka.

Pada pandangan penulis, jika ada generasi muda kita, khususnya golongan remaja yang tidak tahu berbahasa kebangsaan atau BM dengan baik, dan lebih parah lagi sekiranya mereka tidak mencapai tahap yang memuaskan yang mencerminkan mereka itu warganegara Malaysia yang berbangga dengan penggunaan bahasa kebangsaan mereka yang baik, dan bukannya BM yang kacau serta yang sarat dengan kerancuan bahasa yang tidak wajar dilakukan.

Hal ini khususnya oleh mereka yang sudah melalui alam persekolahan rendah, menengah rendah dan menengah atas – dengan mengambil kira yang BM itu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan, dan BM diajarkan sebagai satu daripada subjek teras di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Bahkan, di sekolah-sekolah persendirian Cina pun, BM juga diajarkan sebagai subjek teras.

Persoalannya, mengapa masih ada yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan baiknya sehingga mendorong pihak tertentu, terutamanya para pencinta atau pejuang setia BM,  mengkritik serta menegur pihak-pihak yang berkenaan, dan mempersoalkan kedudukan mereka sebagai warganegara Malaysia – kerana bagi mereka adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak dapat diterima akal yang waras, mereka yang mengaku sebagai warganegara Malaysia tidak pandai berbahasa Melayu, apatah lagi bertutur dengan fasih dalam bahasa kebangsaan kita itu?

Bagi penulis, mereka yang sudah melalui alam persekolahan sekurang-kurangnya 10 dan 12 tahun, tetapi masih tidak boleh bertutur dengan baik dalam BM (yang dimaksudkan bertutur dengan baik itu ialah BM yang digunakan oleh mereka itu bukan bahasa pasar, bukan bahasa rancu atau bahasa rojak, dan bukan bahasa yang sarat dengan dialek dan idiolek), dan apatah lagi jika ada dalam kalangan mereka itu langsung tidak tahu berbahasa kebangsaan, tentu ada yang tidak kena dengan kurikulum pengajaran dan pembelajaran BM atau kaedah pengajaran dan pembelajaran BM yang dipraktikkan tidak sesuai untuk memandaikan pelajar bertutur dalam BM yang baik, dan secara relatifnya memuaskan.

Perihal kefasihan dalam berbahasa Melayu dalam kalangan warganegara tanpa mengira etnik dan ras, generasi dan personaliti serta pangkat dan darjat pula, sewajarnyalah mereka yang berkenaan dan yang empunya diri itu, bertekad untuk mempertingkatkan kefasihan dan kemahiran berbahasa masing-masing agar tidak dimomokkan sebagai badut bahasa, serta pencemar bahasa yang tegar.

Tentu ada baiknya juga, mereka yang ingin memohon untuk menjadi warganegara Malaysia, disyaratkan untuk menduduki Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM), dan wajib lulus dengan skor 90 peratus ke atas, dan sijil berkenaan wajib dikemukakan untuk membolehkan mereka dipertimbangkan mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Tampaknya, program Literasi Bahasa Melayu wajar diberi penekanan dan keutamaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM secara bersepadu di sekolah dengan memastikan semua kemahiran berbahasa seperti mendengar, bertutur, membaca, menulis dan berfikir dapat dikuasai sepenuhnya oleh pelajar. Tidak mustahil dengan kaedah dan pendekatan holistik demikian akan melahirkan lebih banyak pelajar yang fasih berbahasa Melayu.

Akhirulkalam, kepada mereka yang sedar diri, dan tahu yang diri mereka tidak fasih berbahasa Melayu dalam kalangan mereka yang mempunyai pangkat dan darjat, kedudukan sosial dan politik, serta berkuasa dan berpengaruh, molek benar jika mereka tanpa segan-silu dan dengan rela hati mula mempertingkatkan usaha mereka untuk memantapkan kefasihan berbahasa Melayu masing-masing.

Manalah tahu, dengan niat yang ikhlas untuk memfasihkan diri dalam berbahasa kebangsaan, yang empunya diri akan lebih dihormati dan dibanggakan sebagai warganegara serta individu yang berjiwa Malaysia yang tulen, sekali gus tidak dipersoalkan kecintaan mereka terhadap BM, dan bahasa jiwa bangsa mereka yang tiada duanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.