Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSerdang – “Kita semua perlu ada komitmen dalam soal bahasa kerana bahasa itu jiwa bangsa. Lima aspek, iaitu ucapan, tulisan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa merupakan unsur bahasa Melayu tinggi (BMT). Sebutan baku sebagai salah satu daripadanya tidaklah sulit bahkan lebih memudahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kerana ejaan dan sebutan itu dalam 90 peratus selaras melalui ejaan dan sebutan. Apa-apa perkataan yang dieja, maka begitulah juga yang disebut. Maka itu, orang asing mempelajari bahasa Melayu dalam tempoh tiga bulan sudah dapat menguasai asasnya.”
Demikian antara inti pati sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Ahli Dewan Negara Parlimen Malaysia dalam Syarahan Umum Rashdan Baba (Siri 4), yang diadakan pada pagi ini di Dewan Taklimat Serdang, Bangunan Canselori Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan topik “Memartabat Bahasa Melayu Tinggi dalam Agenda Kepemimpinan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia”.
YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, iaitu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM pula bertindak selaku moderator yang mengendalikan sesi syarahan.
Menurut YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, istilah BMT bukan istilah linguistik tetapi istilah yang popular digunakan untuk merujuk suatu ragam ataupun jenis bahasa yang mewakili ketinggian bahasa atau budaya tinggi yang digunakan dalam suasana rasmi termasuklah dalam wacana ilmiah.
Tambahnya, BMT lisan digunakan dalam perbincangan, mesyuarat, ceramah, syarahan, taklimat, dialog dan forum, manakala BMT dalam tulisan pula digunakan dalam surat, memo, notis, minit mesyuarat, laporan, kertas cadangan dan tulisan ilmiah.
Jelas beliau, BMT bukan sekadar dikenal sebagai bahasa yang baku atau standard, bahkan ada unsur lain yang mewarnai ragamnya.
Bahasa ilmiah sebagai salah satu bentuk BMT ada ciri-cirinya; salah satunya ialah tidak menggunakan kata emotif. Dalam bidang akademik, kita tidak boleh sama sekali menggunakan kata emotif seperti ‘sayangnya, malangnya…’. Dalam bidang akademik yang betul, penggunaan kata seperti ‘dari data yang diperoleh…’ kerana yang ‘ditonjolkan’ ialah dapatan kajian kita, bukan emosi kita. Ayat pasif tidak termasuk dalam larangan penggunaan laras BMT, bahkan itu salah satu ciri tulisan ilmiah kerana tidak menonjolkan pelaku sebagai subjek.
Menurutnya lagi, adab berbahasa atau tatacara berbahasa juga perlu dijaga dalam masyarakat. Panggilan neutral dalam bahasa Melayu seperti “encik” atau “tuan/puan” boleh digunakan sebagai gelaran ketika berbicara dengan seseorang bagi menggantikan panggilan “mak cik atau pak cik” sekiranya tidak pasti nama gelaran atau pangkat seseorang.
Kita sekarang dalam proses menuju tahun 2030 dan patut membantu gerakan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjayakan Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi di IPT. Ada gesaan daripada ahli akademik tentang keperluan kita untuk membantu menegakkan martabat bahasa Melayu Tinggi di IPT.
Terdahulu, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, iaitu Naib Canselor UPM semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata;
Sebagai seorang pemimpin, aspek komunikasi berkesan ini amat penting supaya mesej yang ingin kita sampaikan itu jelas dan tidak boleh dipertikaikan serta tidak boleh disalah erti. Apabila berlaku salah erti atau salah faham adalah berbahaya dalam konteks pengurusan di peringkat institusi. Dalam kapasiti kita sebagai pemimpin, aspek ini sangat penting kerana kadang-kadang apabila mesej tidak sampai kepada pendengar, maka hasil yang kita ingin capai juga tidak tercapai.
Syarahan Umum Rashdan Baba (Siri 4) ini merupakan satu daripada latihan transformasi kepimpinan akademik yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan dan Kerja Kecemerlangan Akademik (Cadelead), UPM.
Program ini bertujuan memantapkan keterampilan pegawai akademik di UPM melalui siri perkongsian kepakaran dan pengalaman oleh tokoh-tokoh tersohor negara di samping memberikan pendedahan serta pengetahuan kepada seluruh warga universiti dalam melahirkan warga universiti yang berilmu serta menyumbang kepada kemakmuran masyarakat sejagat.
Yang turut hadir dalam sesi syarahan ini ialah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, pegawai-pegawai kanan universiti, para pensyarah, tetamu kehormat, pelajar universiti dan para pencinta bahasa.