2 April 2024, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Catatan insan-insan yang mencurahkan ilmu, minat, cinta, kesungguhan dan keikhlasan dalam lapangan perubatan boleh kita temui dalam banyak sumber dan medium. Penulis sendiri amat mencintai perkongsian yang berkaitan dengan pengalaman yang diraih melalui pekerjaan penulis ini. Mungkin anda juga memiliki pengalaman tersendiri yang boleh dikongsikan agar dapat sama-sama menjaring hikmahnya dan disematkan serta dihayati dalam sanubari semua.

Ilmu itu boleh hadir dan mengalir dalam banyak cara. Yang pasti, ibarat darah yang mengalir tanpa henti dalam tubuh manusia yang bukan sahaja di dalamnya mengandungi pelbagai nutrien termasuklah oksigen agar tubuh manusia khususnya organ pemprosesan maklumat utama, iaitu otak dapat berfungsi dengan sebaik-baiknya. Demikianlah pesat ilmu mengalir dan terus menderas ibarat air mata air yang mengalir dan terus mengalir.

Seperti biasa, penulis membuat rondaan klinikal di Jabatan Kecemasan di sebuah hospital di ibu kota. Dalam rondaan itu, penulis melihat para pesakit yang diletakkan di Zon Pemerhatian. Secara amnya, mereka sudah distabilkan. Keputusan ujian darah pun sudah siap dan dalam rondaan ini, penulis melihat kembali keadaan pesakit, meneliti keputusan darah, laporan x-ray, CT-SCAN dan ECG.

Ada juga diagnosisnya dikemas kini. Ada cecair yang diberi telah ditambah, dikurangkan atau dihentikan. Ada yang menunggu masuk ke wad dan ada yang sudah dibenarkan pulang. Tumpuan penulis kepada pesakit ialah 100% dan hal ini sudah menjadi kewajipan penulis dan juga petugas perubatan yang lain.

Hal-hal di luar jangka amatlah perlu kami elakkan. Apabila sudah cinta, sudah tentu, doa dan harapan yang baik terhadap tugasan yang dilaksanakan sentiasa sahaja menjadi pendorong semangat. Setiap detik, penulis dan semua petugas sentiasa optimis. Seorang dua mungkin terlihat lelahnya dan perkara itu biasa, namun apabila dikelilingi oleh rakan-rakan yang positif, aura ini ibarat suria yang terbit pada waktu pagi – memberikan sinar dan tenaga yang luar biasa!

Di Jabatan Kecemasan ini, pelbagai keadaan pesakit kami terima, termasuklah pesakit dalam kalangan kes denggi, serangan jantung, strok, apendiks, parkinson, kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal serta banyak lagi. Staf di zon ini dengan sabar mengambil tanda-tanda vital untuk memastikan rancangan perubatan untuk pesakit dilaksanakan.

Penulis maklum benar akan keadaan petugas ini. Mereka tentunya kepenatan kerana berpuasa. Maka selesai rondaan, penulis bertanya kepada mereka beberapa teka-teki lucu. Teka-teki merupakan satu warisan budaya yang kita miliki sejak sekian lama. Dengan merujuk prpm.dbp.gov.my, teka-teki merupakan bentuk puisi Melayu tradisional yang mengemukakan persoalan yang bijak atau permasalahan yang rumit untuk dijawab atau diselesaikan.

Menurut sumber ini juga, teka-teki digunakan untuk menguji ketajaman akal, kepantasan berfikir, kematangan fikiran dan kearifan seseorang. Ada dua bentuk teka-teki, iaitu pendek atau panjang dalam bentuk prosa, pantun, seloka, tamsilan dan gurindam.

Teka teki juga boleh bersifat ringkas dan ringan serta boleh bersifat lebih rumit dan filosofikal dengan makna yang tinggi. Jadi, penulis telah menggunakan penghayatan penulis kepada warisan teka-teki ini untuk menjadi “penghibur” seketika mereka di samping tumpuan kepada tugasan penting mereka.

Kisah seterusnya berkaitan dengan pengalaman penulis dengan para petugas barisan hadapan ini. Walaupun pandemik COVID-19 telah berlalu, di Jabatan Kecemasan, barisan hadapan sentiasa sahaja bersedia siaga dengan apa-apa pun keadaan. Cabaran di jabatan ini memang cukup hebat. Oleh sebab itulah namanya pun Jabatan Kecemasan!

Penulis mendapat idea pada suatu hari untuk melihat sejauh manakah anak-anak buah cakna dengan kerja mereka khususnya pada setiap lembaran yang digunakan untuk merekodkan prestasi pesakit. Penulis memulakan teka-teki dengan memberi mereka soalan, iaitu “Kertas apakah yang menakutkan?”

Mereka semua cuba berfikir dan akhirnya menyerah kalah. Nampaknya mudah sangat mereka mengalah tetapi tidak mengapa. Mungkin mereka belum dapat “menangkap” lagi perkara yang penulis cuba maksudkan daripada soalan pertama itu. Dengan ringkasnya, penulis pun memberikan jawapannya, iaitu “Kertas peperiksaan”.

Jawapan penulis ini terus sahaja mengundang ketawa mereka yang sejak awal tadi cuba memikirkan jawapannya. Derai ketawa mereka telah memberikan semangat kepada penulis untuk memberikan teka-teki yang selanjutnya. Teka teki tersebut juga dalam kategori pendek dan ringkas. Teka-teki tersebut berbunyi, “Kertas apakah yang penat?”

