1 April 2024, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lisan merupakan salah satu aspek kemahiran  yang di dalamnya  terangkum dua kemahiran asas, iaitu mendengar dan bertutur. Kedua-dua kemahiran ini mempunyai integrasi yang rapat. (Kamarudin Hj. Husin, Pedagogi Bahasa)

Petikan tersebut memerihalkan kepentingan kemahiran lisan berlandaskan tautan rapat dua kemahiran asas, yakni mendengar dan bertutur. Hal tersebut wajar dilaksanakan  untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu ke arah perpaduan dan integrasi nasional.

Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik perlu menjadikan bahasa Melayu sebagai  wahana  berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain pada  peringkat akar umbi lagi. Bahasa Melayu juga perlu dititikberatkan dan diamalkan secara rutin dalam melahirkan perasaan dalam pelbagai bentuk bahasa, umpamanya secara formal dan informal.

Berlisan ialah bercakap, yakni percakapan dan pertuturan melahirkan bahasa melalui suara sebutan dan bukan dengan tulisan. Demikian menurut Abdul Kadir (1984) menerusi buku Pengajaran Lisan di Sekolah: Penekanan Cara Praktik. Lanjutan daripada itu, lisan merupakan kebolehan yang ada pada seseorang untuk bercakap, bertutur atau berbahasa dan menggunakan alat-alat artikulasi. Kemahiran lisan harus dimiliki oleh seseorang untuk menjalankan aktiviti dan berinteraksi sesama individu.

Kemahiran Mendengar dan Bertutur

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kemahiran lisan menitikberatkan kemahiran mendengar dan bertutur. Kemahiran ini merupakan kemahiran yang paling asas dan harus dipelajari oleh seseorang untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan berkesan. Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat akar umbi  perlu dilaksanakan supaya rasa cinta terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia tetap terpelihara.

Kemahiran lisan yang melibatkan aspek mendengar dan bertutur dapat membantu individu mendengar dan mengenal sebutan, intonasi, irama dan gaya pengucapan dalam pelbagai situasi. Seterusnya, seseorang itu dapat memahami pertuturan setelah mengalami proses mendengar. Akhirnya, terhasillah kemahiran bertutur  dan mampu berkongsi idea ketika berkomunikasi antara satu sama lain.

Namun demikian, usaha ke arah mengatasi kelemahan kemahiran lisan patut dilakukan pada peringkat awal dan pada tahap kanak-kanak lagi. Pada masa yang sama, tujuannya untuk menjamin kebolehan kanak-kanak untuk berlisan dengan baik apabila berada pada tahap dewasa kelak.

Walakin itu, tindakan menggerakkan dan melatih generasi baharu, khususnya golongan kanak-kanak supaya mahir bertutur dalam bahasa Melayu perlu dilaksanakan umpama peribahasa Melayu, “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

Konsep lisan bahasa Melayu secara tidak langsung mempunyai hubung kait dengan konsep pertuturan dan komunikasi. Namun demikian, proses komunikasi boleh berlaku tanpa pertuturan dan pertuturan pula tidak semestinya menghasilkan komunikasi.

Berdasarkan kaca mata linguistik, kebolehan bertutur merupakan kebolehan menghasilkan sistem bunyi yang dimiliki oleh sesuatu bahasa secara tepat dan fasih.  Manakala kefasihan dan ketepatan sebutan tersebut dapat ditinjau dari segi penyebutan setiap bunyi bahasa, intonasi bahasa dan penyambungan kata-kata dalam pertuturan.

Penguasaan  Bahasa Melayu

Strategi ke arah  penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi baharu perlu dilakukan secara terancang.  Justeru, ibu bapa perlu mempertingkatkan kemahiran lisan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak mereka ketika berada di rumah. Hal tersebut perlu dilaksanakan sebagai kesinambungan pengajaran kemahiran lisan  bahasa Melayu yang diterima daripada guru di sekolah.

Sememangnya proses pembelajaran bahasa dalam kalangan kanak-kanak turut terdedah kepada pengaruh persekitaran. Pengaruh persekitaran yang dimaksudkan ialah pengaruh keluarga atau rumah tangga, rakan sebaya dan masyarakat.