Dengan pantas seorang jururawat yang bertugas tiba-tiba menjadi teruja dan ceria. Beliau menjawab, “Saya tau! Kertas kerja. Dah kerja mestilah penat!” Sekali lagi derai ketawa menceriakan serta memberikan semangat kepada para doktor dan jururawat di kaunter. Penulis fikir, mereka mendapat sedikit tenaga dan lupa tentang lapar dan dahaga mereka lantaran sedang berpuasa walaupun berada di dalam bilik yang berhawa dingin. Cuaca terik di luar sana turut dirasai bahangnya di dalam ruang kecemasan ini.

Daripada pengalaman mendengar dua buah teka-teki ini, penulis memahami bahawa para pendengar teka-teki tersebut akan mendapat pengalaman daripada teka-teki pertama dan pada teka-teki kedua, mereka telah pun memahaminya dan dengan cepat minda mereka memproses teka-teki tersebut untuk mendapatkan jawapan.

Pada sebelah petangnya, selesai rondaan akhir, penulis singgah di pejabat. Sebagai Timbalan Ketua Jabatan 1 di sini, penulis biasa singgah dan bertanya jika ada apa-apa borang tuntutan yang perlu penulis tandatangan.

Dalam kepala penulis, ada lagi teka-teki yang berkaitan dengan kertas yang masih belum dikemukakan. Siapalah pula yang akan menjadi “mangsa” selepas ini. Di situ, ada beberapa orang pembantu tadbir yang bertugas sedang membuat kerja pentadbiran. Ada juga Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), iaitu Encik Shahrul di situ yang sedang mengisi borang tuntutan kerja lebih masa.

Encik Shahrul ialah petugas yang menurut penulis amat berdedikasi. Sejak bertugas di jabatan ini, beliau tidak henti-henti bekerja menghantar surat, menolak tong oksigen dan menyusun atur barang-barang. Beliau juga bertukang secara percuma seperti membaiki beberapa peralatan jabatan atau struktur yang rosak. Pendek kata, pelbagai kemahiran beliau miliki.

Jadi, penulis masih ada peluang lagi untuk menghiburkan mereka dengan teka-teki penulis, iaitu “Kertas apakah yang suka berjudi?” Seperti yang penulis nyatakan sebelum ini, oleh sebab mereka pendengar pertama, kesemuanya cuba berfikir tetapi gagal mendapat jawapan. Setelah menyerah kalah, penulis pun memberikan jawapannya. “Kertas mahjong.”

Jawapan penulis ini menjadikan lima orang di situ ketawa semuanya. Ketawa terbahak-bahak. Hal ini kerana penulis faham bahawa mereka juga sedang membayangkan jawapan penulis yang mungkin dengan aksi Stephen Chow yang sedang berkungfu kerana musuhnya tidak berjaya menewaskannya bermain mahjong. Mungkinlah agaknya. Uniknya Malaysia. Hidup aman damai, pelbagai kaum meraikan pelbagai budaya termasuklah penggunaan frasa kertas mahjong. Sebut sahaja kertas mahjong, kita semua faham benar.

Spontan penulis menambah, “Hmm…kalau macam ni, tuntutan kerja tak boleh lulus. Tak boleh jawab soalan, kita tak bagi tuntut!” Lebih gamat mereka ketawa. Penulis masih tidak berpuas hati. Dalam fikiran, penulis masih ada teka-teki lagi.

“Okey, saya akan tanya soalan ini dan kalau boleh jawab, barulah saya tandatangan,” ujar saya.

“Kertas apakah yang pandai? Yang cemerlang?”

Dengan pantas Shahrul menjawab, “Kertas A4.”

“Tepat! Kertas itu ada banyak “A”. Baiklah, boleh tuntut. Saya akan tandatangannya lulus. Yang lain-lain, kalau tak boleh jawab, lain kali saya tak tandatangan!”

Seperti hendak runtuh bilik itu dengan ilai tawa mereka. Penulis fikir, kini lapar dan dahaga mereka juga hilang. Penulis juga yakin bahawa mereka juga amat gembira dan berasa amat santai sekali dengan permainan teka-teki tadi. Lagi satu jam, akan tamatlah waktu bekerja dan bolehlah mereka pulang dan membuat persediaan untuk berbuka.

Ya, kalau berpuasa, kita memang ada berasa lapar dan dahaga. Itu normal kerana tubuh kita memiliki sistemnya yang tersendiri. Allah Yang Maha Berkuasa memberikan hikmah luar biasa daripada ibadah puasa ini.

Sebenarnya, penulis juga terasa hilang lapar dan dahaga. Kerap kali apabila penulis menyuakan jenaka untuk mereka, selain staf, penulis juga cuba mencari tenaga untuk diri sendiri. Seperti yang selalu kita dengar, apa-apa yang kita beri, itulah yang akan kita dapat. Sesekali ceriakan suasana dan teka-teki merupakan terapi warisan yang paling berseni. Sambil terhibur, otak pun tambah bergeliga. Insya-Allah.

 

Datuk Dr. Alzamani Mohammad Idrose merupakan Timbalan Ketua Jabatan 1, Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur. 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.