Contohnya, memaksimumkan penggunaan bahasa Inggeris, bahasa asing serta  dialek dalam pertuturan seharian akan menyebabkan kanak-kanak mudah  terpengaruh dan terikut-ikut dengan bahasa yang  digunakan. Fenomena tersebut menyebabkan gangguan lisan dan seterusnya meminggirkan bahasa Melayu  sebagai medium komunikasi dalam kehidupan seharian.

Kontradiksinya, dalam era globalisasi ini, bahasa asing dijulang-dijulang, bahasa Melayu ditinggal-tinggalkan. Justeru, kemahiran lisan yang melibatkan proses mendengar dan bertutur dalam bahasa Melayu perlu dilaksanakan dengan terancang supaya bahasa Melayu tidak tercemar dan dianaktirikan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Langkah tersebut bagi memastikan agar keistimewaan bahasa Melayu tetap diingati  sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Secara tidak langsung, pengukuhan kemahiran lisan bahasa Melayu dalam kalangan generasi baharu dapat merealisasikan “Bahasa Jiwa Bangsa” kerana bahasa milik bangsa, malah dapat menyatukan semua bangsa di Malaysia.

Kepentingan kemahiran lisan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak sebagaimana menurut Abdul Rashid Ali (1992) menerusi artikel “Pengajaran Lisan di Sekolah: Penekanan Cara Praktik” oleh Anida, Dahlia, Zulkifli & Ahmad Khair  (2016:94) menyatakan bahawa kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga enam tahun secara tidak langsung memperoleh atau menguasai bahasa secara aktif.

Oleh hal yang demikian, proses pengajaran bahasa pada tahap tersebut sangat penting kerana kanak-kanak memperoleh dan menguasai sesuatu bahasa tanpa disedari. Dalam pengajaran bahasa, aspek bahasa perlu diterapkan secara holistik. Aspek ini merangkumi aspek fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan pragmatik.

Membina Motivasi

Kemahiran lisan yang melibatkan kemahiran mendengar dan bertutur bukan sahaja dapat memantapkan penguasaan bahasa Melayu, malah dapat memotivasikan  kanak-kanak dalam pembelajaran bahasa. Contohnya, kemahiran lisan yang disertai dengan latihan dan aktiviti menerusi kaedah dan teori Cognitive Code Learning dalam pembelajaran bahasa dapat mempelbagaikan bentuk rangsangan menerusi bantuan alat pandang dengar. Hal tersebut dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi baharu.

Di samping itu, kemahiran lisan, iaitu bertutur perlu dipertingkatkan menerusi strategi  dan inisiatif dalam pengajaran bahasa Melayu. Contohnya, perlaksanaan kemahiran lisan bahasa Melayu dalam melakukan aktiviti bersama anak-anak seperti berdialog dapat mempertingkatkan kecekapan berkomunikasi dan memantapkan penguasaan bahasa Melayu.

Aktiviti tersebut sebagaimana menurut Fadzil Hassan menerusi artikel “Pengajaran Lisan: Hakikat yang Wujud di Sekolah” menyatakan bahawa antara latihan lisan yang boleh dilakukan ialah bersoal jawab sebelum latihan secara bertutur diadakan.

Namun demikian, sebelum bermulanya kemahiran lisan bahasa Melayu, punca kelemahan berbahasa seperti faktor kecacatan semula jadi, faktor psikologi, pengaruh persekitaran dan didikan perlu dikenal pasti untuk memastikan kemahiran lisan bahasa Melayu dapat dilaksanakan secara terancang.

Tuntasnya, kemahiran lisan bahasa Melayu perlu dipertingkatkan perlaksanaannya dalam kalangan generasi baharu supaya bahasa Melayu dapat dikuasai dengan betul. Sikap pendidik, ibu bapa dan masyarakat merupakan faktor penentu untuk membantu memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi baharu.

Konklusinya, ketika mempelajari kemahiran bahasa, kanak-kanak harus didedahkan dengan kemahiran lisan sebelum kemahiran lainnya. Hal tersebut sebagaimana menurut  Mohd Hilmi Haji Ismail dalam buku Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Malaysia di Sekolah Rendah menyatakan bahawa pertuturan merupakan asas kepada hampir semua pembelajaran bahasa. Pertuturan mendahului bacaan dan latihan bertulis. Fikiran dan idea disusun dalam pertuturannya sebelum latihan menulis dilakukan kerana pertuturan dan kemahiran lisan merupakan keperluan asas bahasa.

 

 

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar – Pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.